SELAMATKAN UMNO - JUJURKAH MEREKA?
Apabila kita memberi komen atau mengkritik isu-isu seperti ini, pastinya ada yang mengherdik, ‘kalau bukan ahli parti tak perlu cakap banyaklah!. Berani masuk bertanding’. Jawapan saya mudah! Jika saya bukan ahli parti macam mana nak bertanding? Jika daftar jadi ahli baru nak bertanding, baik kamu saja yang bertanding! Apatah lagi soal bukan ahli parti tidak berhak mengkritik dan beri pandangan.
Apakah wartawan dan penulis-penulis politik itu semuanya ahli UMNO dan ahli parti politik? Apakah professor dan pensyarah di IPTA dan IPTS yang lambat siang mengupas isu-isu politik itu ahli UMNO? Yang kamu terjerit-jerit bersorak dan mengkritik permainan pasukan bola sepak Piala Dunia 2018 Russia, Perancis, Portugal, Jerman, Serbia, Poland atau England dan Sepanyol itu apa status keahlian kamu dalam pasukan-pasukan itu? Menjadi ‘barua padang’ pun tidak!
Berbalik kepada isu sebenar mengenai omongan untuk melakukan transformasi UMNO dan menyelamatkan UMNO dengan menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan hujung bulan ini. Jujurkah mereka? Tentunya soal kejujuran adalah soal hati dan hanya Allah swt dan tuan punya badan yang tahu, tetapi dari perlakuan selama ini sekurang-kurangnya kita dapat melihat erti sebuah kejujuran.
Jujurkah sebagai seorang manusia yang waras membiarkan UMNO yang masih bernafas diperkosa dan diratah tanpa belas kasihan oleh individu-individu sama yang mengaku mahu menyelamatkan UMNO itu? Yang mereka lakukan ketika itu adalah mengangguk sambil berkata ‘Na’am! Na’am!’. Jujurkah kamu jika hanya setelah UMNO ‘koma’ tidak sedarkan diri dan amat kritikal baru membawa watak dukun dan pawang? Atau apakah ketika UMNO sedang kuat bertenaga kamu tidak berani menjadi dukun dan pawang kerana menyedari kamu sememangnya lemah? Apakah orang lemah mampu menyelamatkan UMNO?
Yang lebih malang, orang yang sama mengelilingi Najib dan menjadi pengampu-pengampu ini jugalah mengaku ingin menyelamatkan UMNO. Hakikatnya rakyat dapat melihat mereka memberi sokongan kepada Najib individu utama yang disabitkan dengan kemusnahan bukan sahaja UMNO tetapi juga negara.
Najib keluar masuk kediaman mereka dan mereka juga bagaikan punya lesen besar masuk ke kediaman dan pejabat Najib sebagai Perdana Menteri. Jika pegawai dan anggota polis keluar masuk rumah dan pejabat kepala kongsi gelap, tentunya mereka dianggap bersekongkol dengan penjenayah ini. Apakah dengan bersama-sama Najib tidak dianggap bersekongkol tetapi menjadi ‘tongkol’?
Tidak lucukah jika ada yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden UMNO adalah orang yang sama mengaku bertemu penderma wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun Perdana Menteri? Sudahlah berbelit-belit penderma sudah mati dan bakinya dipulangkan balik kepada penderma tanpa sebarang bukti. Bukankah itu isyarat beliau membenarkan Najib melakukan kemusnahan kepada UMNO dan negara?
Hanya mereka yang bodoh dan taksub saja yang akan berkata orang yang turut memberi lampu hijau atau setidak-tidaknya akur dengan perbuatan beliau akan menyelamatkan UMNO. Lebih jauh dari itu, mereka ini jugalah yang turut bertanggungjawab membiarkan UMNO meletakkan negara pada tahap yang begini teruk sehingga hutang negara mencecah lebih RM1.08 bilion serta banyak lagi skandal mega belum terbongkar. Lebih wajar bukan bertanding kerusi utama pemilihan UMNO, sebaliknya membenarkan mereka memilih sel mana sesuai untuk mereka di Sungai Buluh.
Khairy Jamaludin juga hari ini dilaporkan turut menimbang untuk bersaing kerusi nombor satu UMNO itu sedangkan fasa pertama menjahanamkan UMNO dilakukan beliau bersama Pak Lah ketika bapa mertuanya itu menjadi Perdana Menteri. Bagaimana dengan skandal lesapnya wang Kementerian Belia dan Sukan RM100 juta itu?
Begitu jugalah dengan yang lain-lain berkokok untuk menyelamatkan UMNO sedangkan tidak ada apa yang dilakukan untuk menghentikan tindak-tanduk Najib dan isteri memporak-perandakan UMNO dan negara serta membudayakan rasuah sebagai anutan rasmi negara.
Jujurkah mereka? Jangan berpura-pura menjadi sesuatu yang bukan dirimu. Friedrich Nietzsche berkata, “I’m not upset that you lied to me, I’m upset that from now I can’t believe you.”

Comments
Post a Comment