HIKAYAT OSAMA BIN LADEN VS JAMAL BIN LADEN

Setiap kali mendengar lagu-lagu nyanyian Jamal Abdillah, hati kita pastinya diruntun akan kehebatan gemersik suara garau berbalut kelunakan yang tidak ada duanya. Dari khabar yang diterima, anak penyanyi tersohor ini dinamakan Osama Yamani katanya gara-gara keterujaaan Jamal terhadap bekas pemimpin utama Al-Qaeda Osama Bin Laden.

Menyentuh isu Jamal dan Osama Bin Laden, teringat saya kepada pengalaman bertugas sebagai pasukan keselamatan ketika lawatan pemimpin negara ke New York dan Washington satu ketika dulu selepas peristiwa 11 September yang mengejutkan seluruh penjuru dunia. Sebelum ketibaan pemimpin utama negara, dengan berbaki sedikit masa terluang, saya sempat melawat tapak kesan runtuhan menara berkembar World Trade Centre yang dibuka pada tahun 1973 secara rasmi.

Perasaan sedih menyelubungi diri mengenangkan begitu ramai jumlah mangsa terkorban dalam peristiwa ini walaupun ketika itu masih belum mengetahui mengenai teori konspirasi terkait dengan Osama Bin Laden.

Walaupun saya berada dalam agensi keselamatan (perisikan) negara, secara jujurnya saya ketika itu agak fanatik kepada Osama Bin Laden yang membawa kepada minat mengumpul koleksi buku-buku sebahagian besar ketika itu tertumpu kepada Osama.

Peluang berada di Washington dan New York saya gunakan juga untuk membeli buku-buku berkenaan Osama Bin Laden selain ‘espionage’ di kedai-kedai buku di Washington. Ketika membelek-belek buku Osama di sebuah kafe yang turut menjual buku Osama, seorang lelaki Arab bertanya saya kenapa membeli buku Osama? Jawab saya kerana ingin mengetahui kisah sebenar mengenai Osama. Kata-kata lelaki Arab itu terngiang-ngiang hingga sekarang di telinga saya. Katanya, Osama itu agen Central Intelligence Agency (CIA) dan haiwan peliharaan Amerika dan jangan percaya apa yang ditulis oleh buku-buku berkenaan beliau.

Saya agak keliru apabila warga Arab sendiri tidak percaya kepada Osama tetapi 'lelaki Melayu terakhir' ini sangat percaya dan mengagumi pemimpin Al-Qaeda itu. Jika yang berada dalam agensi perisikan pun percaya pembohongan seperti itu, apalah sangat dengan ‘spy leman’ dan kuncu-kuncunya.

Sejak itu, saya gigih mencari fakta-fakta melibatkan Osama Bin Laden dan pertubuhan pengganas yang dipimpinnya Al-Qaeda. Satu-persatu bukti-bukti yang muncul menunjukkan ada kebenaran apa yang diberitahu lelaki Arab di kafe Washington itu bahawa Osama adalah ikon pengganas rekaan Central Intelligence Agency (CIA).

Jamal Abdillah mungkin menyanjungi Osama sebagai individu yang konon sanggup mati berjuang demi Islam. Saya pula satu ketika bukan saja menyanjungi Osama tetapi juga Jamal Abdillah.

Kini saya tidak lagi menyanjungi Osama tetapi masih menyanjungi kehebatan Jamal Abdillah tetapi sama sekali tidak percaya dengan Jamal Yunos @ Jamal Jamban @ Jamal Bin Laden.
                          

Osama Bin Laden dan Jamal Bin Laden mempunyai banyak persamaan untuk dihikayatkan. Malah, dalam keadaan tertentu mungkin ‘Jamal Bin Laden’ ini lebih hebat dari Osama.

Sebelum Osama Bin Laden menghilangkan diri mengelakkan buruan CIA dan agensi perisikan sekutu Amerika, beliau muncul dipelbagai lokasi secara terbuka sama seperti Jamal Bin Laden yang sebelum ini ada di mana-mana tetapi kini lesap.

Osama Bin Laden kaya raya menggunakan wang beliau dan ‘derma’ jihad golongan simpati kepada perjuangan Al-Qaeda untuk perjuangan kononnya atas nama Islam. Jamal Bin Laden juga kaya raya ‘derma’ dari Najib dan UMNO atas nama perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair (ABATA). Kekayaan Jamal Bin Laden sehingga mampu menjual ikan murah ketika kempen PRU14 dan memberi minyak motosikal percuma kepada penyokong. Malu rasanya Osama Bin Laden tidak mampu melakukan apa dilakukan Jamal Bin Laden.

Osama amat jarang muncul dengan propagandanya dilayar kaca dengan mengirim video pendek melalui kurier untuk membuktikan beliau masih hidup dan berjuang menentang Amerika Syarikat dan sekutunya. Tetapi jamal Bin Laden begitu kerap muncul dengan video-video pendeknya mencabar pihak keselamatan berhubung keberadaannya. Keberanian Jamal Bin Laden bukan calang-calang orang mampu menandinginya hatta kepala pengganas paling ditakuti seluruh dunia.

Nampaknya Osama Bin Laden lebih ‘bacul’ dari Jamal Bin Laden kerana beliau bimbang diserkap oleh CIA tetapi Jamal langsung tidak menampakkan kebimbangannya. Dengan hanya alasan untuk ke Bangunan Tabung Haji sahaja beliau mampu meloloskan diri.
                          

Osama didakwa tidak menggunakan peralatan canggih kerana bimbang dikesan CIA dan agensi perisikan seluruh dunia tentang keberadaannya tetapi Jamal Bin Laden tanpa rasa gentar muncul tersengeh-sengeh membuat ucapan dalam video-video kirimannya.

Osama Bin Laden terpaksa bersembunyi di kawasan pergunungan dan gua-gua batu dinamakan Tora-Bora di kawasan sempadan Afghanistan dan Pakistan tetapi Jamal Bin Laden hanya perlu bersembunyi dalam ladang kelapa sawit dan bilik berlatarbelakangkan kain biru. Dari foto-foto gua Tora-Bora, ianya begitu kompleks berbanding ladang kelapa sawit lokasi persembunyian Jamal Bin Laden. Tidak hebatkah Jamal Bin Laden? 

                       

Osama terpaksa menyerang tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, kapal induk tentera Amerika, Kedutaan Amerika di Lubnan, serangan bunuh diri dan berbagai lagi termasuk bertindak menyerang orang awam atas alasan ‘jihad’ tetapi Jamal Bin Laden hanya perlu berjihad dengan mengetuai bantahan penganjuran 'Better Beer Festival 2017 di depan pintu pagar utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Jamal Bin Laden juga hanya perlu melakukan tindakan biadap dengan hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dalam keadaan bertuala tanpa baju dengan alasan untuk ‘menumpang mandi’. Jamal juga hanya perlu menjadi samseng baju merah dan mengupah dua-tiga puluh ringgit kepada ‘jihadist’ pimpinannya menyerang sesiapa saja yang menentang kepimpinan Najib termasuklah kumpulan Baju Kuning.
                              

Osama Bin Laden kononnya memperlekehkan CIA dan seluruh agensi perisikan seluruh dunia dan Jamal Bin Laden juga tidak kurang jaguhnya memperlekehkan agensi keselamatan negara dengan lagaknya itu. Osama dan Jamal setanding dalam banyak hal tetapi Osama Bin Laden sudah ditamatkan skrip drama bersirinya berbanding Jamal Bin Laden entah bila pengarah drama akan menghentikannya.

Seperti dilaporkan, Osama bin Laden dibunuh oleh pasukan komando Amerika Syarikat Navy SEAL, di Abbottabad, Pakistan, pada awal Mei 2011 dan jenazahnya tidak dikuburkan, sebaliknya ditenggelamkan ke laut dari kapal induk USS Vinson atas alasan alasan mencegah tempat itu dijadikan "tempat keramat" oleh para pendukungnya. Maka, ada kewajaran selepas ini Jamal Bin Laden juga perlu ditenggelamkan di Selat Melaka atau boleh juga di laut berhadapan kawasan Sungai Besar supaya rakyat negara ini tidak tahu ke mana hilangnya Jamal Bin Laden dan lengkaplah ‘Teori Konspirasi Jamal’.

Osama Bin Laden haiwan peliharaan CIA, bagaimana dengan Jamal Bin Laden? Kebohongan hanya akan menyelamatkanmu sementara tapi menghancurkanmu selamanya.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?