MANIFESTO ATAU MONEY_FIASCO


Sudah 14 Pilihanraya Umum (PRU) dijalankan di Malaysia tetapi belum pernah rakyat dilihat begitu tertarik dengan janji dalam manifesto pilihanraya. Malah Pilihanraya Kecil (PRK) yang menjadi fokus banyak pihak setiap kali diadakan tidak pula dijejaki samada manifesto pihak yang menang dilunaskan atau sebaliknya.

Janji yang terkandung dalam manifesto PRU13 Barisan Nasional (BN) untuk membina hospital Padang Besar sehingga tamat penggal dan masuk PRU14 hanya tinggal papan tanda berkarat dan lapuk diselubungi pokok. Janji untuk menurunkan harga kereta, kekalkan subsidi bahanapi, dan macam-macam lagi hanya tinggal janji.


Dalam PRK Teluk Intan Pada bulan Mei 2014, setinggi langit janji dihambur untuk memenangkan Datuk Mah Siew Keong yang menentang calon Pakatan Rakyat dari DAP Dyana Sofya. Antaranya pembinaan institusi pengajian tinggi terkemuka, menara jam condong diisytihar sebagai tapak Warisan Dunia Unesco dan menjadikan parlimen itu sebagai hab pertanian moden, kemudahan zon wifi dan rancangan tebatan banjir di Teluk Intan dengan anggaran kos sebanyak RM360 juta. Apa jadi dengan semua janji itu?

Namun, sebaik BN menyembah bumi dalam PRU14, berpusu-pusu serangan menuntut janji dalam manifesto PH ditunaikan walaupun janji itu dibuat untuk tempoh 100 hari selepas pilihanraya sedangkan ianya baru berlalu 18 hari. 

Apakah benar mereka begitu prihatin dengan manifesto? Benar mahukan semua manifesto PH terlaksana? Benar mahukan keadilan dan kebenaran? Bagaimana dengan janji dalam manifesto BN dan PAS di negeri yang mereka menang? Pada tahun 2017, PAS berjanji untuk melaksanakan hudud di Terengganu sekiranya menang di negeri itu. Nampaknya sebaik menubuhkan kerajaan, isu tersebut bagaikan tidak bernafas. 

Tidakkah itu juga janji? Malah lebih parah di Perlis isu perlantikan Menteri Besar masih diselubungi masalah dan berlaku 'perang saudara' sesama UMNO sehingga Istana turut diheret dalam kemelut tersebut.

Ikhlas saya katakan bahawa ketika saya keluar dari rumah untuk membuang undi, tidak sedikit pun terlintas dalam fikiran saya untuk menuntut janji manifesto PH dalam PRU14 ini. Hatta apa kandungan manifesto Pakatan Harapan pun saya tidak ambil peduli. 

Niat saya hanya satu iaiatu mahu menamatkan riwayat BN, UMNO dan Najib yang sudah 60 tahun di tampuk kuasa sehingga lupa daratan dan mengkhianati rakyat dan negara. Pemimpin-pemimpin negara lagaknya bagaikan guru disiplin dengan pelajar ponteng kelas bercakap dengan rakyat.

Pada hari mengundi itu juga lantaran begitu ramai pengundi yang keluar dan terpaksa menunggu sehingga 2 jam dalam keadaan cuaca panas terik, saya mengambil kesempatan cuba mendapatkan maklum balas dari pengundi-pengundi lain yang secara umumnya dapat saya simpulkan lebih 90% mencerca Najib dan UMNO. Tidak ada sekelumit kata-kata menyentuh manifesto selain mahu membenam BN dan Najib.

Apabila secara rasmi pemerintah berganti, muncul individu-individu yang kononnya mewakili rakyat mendesak semua janji PH dalam manifesto ditunaikan. Serangan dalam media sosial begitu jelas cuba mencemarkan Tun mahathir dan pasukannya yang saya amat yakin datang dari pemegang akaun palsu dan penjilat-penjilat Najib dan UMNO yang hilang punca akibat pengumuman membubarkan JASA dan semua lantikan politik dalam kerajaan secara kontrak. 

Kenapa tidak perkara ini berlaku ketika UMNO masih berkuasa? Kenapa pembangkang yang tewas dalam pilihanraya lalu tidak menekan BN dan UMNO tentang janji manifesto? Kerana mereka yang sudah biasa tewas faham bahawa untuk menang bukan dengan mencari kelemahan lawan tetapi kekuatan sendiri. 

PRU14 penuh hikmah kerana ia mengajar UMNO, MCA, PGRM, MIC dan semua yang menjadi sekutu BN belajar erti menerima kekalahan dan belajar menjadi pembangkang yang bermanfaat kepada rakyat. Begitu juga dengan parti-parti politik yang menjadi sekutu dalam Pakatan Harapan perlu belajar menjadi kerajaan yang membawa rahmat, berintegriti, bertoleransi sesama sekutu dalam PH serta bijak menguruskan sebarang krisis yang timbul dengan mengelakkan ia menjadi senjata kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan.

Jika kerajaan dan pembangkang sama-sama berperanan begitu, rakyat dan negara lah yang akan mendapat laba dan pastinya masalah besar yang ditinggalkan rejim terdahulu dapat diselesaikan dengan lebih licin dan pantas. Keadaan ekonomi juga akan segera pulih kerana keyakinan pelabur akan kembali kukuh terhadap Malaysia. 

Satu hal yang jangan diremehkan adalah, majoriti rakyat yang mengundi dalam PRU14 lalu amat teruja menanti semua pengkhianat, koruptor, pencuri wang rakyat dan menyeleweng khazanah negara diheret ke muka pengadilan seberapa segera kerana beban yang dipikul rakyat selama ini sebenarnya berpunca daripada mereka. 

Ini bukan soal balas dendam dan berniat jahat, tetapi soal keadilan kepada rakyat yang tidak harus dipandang ringan. Jika ini dianggap balas dendam, apakah hukuman yang akan dijatuhkan kepada setiap seorang daripada kita di dunia ini nanti selepas dibangkitkan semula itu boleh dianggap Allah swt membalas dendam?

Jujurkah kita menuntut janji pilihanraya atau sebenarnya cuba mengalihkan perhatian dari isu 'money_fiasco' berbilion ringgit lesap angkara penyamun-penyamun bertopeng menteri dan pemimpin? Jujurlah pada diri sendiri jika tidak mampu berlaku jujur pada orang lain.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?