Jangan Biarkan Peluru Ke Arah yang Keliru


Membaca tulisan Prie GS di mana bahasa yang digunakan begitu santai sesungguhnya merupakan usaha merehatkan minda setelah keletihan di siang hari. 

Sebentar tadi saya mengulang baca buku 'Nama Tuhan di Sebuah Kuis' karya beliau. Seperti biasa, cara saya tak pernah berubah dengan tidak membaca dari bab awal sebaliknya mencari topik-topik berkenan di hati. 

Saya terus membaca bab berjudul 'Maaf, Rakyat Sedang Sibuk' di mana catatan beliau paling menyentuh minda saya adalah apa disebut di perenggan 5 dan 6 di halaman 92. 

Katanya, "Selama ini rakyat Indonesia begitu sibuk mengurus orang lain termasuk pemimpinnya. Begitu besar cinta rakyat pada pemimpin hingga jika mereka bertengkar, rakyat ikut bertengkar. Jika pemimpin ingin dukungan, rakyat begitu gampang berdemonstrasi, kadang dengan bayaran sangat murah, kadang gratis, kadang malah tombok. Rakyat dengan tingkat pengorbanan semacam ini jelas membuat para pemimpin manja. Dengan gampang mereka akan menyuruh rakyat berantem dan mati di jalan-jalan". 

Hati dan minda saya menyatu lantas menyimpulkan, "Wah! sememangnya orang di Malaysia juga tak kalah dari apa yang dilakukan orang di sana?" Pemimpin senang-senang menjadi maling mencuri harta negara tapi pengikutnya berantem sesama sendiri atas prinsip pemimpin wajib dipertahankan asal saja sebangsa dan seagama.

Biar saja menjadi maling tegar, super koruptor, integritinya sifar, keborosannya bikin Imelda cemburu, angkuhnya hingga melutut Firaun dan Qarun di kaki pemimpin ini, semuanya gampang dan beres, asal saja Melayu dan Islam. Kami berikrar sanggup mati demi pemimpin. 

Apa lagi yang dapat rakyat seluruhnya harapkan jika minda terjajah dan minda hamba begini menjadi anutan sebahagian rakyat yang sudah hilang rasa sakit dan benci ditipu. Pemimpin semakin manja dan terus menginjak-injak kepala rakyat kerana mereka sedar bahawa suntikan dan bisikan ketuanan Melayu dan Takkan Melayu Hilang Di Dunia sudah berkerak dalam jiwa dan minda pengikut mereka.

Bisikkan saja "Jangan biarkan bukan Melayu punya posisi dalam kerajaan dan dihormati kerana nasib Melayu akan berantakan serta bangsat gara-gara diberi peluang ini!" Maka seperti dirasuk iblis pengikut-pengikut dan agen provokator tidak mensia-siakan peluang dan masa yang ada untuk menyerang sesiapa saja yang cuba berlaku adil untuk semua rakyat tanpa mengira status sosial, bangsa dan agama. Ini semua tidak adil buat mereka kerana keadilan adalah hanya dari aku, untuk aku dan kepada aku.

Perlembagaan negara dan undang-undang bukan lagi rujukan sebaliknya hanya kata-kata pemimpin mereka saja yang betul. Nafiri dan gendang perang pun ditiup dan dipalu untuk menaikkan semangat rakyat yang sudah kerasukan. Apa saja alasan membolehkan mereka kelihatan benar dan berautoriti akan dipunggah untuk menjustifikasikan segala tindakan. 

Kesalahan pemimpin setinggi langit dan sedalam samudera sudah lenyap dan yang tinggal adalah pemimpin difitnah dan dianiaya. 284 kotak-kotak dan 72 beg besar berisi wang, barang kemas, jam tangan dan jongkong emas sehingga memerlukan berbelas buah lori 3 tan jangan ada yang cuba-cuba sebutkan. 

Alangkah mudahnya rakyat diperkuda dan dikeldaikan seperti ini? 'Jangan Biarkan Peluru Ke Arah yang Keliru' wahai sahabat-sahabat yang istiqamah untuk menegakkan yang haq dan runtuhkan yang batil. Perjuangan belum selesai selagi masih ada rakyat yang merelakan diri menjadi abdi kepada pemimpin pencuri dan penindas. Lebih aneh apabila bukan saja ada segelintir rakyat yang menyokong pemimpin pencuri, hatta mufti pun sudah terang-terang membela 'penyamun bertaraf 7 petala langit dan 7 petala bumi ini'.

Jangan biarkan negara porak-peranda hanya kerana mempertahankan 'penyamun' sedangkan yang bergelut menyelamatkan negara diletakkan dalam kandang pesalah. Buat baik berpada-pada, bertindak bodoh jangan sekali!

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?