KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)
Tiba-tiba hari ni nama KDN mencanak naik gara-gara video seorang individu yang mengaku pegawai KDN bertekak dengan pengguna jalanraya. Hebat sungguh KDN agaknya sehingga perlu disebut-sebut untuk tujuan menggertak.
Baru-baru ini dilaporkan, Menteri KDN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak dan disusun semula berikutan struktur yang disifatkan "berserabut".
Jika begitulah keadaannya, KDN sendiri pun elok Tan Sri Muhyiddin rombak sekali bagi membersihkan anasir dan elemen perosak kepada kementerian dan kerajaan. Apalah sangat masalah memandu di jalanraya sehingga nama kementerian diheret untuk menakut-nakutkan masyarakat? Agaknya dia masih dibelenggu pemikiran zaman ketika internet belum wujud di negara ini.
Sebenarnya banyak anai-anai dalam KDN dan jabatan-jabatan di bawah KDN. Mengambil contoh isu pekerja asing dan pendatang haram di negara ini yang turut disebut oleh menteri. Pekerja-pekerja dan pengusaha kedai makan ala Thai saja berapa jumlah mereka di negara ini? Kebanyakan dari mereka menggunakan pas sempadan sedangkan jika menurut apa yang tercatat di pas sempadan tersebut hanya dibenarkan masuk tidak melebihi 25km. Tetapi hingga ke Johor Baharu pun ada yang menggunakan pas sempadan. Jika 25km, hingga ke Jitra, Kedah dari Bukit Kayu Hitam sudah dikira mencukupi hadnya.
Daripada pengalaman sebelum ini, lebih 70% pekerja gerai makanan ala Thai ini tidak menggunakan permit kerja sah yang demikian telah melanggar syarat pas dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Berapa banyak kerugian wang yang terpaksa dipikul? Sudahlah mereka dibenarkan menggunakan pas sempadan untuk digunakan sebagai dokumen mendapatkan permit kerja tidak seperti warganegara negara lain. Itupun masih enggan mengambil permit kerja untuk pekerja-pekerja mereka.
Seperkara menarik perhatian adalah warga asing hanya dibolehkan bekerja dan tidak menjadi pemilik dan pengusaha perniagaan. Tetapi lebih 90% pengusaha kedai makan ala Thai ini dimiliki dan diusahakan oleh mereka sendiri dan menggunakan lesen penduduk tempatan. Ketika pemeriksaan dijalankan maka mereka akan menghubungi pemilik lesen untuk datang dan mengaku mereka menggaji warga Thai yang mengusahakan perniagaan tersebut. Ini sudah melanggar Seksyen 56(1)(d) iaitu dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya telah melanggar peruntukan Akta.
Contoh paling ketara berhubung warga Thai mengambil kesempatan berniaga di negara ini adalah di arked niaga Padang Besar, Perlis dan Wang Kelian. Hampir 90% dimonopoli oleh warga Thai yang berulang alik dari negara jiran itu ke negara ini setiap hari. Jika ada warga tempatan mahu berniaga pun tidak mampu bersaing dari sudut harga kerana mereka terpaksa membayar cukai kastam sedangkan warga Thai yang berulang alik membawa stok ke kedai mereka secara berulang-ulang setiap hari dengan motosikal dan kereta setelah ‘kenal’ rapat dengan pihak kastam dan imigresen.
Ini belum lagi diambilkira kedai-kedai nasi kandar dan lainnya. Kebanyakan wang dalam negara berbilion ringgit mengalir keluar ke negara asing dikirim pulang ke negara asal dan ini amat tidak baik kepada ekonomi negara.
Kehadiran pekerja asing dan pendatang haram ini juga secara tidak langsung meningkatkan peluang berlakunya rasuah samada ketika pemeriksaan oleh pihak keselamatan, penguatkuasa atau agensi bertugas di sempadan dan pintu masuk. Semakin bertambah kesalahan maka semakin terbukalah peluang untuk meminta rasuah.
Jika mengikut peraturan, tuan punya dokumen perjalanan perlu hadir di pos imigresen di sempadan atau pejabat imigresen untuk diperbaharui visa dan permit masuk, tetapi dari risikan sebelum ini mendapati terdapat agen yang mengumpul paspot atau pas sempadan untuk dibawa kepada pegawai imigresen tertentu untuk diproses dengan bayaran tertentu selain bayaran yang ditetapkan kerajaan. Bayangkan jika seorang agen membawa 100 pas sempadan untuk dicop dengan serendah RM10 setiap pas sempadan? Dari tinjauan rambang, pekerja Thai Muslim yang bekerja di Kedah dan Perlis saja mencecah ribuan orang. Berapa ongkos bawah mejanya bapak?
Jika diikutkan masalah yang boleh disenaraikan di bawah KDN, terlalu banyak yang membuatkan rakyat bimbang dan merasa betapa longgar dan lemahnya sistem kawalan dan pemantauan oleh pihak terlibat.
Oleh yang demikian, masanya sudah sampai untuk KDN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yasin bertindak membetulkan keadaan sebelum rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan baharu. Kita semua sayangkan kerajaan baharu yang dipilih kerana rakyat majoritinya percaya dan yakin kerajaan ini mampu membanteras rasuah dan penyelewengan yang menjadi punca hilangnya keamanan dan kesejahteraan rakyat diragut oleh koruptor-koruptor yang kenyang disumbat oleh penjenayah dan mereka yang melanggar undang-undang.
Jangan biarkan negara terus berada dalam keadaan seperti di bawah kerajaan sebelum ini. Kita memiliki dua pilihan sepanjang hayat. Sakit kerana ingin berubah atau sakit kerana tidak berubah.

Comments
Post a Comment