BERKATA BENAR WALAUPUN PAHIT


Menjadi pendokong kebenaran dan berkata benar tidak hanya kita lakukan kepada pihak yang kita dokong, malah perlu juga berkata benar di pihak yang tidak didokongi. Berkata benar adalah berkata setiap sesuatu dilakukan oleh pihak didokong dan juga tidak didokong samada kebaikan atau kebatilan. 

Dalam membedah kemelut politik yang melanda Perlis berhubung isu perlantikan Menteri Besar Perlis juga seharusnya kita memberi keadilan samada di pihak Istana, Datuk Seri Shahidan Kassim dan adiknya serta Datuk Seri Azlan Man. Membedah kemelut politik tak semudah membedah ketuat di jari kaki dan tangan.


Ketika dikejar wartawan pagi ini untuk bertanya berhubung perkembangan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis, Azlan Man yang sedang berjalan masuk ke pejabatnya berkata, sekarang adalah masa untuk bekerja bukan bercakap dan berdrama tanpa mengulas panjang. Wah! Rajin dan sibuk sungguh Menteri Besar yang seorang ini!

Sebenarnya siapa berdrama dan siapa yang banyak cakap sebelum ini? Apa kejayaan Azlan Man sepanjang sepenggal selepas PRU13 dan dilantik menjadi Menteri Besar Perlis? Ini bukan tanda sokongan kepada team penentang, tetapi memilih berlaku adil kepada yang menentang dan rakyat yang ingin mengetahui kisah sebenar. Janganlah cuba mengelak daripada menjawab soalan wartawan menggunakan alasan mahu habiskan kerja sedangkan sepenggal dengan tempoh 5 tahun tidak ada sumbangan besar dan jelas kepada negeri Perlis. 

Untuk memenuhi janji BN membina hospital di Padang Besar pun terkial-kial. Pembinaan hospital tersebut dirancang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun tertunda sehingga menjadi isu dan beberapa kali dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. 

Dr Subramaniam mantan Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, ketika ditemui pada Rumah Terbuka Deepavali peringkat Perlis di Dewan Warisan pada 21 November 2017 sekali lagi mengulangi janji sama. Menurut Subramaniam, kerajaan meluluskan pembinaan Hospital Daerah Padang Besar bernilai lebih RM300 juta yang akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun depan di mana turut hadir, Datuk Seri Azlan Man. Ini adalah Manifesto Barisan Nasional semasa Pilihanraya Umum ke-13, tetapi apa kesudahannya?

Menteri Besar Perlis Azlan Man juga celupar mulutnya ketika berkempen ketika PRU14 yang kononnya kecewa dengan segelintir veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa menentang kerajaan sebaik menamatkan perkhidmatan. Tambahnya lagi, lebih mendukacitakan ialah ada antara mereka berpangkat tinggi semasa berada dalam perkhidmatan. Apakah beliau menganggap pasukan keselamatan atau penjawat awam perlu sokong membabi-buta pemerintah walaupun sudah tersasar?

Pada 17 MAC 2018 sebelum PRU14, Azlan Man berkata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tunduk kepada DAP apabila tidak berani membantah pendirian parti itu yang berkeras mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’. Lebih buruk melabel mantan Perdana Menteri 22 tahun itu seolah-olah mempunyai masalah kecelaruan personaliti memandangkan Tun Mahathir itu dahulunya merupakan antara individu yang tegas menolak prinsip yang diperjuangkan DAP itu. Tetapi sekarang sebaik diangkat semula menjadi Menteri Besar, terhegeh-hegeh mahu bertemu Perdana Menteri untuk meminta ihsan.

Rungutan rakyat Perlis juga tidak sedikit dan ianya bukan hanya diluahkan oleh salah seorang calon Menteri Besar
ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang menyifatkan Menteri Besar Perlis itu sebagai seorang yang tidak boleh ditegur dan tidak boleh menerima pendapat orang lain.

Tambah Ismail Kassim, itu antara sebab mengapa pimpinan UMNO Perlis tidak bersetuju apabila ADUN Bintong itu dilantik sebagai Menteri Besar. Ismail kassim juga mendakwa, rakyat marah kepada Azlan berikutan kegagalannya menjaga kawasan semasa menjadi ADUN Pauh sebelum berpindah bertanding ke Bintong pada PRU14 baru-baru ini. 

Alasan pihak istana bahawa sukar memilih calon selain Azlan Man kerana tidak mengenali calon-calon lain agak sukar diterima kerana di negeri lain juga pihak istana tidak kenal dengan bakal Menteri Besar sebelum itu yang hampir semuanya dari Pakatan Harapan. Lagipun, Ismail Kassim sudah menolak pencalonan beliau dan mengusulkan kepada istana Perlis untuk memilih 8 lagi calon yang ada selain Azlan Man. 

Membuat rumusan terhadap sesuatu kemelut seharusnya kita cuba memahami akar kepada kemelut tersebut dengan mengambil kira pandangan kesemua pihak. Dengan meletak kesalahan semuanya kepada kem yang menentang perlantikan Azlan Man boleh dianggap sebagai menyuburkan budaya angguk yang tidak lagi sesuai dalam era slogan membina Malaysia Baru.

UMNO dan BN bernasib baik dalam PRU14 lalu kerana Pakatan Harapan yang diterajui PPBM dilihat gagal memilih calon sesuai menerajui Pakatan Harapan dengan melantik Amier Hassan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Perlis. Amier Hassan yang terpalit dengan berbagai masalah peribadi hanya mencalarkan imej Pakatan Harapan serta kemampuan beliau untuk menggerakkan massa dan meraih sokongan pengundi di sana. Beliau dikesan kurang mendapat sokongan jentera Pakatan Harapan khususnya pemuda yang melihat beliau sebagai individu yang mementingkan diri dan opportunis.

Namun sesuatu yang kita tidak boleh pinggirkan dalam isu ini adalah, berfikirlah di luar kotak atau sebaiknya tanpa kotak yang menghalang penglihatan. Bukan sesuatu yang mustahil bahawa kemelut yang dicetuskan Datuk Seri Shahidan Kassim ini merupakan seni politik serba mungkin. Mengenali Shahidan dan Dato' Zahidi Zainol timbalan pengerusi UMNO Perlis yang juga Ketua UMNO bahagian Padang Besar, kedua-duanya sejak awal penglibatan dalam politik Perlis amat licik dan sanggup lakukan apa saja demi mencapai matlamat mereka.

Ketika zaman kegemilangan mereka mulai malap dan gerhana, ada saja yang dicetuskan untuk mendapatkan perhatian. Jika kita masih ingat dengan zaman di mana Tun Mahathir bermasalah dengan Tun Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri, Zahidi Ketua UMNO bahagian Padang Besar menjemput Tun Mahathir untuk merasmikan mesyuarat bahagian tersebut yang diketahuinya akan mendapat bantahan pengampu-pengampu Perdana Menteri dan pimpinan UMNO pusat. Jawapannya mudah, ini saja jalan pintas meraih perhatian kerana akan ada yang datang memujuk membatalkan hasrat itu dan ramai percaya akan dijanjikan berbagai 'ufti' untuk membatalkannya. 

Begitu juga dengan Datuk Seri Shahidan Kassim yang tanpa segan silu melakukan banyak tindakan dan keputusan ketika menjadi Menteri Besar Perlis dahulu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Isu poligami tanpa memerlukan tandatangan isteri pertama yang disokong beliau cetusan Mufti Perlis, Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin pada tahun 2003 tidak sedikit mengundang kontroversi. Paling melucukan adalah pada Oktober 2013, beliau menyebut Malaysia antara negara terbersih daripada perbuatan rasuah. 

Apapun keputusan yang dibuat berhubung isu Menteri Besar ini, samada di pihak istana, team menentang dan Azlan Man sendiri, lakukanlah dengan niat semata-mata demi kepentingan rakyat bukan hanya lidah terjelir demi kepentingan rakyat tetapi rakyat hanya menjadi topeng untuk dilihat sebagai 'super hero'. 

Apakah sesuatu yang mustahil jika tindakan mencetuskan krisis ini adalah batu loncatan untuk mencipta peluang bagi mereka untuk mendapat simpati Tun Mahathir dan akhirnya menyeberang masuk Pakatan Harapan? Walaupun kebarangkalian diterima masuk agak tipis, apa salahnya mencuba?



Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?