ANAK BULUH BETUNG & PENGABDI SETAN

Pemilihan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Apandi Ali sesungguhnya rahmat tidak terhingga kepada seluruh rakyat dan negara jika kita merenung terhadap perjalanan proses ini. Tidak terkecuali diri saya sendiri kerana dengan perlantikan beliau yang mencetuskan sedikit kontroversi dan polemik agak membahang bagi sesetengah rakyat, banyak perkara baru dapat dipelajari dari isu ini.

Jika sebelum ini perlantikan 
Peguam Negara lancar tanpa banyak isu besar berlegar, tetapi kali ini ia mengheret banyak pihak termasuk institusi Istana. Begitu banyak spekulasi menghempas persada politik negara dan ia tidak kurang yang menggali hujah-hujah berdasarkan fakta dan bukti yang selama ini tidak pernah dihiraukan. Tetapi, jangan bimbang kerana tidak sedikit yang membuta-tuli tampil memberikan pandangan.

Sebelum perlantikan 
Peguam Negara yang baharu ini, ada yang berpendapat Peguam Negara semestinya dilantik dari kalangan orang Melayu beragama Islam sahaja walaupun sejak negara mendapat kemerdekaan, khususnya di peringkat awal kemerdekaan, beberapa Peguam Negara terdiri dari bukan Melayu. Akhirnya banyak perkara yang tidak mendapat kepedulian sebelum ini melonjak naik ke permukaan untuk dihadam oleh rakyat yang ingin tahu kedudukan sebenar.

Bagi yang kecewa kesan dari penolakan parti pemerintah (BN) sebelum ini dilihat mengambil kesempatan memercikkan api kebencian menggunakan kaum dan agama sebagai perisai mempertahankan kejumudan hujah kerana telah sekian lama berjaya menggunakannya setiap kali terhimpit.

Bagi saya, keterujaan meluap-luap untuk mengenali siapa Tommy Thomas 
Peguam Negara yang baharu diterjemahkan dengan membeli dua buah buku karya beliau berjudul 'Abuse of Power' dan 'Anything but the Law' yang diterbitkan pada tahun 2016. Hari ini, buku yang dibeli atas talian dari MPH itu sampai ke tangan saya dan terus membelek sepintas lalu kedua-duanya.

Di dalam buku 'Abuse of Power' ini, saya tertarik kepada bab 14 berjudul 'A Constitutional Blunder By Najib' di halaman 86. Dari hasil bacaan bab ini telah membuka mata saya betapa selama ini perlembagaan negara yang kononnya dijunjung sebenarnya telah diinjak-injak oleh Najib dan pemerintah ketika itu tanpa merasa bersalah seolah-olah sebagai pemerintah, apa saja boleh dilakukan hatta menipu dan tidak menghormati perlembagaan negara serta KDYMM Yang Di Pertuan Agong. Malangnya, tidak ada pula yang bertempik terlolong membantah kebiadaban ini.

Amat menyedihkan apabila tidak ada pihak yang menegur kesalahan besar dilakukan Najib ini termasuk pegawai tinggi dari jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri, Sekretariat Kabinet dan Dewan Negara yang sepatutnya menasihat Perdana Menteri Najib bagi mengelakkan perkara itu berlaku. Kenapa ia dibiarkan berlaku sehingga seolah-olah tidak ada manusia atau makhluk yang faham akan undang-undang tertinggi negara telah diliwat dan dilelong dengan begitu mudah?

Menurut Tommy Thomas dalam bab ini, tugas pertama Najib Razak sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri pada 6 Mei 2013 setelah BN memenangi PRU13 adalah menubuhkan kabinet beliau. Artikel 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan Jemaah Menteri hendaklah dilantik atas nasihat Perdana Menter di mana Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

Secara tradisinya, kabinet didominasi oleh wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya, namun Perdana Menteri sering melantik beberapa menteri kabinet dari Dewan Negara. Harus diingat bahawa selain dari wakil rakyat, seseorang tidak boleh dilantik sebagai anggota kabinet bersesuaian dengan kedudukan demokrasi berparlimen.

Begitu juga dengan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen mesti datang dari Ahli Parlimen seperti di sebut di bawah Perkara 43A(1) dan 43B(1) Perlembagaan Persekutuan kecuali setiausaha politik yang dikecualikan dari perkara ini.

Mengikut Tommy Thomas, agak mengejutkan apabila kenyataan dibuat Paul Low pada 24 Mei 2013 bahawa beliau belum mengangkat sumpah sebagai senator tetapi telahpun mengangkat sumpah sebagai menteri kabinet di hadapan 
Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2013.

Perkara 43(6) dengan jelas menyebut, "Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam."

Sumpah jawatan yang perlu dilafazkan Paul Low di bawah Jadual Keenam berbunyi, "Saya,......... setelah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."

Seorang lagi menteri kabinet yang dilantik (Abdul Wahid Omar) dan tiga Timbalan Menteri yang juga tidak dilantik sebagai senator turut mengangkat sumpah jawatan di hadapan 
Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2013. Kesemua perlantikan ini secara terang-terangan tidak berperlembagaan. Sekiranya mereka melafazkan seperti di atas ketika mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, mereka telah tidak bercakap benar kerana tidak seorang pun dari mereka dilantik sebagai senator sebelum dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Setiap perlantikan tidak boleh dilakukan 'backdated'. Di bawah Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas bahawa seseorang itu terlebih dahulu dipilih oleh rakyat atau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sebelum menjadi menteri dan timbalan menteri bukan sebaliknya. Sekiranya mereka menjalankan fungsi sebagai menteri dan timbalan menteri sejak 16 Mei 2013, mereka telah melaksanakannya tanpa mengikut perlembagaan. 

Begitu besar kesalahan yang dilakukan Najib ketika itu tetapi negara seakan-akan tidak ada satupun 'dosa' yang berlaku ketika itu. Besar sungguh kuasa Perdana Menteri sehingga boleh melakukan apa saja termasuk bertindak biadab terhadap undang-undang tertinggi negara dan Yang di-Pertuan Agong. Mana perginya pejuang bangsa Melayu? mana hilangnya suara penunggang-penunggang agama yang di dalam partinya tidak kurang berkelulusan undang-undang? Apakah rakyat dijangkiti sindrom bisu, pekak dan buta? 

Hikmah isu yang terbit dari proses perlantikan ini menunjukkan bahawa kebobrokan dan kebejatan yang berlingkar dalam kepompong kekuasaan hanya akan terburai sebaik kerusi kekuasaan dicampak dan diganti dengan yang baharu. Selagi kekuasaan dimonopoli oleh pihak yang sudah hilang kejujuran dan amanah walaupun bersumpah atas nama Allah swt, negara akan terus gelap gelita diselubungi awan dan kabus pembohongan. 

Namun, Anak Buluh Betung dan Pengabdi Setan tidak selamanya mampu membisikkan 'mantera' untuk melepaskan setan dan amalan khurafat bagi mengaburkan mata rakyat. Panglima Halilintar dan isterinya tetap tampil menyelamatkan Raja Bangkahulu dan Ratu Ratnasari. Walaupun Raja Bangkahulu telah mangkat dan Ratu Ratnasari akhirnya melahirkan seorang putera yang diberi nama sebagai Tengku Bujang Jauh. Putera yang dijaga dan dilatih oleh Panglima Halilintar akan ilmu pertarungan bagi menjayakan misi mereka untuk merampas kembali takhta dan menuntut bela atas kemangkatan Raja Bangkahulu akhirnya direalisasikan.


Kedaulatan Raja dan Kedaulatan Rakyat akhirnya bersatu mengembalikan 'Kedaulatan Undang-Undang' yang kini sedang dinikmati oleh seluruh rakyat dan negara. Kebenaran tetap muncul seperti kata Livy salah seorang ahli sejarah era Rom Purba yang masyur, "Kebenaran sering gerhana, tetapi tidak mungkin padam".

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?