KEMENANGAN BERSEJARAH JANGAN TINGGAL SEJARAH



Sesungguhnya kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam menumbangkan BN dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini merupakan kemenangan bersejarah. Namun, kemenangan bersejarah tidak mustahil akan tinggal sebagai sejarah jika tidak diuruskan dengan jujur, adil dan berhemah.

Sejarah tidak pernah berbohong dan sering melakukan ulangan dengan hanya masa, pelaku dan tempat berbeza. Bagaimana ia berlaku dan punca ia berlaku selalunya mempunyai persamaan. 

Jadi janganlah ada yang mendabik dada mengaku kemenangan PH dalam PRU14 ini semata-mata hasil kehebatan dan kesaktian masing-masing. Jauh lebih penting peranan menjatuhkan rejim kleptokrat ini adalah peranan rakyat dibantu pihak-pihak yang sebahagian kita tidak pernah akui peranan mereka. 

Tidak kecil sumbangan Clare Rewcastle Brown melalui Sarawak Report memercikkan kesedaran kepada rakyat negara ini yang kemudiannya dikongsi sehingga tular di media sosial berhubung bagaimana dana rakyat di'songlap' oleh penyamun-penyamun yang menggunakan 1MDB sebagai 'vehicle' menyamun wang yang begitu susah untuk diperolehi tetapi mudah dijadikan pesta-pora. Sebarang usaha untuk mengheret penyamun-penyamun ke muka keadilan atau membongkar penyelewengan akan berdepan musibah. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathias Chang sudah cukup membuktikan betapa takutnya rejim kleptokrat jika skandal ini terdedah. Nasib menyebelahi rakyat kerana Clare Brown tidak serik untuk membongkar penyelewengan 1MDB ini.

Peranan facebookers dan di tweeter juga banyak membantu memberi kesedaran kepada rakyat tentang banyak skandal berskala mega mahupun separa mega yang dicaturkan oleh penyamun-penyamun sama memunggah dana rakyat. Isu FELDA, Tabung Haji, KWAP, KWSP, LTAT, TRX, Kem Sungai Besi, ECRL dan dominasi China dalam membolot projek-projek dan aset negara menambah kebimbangan rakyat.

Bahang kemarahan dan kebencian meluap-luap rakyat dipandang enteng oleh pemerintah kerana terlalu yakin pada kemampuan membendung kebangkitan rakyat. Mereka sedar bahawa dari sudut sejarah, budaya dan sikap rakyat negara ini yang sentiasa memaafkan pemimpin dan belum pernah menunjukkan tanda-tanda memberontak.

Pemerintah penuh percaya bahawa majoriti rakyat akan lemah-gemalai setiap kali pilihanraya umum apabila dimainkan isu-isu perkauman dan agama, disumbat dengan dedak dan serdak. Mereka gagal menghidu (pinjam kata-kata DS Zahid Hamidi) bau busuk yang sudah hanyir mengalir deras di bawah permukaan lantai politik tanahair. Hidung mereka sudah tersumbat, mata sudah buta dan telinga sengaja dipekak dan tuli kepada keluhan dan rungutan rakyat yang kehidupan mereka semakin daif. 

Malah setiap rasa kesal rakyat akibat daripada dasar yang mencengkam rakyat dibalas dengan kata-kata pedih dan menyakitkan hati. "Jika tidak suka dengan kerajaan BN, sila tinggalkan negara ini (Wanita UMNO Kuantan)". "Kenaikan tol adalah munasabah. Kalau rakyat tak nak bayar tol sila gunakan jalan lain (Wahid)". "Duduk dalam hutan jika tak setuju dengan pilihanraya (Noh Omar)". "Jangan beli rumah kalau harga naik (Ku Nan)", "Jangan makan ayam kalau harga naik, boleh makan ikan (Hasan Malek)", "Harga minyak tak naik, cuma subsidi kerajaan dipotong (Najib)" dan banyak lagi.

Mereka tidak pernah menjangka bahawa rakyat sudah nekad untuk menghukum 'syaitan-syaitan' bertopengkan pemimpin dan parti yang menunggang bangsa dan agama. Kebencian dan kemarahan rakyat meluap-luap itu dimuntahkan ke dalam peti undi secara mutlak pada 9 Mei 2018 sehingga apabila keputusan diumumkan malam yang sama, pemimpin UMNO dan BN seakan-akan tidak percaya dan boleh mengakibatkan terkena serangan 'stroke' tidak terkata-kata. Najib bagaikan hilang pedoman sedang memakan papedom. Parti Lebai terkedu gara-gara bertanding 158 kerusi parlimen hanya mampu menang 18 kerusi kerana rakyat kecewa dengan tindakan PAS bersekongkol dengan UMNO.


Pengundi yang sebelum PRU14 tidak pernah mengundi seumur hidup walaupun usia sudah menjangkau 50an memaksa diri keluar mengundi, pengundi muda berduyun-duyun keluar mengundi. Mengambil contoh kerusi parlimen Setiawangsa yang ditandingi Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique (BN) dan Ubaid Abdul Akla (PAS) dan menang dengan majoriti 14, 373 daripada jumlah pengundi 61, 402. Setiawangsa yang merupakan kubu kuat BN/UMNO pertama kalinya sejak PRU pada 2004 melingkup kepada PH. Bayangkan jumlah keluar mengundi yang diharapkan oleh PH sekurang-kurangnya 80% untuk menang tetapi jumlah sebenar yang keluar adalah 99.66 (61,191). 

Apa isyarat yang dapat kita ambil dari contoh ini? Tidak lain daripada isyarat hukuman dari rakyat kepada pemerintah yang sudah dianggap zalim dan pemimpin yang masam otaknya. Jika menggunakan alasan DS Najib Razak bahawa kekalahan BN dalam PRU14 disebabkan fitnah, siapa fitnah siapa sebenarnya? Siapa yang didepan MCA dan kaum Cina berkata "Lim Kit Siang tidak akan berjaya menjadi perdana menteri" tetapi di hadapan orang Melayu dan UMNO "Maharaja Lim akan menjadi perdana menteri jika pembangkang menang PRU14?"

Dengan perkembangan media sosial yang begitu pantas, bau hanyir dan berkeladak begitu pantas dikesan. Hanya kita yang pura-pura buta, pekak dan bisu. Oleh itu, jangan disalahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) yang melahirkan kekesalan melalui Channel News Asia kerana tidak berterus terang dengan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berhubung akar umbi yang menolak parti itu selepas bekas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal “dikeluarkan.”

Tambah KJ lagi, “Tidak ada sesiapa, selepas Muhyiddin dikeluarkan, selepas Shafie dikeluarkan, tiada siapa yang mahu mengakui ada masalah. Itu kesilapan besar di pihak kita. Adakah isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar akan isyarat itu. 
Jika kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada kebenaran, UMNO akan pupus,”.

Bagi UMNO dan pemimpinnya, "Apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat". Buat BN dan PH, cuba kita renungkan kata-kata Donald Trump ini, "Apa yang membezakan si menang dan si kalah ialah bagaimana mereka bertindak terhadap kemenangan atau kekalahan mereka." Moral dari kata-kata Trump itu adalah, rebah-bangun mana-mana pihak ditentukan oleh bagaimana kita menguruskan kemenangan dan kekalahan tersebut. Utamakan sifat tawadduk dan tidak mudah lupa diri insyallah kita tidak akan tersesat dari mana kita berasal.

Selamat Malam dan salam Ramadhan ke-6.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?