KJ SINGA UMNO
Kalah atau menang dalam saingan merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin mahu terus menjadi ‘Singa UMNO’ di Dewan Rakyat menentang Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Itulah kata-kata yang disebut Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dalam majlis Ramah Mesra Bersama Khairy Jamaluddin, di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada malam Khamis 28 Jun 2018.
Tiba-tiba saja bekas Ketua Pemuda UMNO itu ‘menyinga’ dalam usaha merebut jawatan Presiden bersama dua lagi calon iaitu pemangku Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Sabtu ini.
Jika sebelum ini dalam UMNO, sejarah terpahat hanya allahyarham bapa Tan Sri Hamid Albar iaitu Tan Sri Syed Jaafar Albar yang kita tahu terkenal dengan gelaran Singa UMNO. Kini bertambah lagi singa dalam UMNO. Janganlah banyak sangat singa, harimau, seladang, kera dan monyet dalam UMNO. Nanti bukan dipanggil UMNO tetapi zoo.
Dalam sejarah Islam pula jika disebut singa, Khalifah Umar Al-Khattab saja yang dijuluki sebagai singa padang pasir. Kepantasan pedang beliau bagaikan kilat membelah angkasa, sehingga amat ditakuti oleh penduduk Kota Mekah.
Oleh yang demikian, apabila KJ tiba-tiba mengaku menjadi singa, maka peluh mengalir deras dan denyut nadi saya berkali ganda meningkat dek gerun yang teramat sangat. Ketakutan saya berasas kerana bimbang habis semua ahli parlimen dan speaker bertempiaran lari meninggalkan dewan rakyat dek menyingannya singa UMNO ini. Nasib tidak baik terberak terkencing habis kesemuanya termasuk pihak media yang mengedalikan sidang dewan rakyat.
Kenapa KJ memilih singa dan bukan gajah, naga, garuda, paus, jerung dan segala haiwan yang saiznya besar dan digeruni? Mungkin nostalgia KJ dengan Singapura masih kuat menguasai fikirannya. Beliau sukar melupai zaman kegemilangannya menunggang bapa mertuanya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal dengan panggilan Pak Lah itu. Zaman beliau dan budak tingkat empat didakwa sebagai ‘tukang kutip toci’ atau ‘gate keeper’ kepada sesiapa yang berhajat menemui PM. Mestilah ada yuran laluannya jika dah menggunakan perkhidmatan ‘jalur lebar’.
Sejak Pak Lah mengambilalih kerusi Perdana Menteri (PM) dari Tun Dr Mahathir Mohamad, Singapura tidak lagi menunjukkan sikap bermusuh malahan menunjukkan kesediaan untuk berbaik-baik. Bagi Pak Lah yang diketahui umum berdepan masalah mudah tidur di mana dan bila-bila masa itu, ini adalah kejayaan diplomasinya. Tetapi umum tahu, Singapura tidak pernah berminat untuk berbaik-baik dengan Malaysia dalam apa keadaan sekalipun kecuali jika ia menguntungkan republik itu seperti pernah di sebut Datuk Kadir Jasin dalam blog beliau.
Sebagai menantu kesayangan dan orang kepercayaan Pak Lah, Khairy menjadikan Kalimullah sebagai seorang lagi orang kepercayaan bapa mertuanya. Singapura tidak perlu bermusuh malahan berbaik-baik dengan Malaysia kerana Khairy dan Kalimullah sudah boleh menjalankan apa yang dikehendaki oleh mereka.
Hasilnya, Temasek, badan pelaburan kerajaan Singapura bebas bergerak dan mengambil peluang di Malaysia, mengambil alih Pantai Holdings, Southern Bank Berhad, Avenue Capital (menerusi ECM Libra yang diterajui Kalimullah dan Khairy sebagai ahli lembaga), Telekom Malaysia selain dari mencuba untuk menembusi syarikat Malaysia seperti Proton.
Tun Dr. Mahathir yang melihat usaha Singapura untuk menghancurkan kepentingan negara akhirnya terpaksa bertindak dan memulakan kempen menentang kepimpinan Paklah dan dengan lantang mengkritik kepimpinan pengganti beliau itu sehingga akhirnya terpaksa tunduk dan menyerahkan baton kepada Dato’ Seri Najib.
Namun KJ yang licik ini wajar bersyukur atas kejayaan beliau membebaskan diri daripada Pak Lah dan merapati Dato’ Seri Najib sehingga diterima sebagai orang kepercayaan dan ini membuktikan keupayaan beliau sebagai political survivalist muda.
KJ memang terpaksa dan wajar berterima kasih kepada Najib kerana melantik beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan yang bukan saja dapat menjadi menteri tetapi juga wadah untuk beliau terus merangsang nafsu besarnya mahu menjadi PM termuda sebelum berumur 40 tahun. Kerusi Menteri Belia dan Sukan itu cukup sesuai untuk tujuannya menghimpun golongan muda mengidolakan beliau bukan UMNO.
Sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), kedudukan beliau dalam politik UMNO boleh disifatkan sebagai tidak goyah kerana sebagai Ketua Pemuda serta Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki UMNO. Tetapi malangnya, tindakan beliau itu mirip seperti apa dilakukan bosnya yang mahu diri popular bukan parti yang popular di mata rakyat.
Dalam sejarah UMNO, seingat saya hanya ada dua orang Ketua Pemuda yang tidak mahu menerima jawatan kerajaan. Mereka mahu menjadi Ketua Pemuda yang bebas mengkritik kerajaan sekiranya perlu. Mereka adalah Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar dan Dato’ Suhaimi Kamaruddin. Walaubagaimanapun, KJ bukanlah orang seperti Jaafar Albar dan Suhaimi.
Bagi KJ, jawatan begitu penting bukan gelaran Dato’ atau Dato’ Seri dan Tan Sri. Kerusi Ketua Pemuda dan menteri itu penting untuk menumpuk kekuasaan dan pengaruh diri. Sebaliknya, beliau berusaha menggambarkan kepada rakyat bahawa dia adalah orang yang tidak kemaruk gelaran dan lebih utamakan menabur bakti.
Tetapi dengan jawatan Ketua Pemuda dan menteri itu, mana hilang jantannya KJ untuk menegur bos beliau yang terpalit dengan skandal besar dicanang di seluruh dunia sehingga isu itu menjadi faktor utama tumbangnya Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk menjadikan parti ini yatim piatu. Isu 1MDB yang begitu besar penyakitnya disertai keunggulan Tun Dr Mahathir Mohamad mengepalai Pakatan Pembangkang akhirnya mencatat sejarah menguburkan BN dan UMNO buat pertama kalinya dalam sejarah dalam PRU sejak negara mencapai kemerdekaan.
KJ mahu digelar singa walaupun ternyata beliau tidak lebih dari kucing parsi yang dikembirikan. Tetapi sebagai tanda hormat kepadanya yang pintar bermuka-muka dan hebat aura kemunafikannya, kita panggil saja beliau singa. Singa sarkas yang disuruh duduk dia duduk, disuruh lompat walaupun gelang disaluti api besar dia tetap melompat kerana mahu dilihat sebagai Pak Turut yang taat setianya kepada Najib tidak berbelah bagi. Najiblah tuan yang memberinya makan dan minum serta tempat tinggal maka tidak ada kewajaran bagi beliau untuk menyanggah Najib.
Apa kata Najib itulah yang benar tidak ada yang tidak benar melainkan benar-benar belaka. Taik kucing dikatakan pulut kaya pun KJ akan tetap pertahankan ianya pulut kaya kerana kata-kata Najib adalah wahyu yang haram disanggah. Rakyat tidak lupa penghinaan beliau terhadap Dato’ Seri Mukhriz dalam PERGONG dengan menggelar mantan MB Kedah itu dengan nama ‘Boboi’ kerana apa jika bukan bertujuan mengampu? Saling tak tumpah menjadi batu api seperti Rosyam Nor lakukan dalam satu program di mana beliau bertindak sebagai moderator untuk majlis dialog bersama penggiat seni yang berlangsung di kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana, Putrajaya sehingga menyebabkan David Teo dilempang Mat Over.
KJ mungkin percaya beliau memiliki kuasa untuk menukar dirinya sekejap menjadi singa dan sekejap menjadi gajah mengikut kemahuannya. Namun, semakin kerap beliau berubah menjadi itu dan ini, semakin ketara sifat opportunis, munafik dan tidak boleh dipercayai dipertontonkan kepada rakyat. Dulu menjilat Najib, sekarang tidak henti-henti menyalahkan Najib dan tanpa segan silu kononnya memohon maaf atas kesilapan beliau membiarkan UMNO diterajui pemimpin kleptokrat yang meletakkan negara di dalam situasi amat perit.
KJ wajar diberi peluang lagi, peluang untuk belajar mendaki dari bawah bukan mendaki dari atas kerana itu namanya menuruni bukan mendaki. Jangankan singa, beruk dan ungka juga tahu bahawa untuk mendaki bermulalah dari bawah. “Kezaliman akan terus ada, bukan kerana banyaknya orang-orang jahat. Tapi kerana diamnya orang baik”.

Comments
Post a Comment