NASIB UMNO & PAS SERUPA


PAS sejak tahun 1955 di mana ulama UMNO memilih untuk keluar UMNO menubuh PMIP (Pan Malayan Islamic Party) dan kononnya PMIP akan perjuangkan Islam maka ramailah ahli dan penyokong UMNO terpengaruh. Dalam PRU tahun itu 52 dari 98 kerusi ditandingi, PMIP menang hanya 1 kerusi. Sebanyak 51 kerusi dimenangi oleh Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).
Sejak dari itu walaupun dengan menggunakan Islam sebagai senjata meraih sokongan, PPIMP yang kemudiannya menjelma sebagai PAS tidak pernah memenangi banyak kerusi sekiranya bersendirian.

PAS hanya berjaya menambah jumlah kerusi lebih dari kebiasaan apabila bergabung dengan parti lain seperti tahun 1990 dan 1996 bergabung dengan S46 dan menang 7 kerusi kedua-dua PRU.

Pada tahun 1999, PAS menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti DAP membawa kepada kejayaan PAS menambah kepada 27 kerusi.

Pada tahun 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, PAS memperoleh hanya tujuh kerusi.

Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Barisan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya prestasi PAS meningkat semula. Pada tahun 2008 PAS memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Yang jelas dari rekod yang ada menunjukkan pencapaian PAS merosot teruk apabila bersendirian, tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP, pada 1999, 2008 dan 2013 PAS mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.

Sekarang giliran UMNO untuk melalui proses yang sama seperti PAS. BN kini ibarat hidup segan mati tak mahu. Parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak sudah tuntut fasakh dan kini hanya terus tinggal sebumbung dengan MCA, MIC dan GERAKAN dengan saling bermasam muka. MyPPP juga sudah berambus mengenangkan nasib yang hanya umpama melukut di tepi gantang, ada tak menokok tak ada pun tak berkurang.

MCA, MIC dan GERAKAN pula walaupun masih berada dalam BN ibarat mayat firaun yang diawet untuk dimuziumkan. Maknanya, samada MCA, MIC dan GERAKAN ada atau tidak sama seperti tak ada yang membawa maksud UMNO sudah solo dan BN sudah berkubur.

Dengan hanya membawa payung UMNO, 54 kerusi dimenangi dalam PRU14 juga akan tetap berkurang dalam PRU akan datang kerana jumlah itu diperolehi atas undi kaum Cina, India dan Melayu opportunis yang kini sudah mendayung sampan berpindah ke dalam bahtera Pakatan Harapan (PH) samada bertopeng atau tidak.

Mungkin itulah sebabnya calon penasihat kerajaan BN jika menang Ayatollah Hadi Awang dan saf pimpinannya kini mengeluarkan kata-kata lunak dan memikat terhadap Tun Dr. Mahathir dan PH. Alangkan Lebai yang didakwa 'membaham' dedak dari UMNO pun sudah mengubah haluan sehingga tercabut stering, apa lagi yang lain yang hanya menggigit jari?

Sejarah ditulis oleh yang menang maka jarang-jarang ada yang mahu nasib mereka ditulis oleh yang kalah. Nama BN yang cukup sinonim dengan kerajaan Malaysia sudah gerhana dan apa lagi pilihan UMNO untuk terus bernafas? Bunuh diri? Mana mungkin parti yang mendakwa memperjuangkan agama dan bangsa boleh bunuh diri kerana orang yang bunuh diri tidak bau syurga?

Terpaksalah hidup walaupun sukar hatta menjadi 'Zombie Kampung Pisang' gara-gara dinasihat buat-buat pekak, dipujuk-pujuk pula kuat merajuk. Mata sengaja digarpu-garpukan jadi Kasim Selamat dan mulut penuh dedak nak bercakap bagaimana?

Hanya padaMU sajalah aku berserah kata calon-calon jawatan dalam pemilihan UMNO akan datang. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?