POLITIK DERHAKA ATAU SINETRON


"Politik adalah seni serba mungkin" yang bermaksud bukan tentang apa yang betul atau yang terbaik, tetapi tentang apa sebenarnya dapat dilakukan. Ia terkait dengan gagasan 'realpolitik' serta falsafah politik pragmatisme dalam mencapai matlamat. 

Mengkaji politik tidak akan terlepas daripada mengkaji gelagat manusia yang menjadi aktor-aktor penting dalam lingkaran politik yang mahu dikaji. Oleh itu, dengan mengenal secara dekat setiap aktor-aktor politik membolehkan kita menelah tentang apa, kenapa, siapa, dan bagaimana politik sedang bergerak dalam jajaran politik tersebut.

Kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis yang dilihat akan selesai dengan perlantikan Datuk Seri Azlan Man pagi tadi tidak lebih bagaikan ungkapan "Kusangka panas sampai ke petang. Rupanya hujan di tengahari".

Petang tadi Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut Datuk Seri Azlan Man yang telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis dipecat serta-merta. Dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, beliau berkata Datuk Seri Azlan Man sepatutnya tidak menerima perlantikan itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar pagi tadi dihadiri oleh tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS. Lebih menarik apabila Datuk Seri Shahidan Kassim juga memohon Raja Perlis supaya tidak campur tangan pentadbiran negeri dan meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pelantikan Menteri Besar itu.

Kegagalan membentuk kerajaan itu dikaitkan dengan krisis dalaman yang bermula dengan tindakan 
Datuk Seri Shahidan Kassim  menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai Menteri Besar baru.

Negeri Perlis yang hanya mempunyai 3 kerusi parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri dengan keluasan lebih kecil dari daerah Kubang Pasu, Kedah nampaknya mengulangi kemelut isu sama pada tahun 2008 selepas PRU12. 

Dalam PRU12, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku ADUN Tambun Tulang yang menang di kerusi tersebut dikatakan mendapat surat perlantikan sebagai Menteri Besar Perlis daripada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun, sebaik dibawa mengadap KDYMM Raja Perlis, istana menolak cadangan itu sehinggalah mencetuskan konflik antara istana dan kepimpinan UMNO Perlis diterajui Datuk Seri Shahidan. 

Dengan menggunakan kuasa Perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis berkaitan Majlis Mesyuarat Kerajaan menyebut: “Pada masa melantik seorang menteri besar maka Raja boleh dengan suka hatinya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam Undang-Undang Tubuh ini yang menghadkan haknya memilih seseorang Menteri Besar, jika pada pendapatnya mustahak berbuat demikian untuk memenuhi syarat-syarat dalam Perkara ini”, KDYMM Raja Perlis akhirnya memutuskan Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu juga ADUN Bintong sebagai Menteri Besar Perlis. 

Langkah ini dibuat berdasarkan kegagalan Datuk Seri Shahidan gagal membuktikan kepada Tuanku Raja Perlis bahawa beliau mendapat sokongan majoriti anggota dewan. Di pihak Datuk Seri Shahidan Kassim pula mendakwa semua ADUN yang menyokong beliau telah dilarikan oleh 'warlord' di negeri tersebut untuk menggagalkan usahanya membawa ADUN-ADUN terlibat ke hadapan KDYMM Raja Perlis.

Kini krisis serupa berlaku lagi selepas PRU14 melibatkan Datuk Seri Shahidan dan istana Perlis.  Menurut Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa yang juga Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, tempoh terlalu lama diambil oleh BN negeri untuk menentukan siapa yang akan menyandang jawatan Menteri Besar menunjukkan seolah-olah mereka (BN) tidak boleh membuat keputusan. 

Keadaan ini, menurutnya menyebabkan Tuanku Raja Perlis akhirnya melantik individu yang pada hemat baginda layak untuk menerajui pentadbiran Perlis. Tambah Dr Shamrahayu lagi, perlantikan Datuk Seri Azlan Man adalah sah di sisi undang-undang kerana Raja Perlis telah memberi perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar dan beliau telahpun mengangkat sumpah. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, mereka perlu buktikan Datuk Seri Azlan Man tidak mendapat sokongan melalui undi tidak percaya sama ada di dalam dewan ataupun di luar dewan.

Krisis perlantikan Menteri Besar Perlis kali ini walaupun menggunakan klausa sama Perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis berkaitan Majlis Mesyuarat Kerajaan, situasinya kini lebih rumit kerana Datuk Seri Shahidan Kassim bijak mencaturkan permainan setelah belajar dari kesilapan sama pada tahun 2008 dalam PRU12. kali ini, tidak seperti dahulu, sembilan ADUN BN yang menang dalam PRU14 di Perlis berdiri teguh di belakangnya sebagai bukti beliau mendapat sokongan penuh anggota dewan dari BN.

Tidak seperti dalam PRU12 di mana warlord politik di Perlis seperti Dato' Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid banyak memainkan peranan penting mencorakkan politik dan taktik serta strategi menumpulkan keampuhan Datuk Seri Shahidan Kassim, kini kedua-dua tokoh ini sudah tidak lagi menampakkan kelibat mereka dan difahamkan lebih dekat dengan pemimpin PH di peringkat pusat. 

Situasi ini menjadi 'political advantage' dan memberi kelebihan serta memihak kepada kepada Datuk Seri Shahidan Kassim dan ketumbukannya. Tocang Datuk Seri Shahidan pastinya lebih tinggi dari pihak yang mencabarnya jika melihat kepada fakta dan hujah yang ada.

Politik Perlis ini lebih mudah dikawal sekiranya kesemua 'warlord' negeri ini mampu ditundukkan oleh pihak istana dan jumlahnya tidaklah begitu besar berbanding negeri lain. Tokoh-tokoh tersebut dari team A seperti Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Dato' Seri Azmi Khalid, sementara team B pula Dato' Zahidi Zainol Ahli Parlimen yang juga Ketua UMNO bahagian Padang Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dan adiknya Datuk Ismail Kassim. 

Peranan dan impak kewujudan parti politik selain UMNO/BN di Perlis sejak dahulu sehingga kini masih belum mampu menggoyahkan kedudukan mereka. Namun, tidak mustahil akan mengikuti jejak negeri lain dan peringkat pusat sekiranya PH mampu menguruskan kemenangan bergaya dalam PRU14 kali ini.

Kini, jumlah yang masih aktif berpolitik dan mendominasi pentas politik Perlis hanyalah team B iaitu Dato' Zahidi Zainol, Datuk Seri Shahidan Kassim dan adiknya Datuk Ismail Kassim. Pastinya jebakan dan krisis ketika ini dilihat secara permukaan akan memihak kepada team B setelah team A menggerhanakan diri masing-masing dan Datuk Seri Azlan Man hanya mampu menadah tangan ke langit berharap keajaiban berada di pihaknya. 

Sementara itu, imej istana sedikit tercalar dengan tindak-tanduk serta kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Perlis yang jelas tegas enggan berlembut dalam kemelut ini hatta dengan pihak istana. Istilah 'murka' dan 'derhaka' kini tidak lagi menjadi perhitungan sebaliknya apa yang diutamakan oleh mereka yang 'protes' perlantikan Datuk Seri Azlan Man sekarang adalah, "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". 

Hubungan dingin antara Istana dengan Datuk Seri Shahidan sejak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjadi Menteri Besar Perlis lagi bukanlah rahsia bagi penduduk Perlis. Hanya pihak mana yang sanggup berlembut akan menentukan berapa segera kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis ini akan berakhir.

Mungkin benar seperti kata T.S Eliot, "Separuh kerosakan di muka bumi ini dilakukan oleh orang-orang yang mahu merasakan diri mereka penting". Jika ketika BN sudah tidak lagi berkuasa di pusat pun boleh berlaku hal seperti ini, cuba bayangkan jika BN masih menumpuk kuasa? Agaknya aksi apa yang rakyat dapat tonton?

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?