ALAHAI PENGHULU!


1. Jawatan penghulu walaupun bermula dengan gred N27 tetapi merupakan jawatan yang dihormati dan disanjungi. Dulu-dulu jika sebut penghulu maka terbayang seorang lelaki yang gagah dan hebat dalam sesebuah mukim dan sudah berumur. Cuba bayangkan penghulu Kampung Semerah Padi filem lakonan P. Ramlee.

2. Namun sekarang, jawatan tersebut yang merupakan jawatan yang disandang penjawat awam lulusan bermula SPM, STP, Diploma dan lainnya, penghulu sekarang ada yang muda dan sekali pandang macam tak percaya pun ada.

3. Sebagai penjawat awam, mereka juga terdedah kepada tindakan tatatertib dan perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sepertimana penjawat awam yang lain. Segala pekeling perkhidmatan awam dan perintah am perlu dipatuhi.

4. Siang tadi selepas membeli makanan kucing di Tunjang, Jitra, saya singgah makan tengahari dalam perjalanan balik. Dalam perjalanan nampak sebuah bangunan dengan papan tanda bertulis 'Pejabat Penghulu ....' Di depan pejabat bawah bumbung terdapat 3 buah kereta dan sebuah darinya berselimut kain. Hati saya seakan tidak selesa kerana bagaimana pejabat kerajaan begini rupanya. Bagaimana pelanggan di kalangan rakyat apatah lagi orang kampung mahu berurusan. Pejabat perlu berimejkan pejabat bukan reban ayam atau tempat kediaman boleh gantung itu ini.

5. Ketika makan di gerai tadi, saya bertanya pengusaha gerai makan , pekerja dan beberapa pelanggan tentang hal ini. Respon mereka menyentuh hati saya. Kata mereka "penghulu ni tak aktif'. Jarang dapat jumpa dan cukup payah". Saya kata mana boleh tak aktif sebab itu tanggungjawab beliau. Time kerja tetap kena kerja.

6. Tambah mereka lagi, nak dapat tandatangan penghulu berkaitan borang sekolah anak-anak pun susah. Bab lain lagi lah susah kata salah seorang pekerja gerai tersebut. Saya cakap, gaji nak aktif tapi kerja tak aktif. Kalau gaji 23 haribulan, 22 haribulan tengah malam dah terpacak depan mesin ATM masing-masing. Tengok gaji belum masuk terus tumbuk mesin ATM. Kalau saya Pegawai daerah (DO), saya akan melawat semua pejabat-pejabat penghulu biar dia tau mereka dipantau.

7. Kerajaan baharu dan Malaysia Baharu perlu mengubah keadaan ini. Kalau janji manifesto tak dapat dilunaskan semuanya gara-gara berdepan kemelut kewangan yang diwariskan dari rejim kleptokrat dahulu, buatlah pembaikan sistem dan sistem pelayanan rakyat yang tidak memerlukan wang yang banyak.

8. Buat pembetulan semua ini kerana sistem penyampaian oleh penjawat awam seperti penghulu yang merupakan front liner atau benteng hadapan kerajaan yang akan memberi persepsi buruk kepada pemerintah. Kegagalan mereka melaksanakan tugas akan memberi impak kepada parti pemerintah. Jangan dibiarkan bau hanyir dan meloya amalan terdahulu berterusan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

9. Waktu pejabat, penghulu atau mana-mana penjawat awam perlu berada di tempat masing-masing untuk rakyat berurusan bukan melayan kepentingan sendiri. Jawatan penghulu termasuk dalam kategori pelaksana maka laksanakan lah tugas dengan jujur dan amanah. Belum ada penghulu mati kerana bertugas atau patah riuk tulang belulang dan pinggang kerana bertugas.

10. Bila dah bersara nanti tak ada lagi yang akan mengganggu atau minta buat itu dan ini kerana rakyat faham kamu sudah pencen. Kerajaan negeri yang duterajui Menteri Besar (MB) khususnya di Kedah diharapkan dapat membuktikan pendekatan pro-aktif kerana beliau anak PM yang amat dihormati sebagai negarawan terulung sehinggakan PM Pakistan datang mahu belajar dari kita bagaimana menguruskan negara ini. Jangan sampai Imran Khan tersilap datang pejabat penghulu di sini malu kita seluruh negara.

11. Ini bukan soal cari salah tapi demi memenuhi sumpah dan janji pemerintah dan pegawai-pegawai kerajaan kepada rakyat. Ketika mula masuk kerja, kita telah bersumpah dan berjanji akan lakukan apa saja demi rakyat. Jangan bila sudah dapat jawatan, persetankan semua itu dan pejabat jadi tempat berkubang.

12. Penghulu sekarang bukan penghulu Semerah Padi hinggakan menjatuhkan hukuman terhadap penduduk pun kerja penghulu. Tak perlu lagi sula sana sula sini. Aduka pun dah malas nak layan bab penghulu ni.

13. Kata Dian Nafi penulis dari seberang, "Hal yang paling jauh dari kita adalah waktu, yang paling dekat adalah kematian, yang paling berat adalah amanah."

Comments

Popular posts from this blog

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?