RAJA DI PULAU SEMUANYA BUTA


Desiderius Erasmus Roterodamus yang lebih dikenali sebagai Erasmus berasal dari Rotterdam adalah seorang ahli teologi, kritikus sosial dan paderi katolik berbangsa Belanda. Kata-kata beliau lebih terkenal dari dirinya sendiri kerana kita sering mendengar atau membaca kata-kata tersebut. Beliau pernah menyebut, “In the land of the blind, the one-eyed man is king.”

Merujuk apa yang pernah disebut oleh beliau itu, saya terpanggil untuk mengaitkan dengan pemilihan UMNO yang akan datang samada dari pemerhatian saya sendiri atau komen dan pandangan pemerhati dan penulis politik ‘otai’.

Hari ini Datuk Kadir Jasin yang agak vocal dalam mengulas isu-isu politik tanahair berkata, Tengku Razaleigh Hamzah atau Kuli paling layak menerajui UMNO dalam usaha memulihkan parti tersebut. Tambahnya lagi, Kuli berpengalaman dan individu paling tepat untuk menjadikan UMNO sebagai pembangkang yang berwibawa di dalam parlimen nanti. Nampaknya Kuli juga telah menyahut cabaran tersebut untuk bertanding kerusi presiden selain DS Zahid Hamidi.

Hingga ke hari ada enam pemimpin menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Johari Ghani, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Tajuddin Rahman, manakala kerusi Timbalan Presiden dua pemimpin menawarkan diri iaitu Datuk Seri Mohammed Hassan dan Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar pula mengesahkan untuk menawarkan diri bagi merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Melihat kepada status Kuli dalam lingkaran elit UMNO, beliau tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti kecuali Ketua Bahagian UMNO dan AP Gua Musang. Mana perginya semua elitis UMNO? DS Hishamudin Hussein awal-awal sudah mengangkat bendera putih untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan akan datang walaupun beliau inkumben jawatan Naib Presiden di samping Zahid Hamidi yang kini memangku jawatan Presiden.

Melihat kepada pemimpin-pemimpin yang ada untuk dibariskan bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua-ketua sayap dan MT, apakah ahli dan rakyat yakin mereka ini semua mampu menggalas amanah yang begitu berat dan mencabar seperti sekarang? Masing-masing terpalit dengan skandal peribadi yang sehingga kini tidak mampu merungkai penyelesaian.

Dalam situasi UMNO sedang berkuasa dan megah pun mereka gagal mempamirkan kehebatan masing-masing selain membawa watak Pak Pandir, Pak Kadok dan Mak Andeh, inikan pula sedang nazak dan bergelut dengan sembelit yang begitu parah.

Namun demikian, dalam sebuah negara dan organisasi yang gah melaungkan kata-kata Abraham Lincoln “Government of the people, by the people, for the people, shall not perish from the Earth” walaupun bohong sebenarnya, pemilihan tetap akan dilaksanakan. Cuma dalam soal memilih itu, nasib badanlah kerana terpaksa bertungkus-lumus mencari calon yang layak di kalangan yang tidak layak, yang hebat di kalangan tidak hebat, yang cerdik di kalangan lembam dan pencuri yang kurang mencuri.

Petua untuk memudahkan usaha pencarian itu nampaknya seperti yang pernah disebut Erasmus, ““In the land of the blind, the one-eyed man is king.” Carilah yang celik matanya walaupun hanya sebelah.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?