KERAJAAN TEMPE
Semalam di ibunegara, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar Kerajaan Pakatan Harapan dalam program berbuka puasa bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian UMNO dengan mengibaratkan kerajaan Pakatan Harapan seperti 'tempe', pagi masih kacang, petang jadi tempe, esok dah berkulat. Kenyataan ini dibuat kerana kerajaan Pakatan Harapan didakwa Zahid sentiasa tidak konsisten dalam memberikan fakta.
Wah! sebati sungguh darah jawanya dalam tubuh Zahid. Dalam jutaan makanan, 'tempe' juga jadi contohnya.
Tempe berasal dari bahasa Jawa kuno iaitu tumpi, makanan berwarna putih yang dibuat dari tepung sagu berwarna putih.
Bagi sebahagian orang Jawa di Indonesia, frasa 'mental tempe' dikaitkan dengan maksud lemah atau orang yang merasa terjajah. Malah ada pengusaha tempe yang mengeksport produk ini ke luar negara kecil hati apabila ada yang meremehkan tempe dengan kata, 'jauh-jauh ke Jepang kok buat tempe.' Intonasinya kelihatan begitu negatif di mana tempe dianggap sebagai sesuatu yang murahan, tidak bermutu dan paradigma itu masih kuat sehingga sekarang.
Artinya, di mata Zahid, Pakatan Harapan itu 'murahan', tidak berkualiti, lemah dan minda terjajah. Apakah benar tanggapan Zahid ini? Hina benar Pakatan Harapan di mata beliau?
Zahid orang nombor dua dalam kerajaan kleptokrat tidak layak bercakap soal kredibiliti dan integriti dan jauh sekali menghina kerajaan pilihan rakyat. Beliau perlu sadar diri bahawa BN Nasional (BN) ditunjangi UMNO sudah ditolak secara total oleh rakyat yang amat marah dan tahap kebencian meluap-luap terhadap mereka.
Istilah negara kleptokratis merujuk kepada negara yang dikuasai oleh maling atau pencuri harta rakyat. Sebuah kleptokrasi merupakan pemerintahan oleh pencuri yang menyamar sebagai pegawai negara yang jujur. Ciri utama kleptokrasi adalah ia sejenis jenayah negara.
Tak malukah kamu Zahid apabila dilabel oleh sebuah badan bertaraf dunia dan dihormati seperti Department of Justice (DoJ) bukan cicak mengkarung yang bersuara. Najib seperti semua tahu, kulit mukanya kalahkan Tembok Berlin yang memisahkan Berlin Barat dan Berlin timur dan diruntuhkan pada 9 November 1989. Apakah kamu juga mempunyai kulit muka tebal seperti beliau?
Lebih baik 'tempe' habis dijual dari pizza yang bertimbun jangankan membeli, menyentuhnya saja terasa gatal tapak tangan. Itulah kedudukan Najib, Zahid dan UMNO serta barisan pimpinannya yang sudah tidak laku dan berselera untuk dibeli rakyat. Jika masih ada keinginan rakyat untuk bersama UMNO dan pimpinannya, keputusan PRU14 tidak akan muncul sebegitu rupa walaupun seluruh jentera, kudrat dan iradat dikerah membantu.
Dilaksanakan persempadanan semula walaupun ditentang oleh Pakatan Harapan, ditunggangnya PAS bagaikan keldai untuk memecahbelahkan undi Melayu dengan menjadikan pertandingan 3 penjuru sebagai perkakas, undi rosak dan peti undi halimunan dijampi serapah untuk memenangkan BN, namun api kemarahan rakyat lebih tinggi dari Gunung Krakatoa.
Masalah besar dengan pemimpin UMNO sehingga mengheret mereka tersungkur dalam PRU14 yang lalu kerana apa?
Bukan masalah benar atau salah, tapi masalah tentang sadar diri dan tahu diri. Sesuatu masalah tidak akan diketahui salah dan benarnya ketika seseorang itu tidak sadar akan kelebihannya dan tahu diri atas kekurangannya.
Di tempat yang sepatutnya merendah ditinggi-tinggikan dirinya, manakala di tempat seharusnya tinggi, beraksi seperti khadam hamba abdi. Cium tangan pemimpin bagaikan pengemis sedangkan tangan ibu sendiri belum tentu dilakukan begitu.
Teringat saya ketika masih bertugas, ada juga pegawai dan anggota bawahan yang mengumpat bahawa saya ketua yang 'berlagak'. Dalam mesyuarat saya beritahu, "saya berlagak sebagai ketua kerana saya perlu pastikan amanah dan tugas diberi berjalan lancar seperti diarahkan pihak atasan. Takkan saya perlu berlagak seperti macai hanya untuk memuaskan hati orang lain dan pastinya arahan saya tidak dipatuhi kerana pegawai dan anggota di bawah melihat saya hanya setaraf macai?
Di tempat perlu berdiri, kita berdiri, perlu duduk kita duduk, perlu bersila kita bersila. Walaupun nampak merendah diri dengan bersila, jika tempat sepatutnya berdiri kamu bersila, kan nampak bodoh?
Sekarang masa terbaik untuk Zahid dan khadam-khadamnya bekerja keras memulihkan UMNO yang cedera parah bukan sibuk menguruskan hal-ehwal dalaman kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Nak makan 'tempe' makanlah tak ada yang melarang, tapi jangan sampai kena 'tempek' kertas di dahi macam hantu Cina lompat-lompat. Atau memang pemimpin UMNO sudah jadi hantu Cina lompat-lompat nak masuk Pakatan Harapan? Sudah-sudahlah menempek!

Comments
Post a Comment