SIDANG WAZIR DAN BENDAHARA


Ketika membaca buku Koleksi Pilihan Awang Selamat 1987 - 1992 diterbitkan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (1994), saya lebih teruja dengan kata-kata Mazlan Nordin bekas Ketua Pengarang Kumpulan dan Pengarah Urusan Utusan Melayu itu.

Dalam kata aluan beliau di awal buku ini, disebut, '... di panggung bangsawan di zaman lampau manakala sang raja, setelah duduk di singgahsananya segera bertitah, "Betapa keadaan rakyat dan negeri beta?" Maka wazir atau bendahara akan segera menjawab, "Semuanya dalam keadaan baik dan sejahtera Tuanku, dan negeri aman damai." Sang raja pun tersenyum senang hati dan hadirin lain di balairung seri beramai-ramai mengangguk kepala.'

Kenapa saya begitu teruja? Saling tak tumpah seperti apa yang berlaku kepada mantan Perdana Menteri keturunan Pahlawan Bugis yang kini begitu kemaruk simpati sehingga anak yang dibiarkan tanpa pedulipun dijadikan modal untuk mengemis rasa kasihan rakyat. Kabinet beliau dipenuhi makhluk-makhluk seperti wazir atau bendahara dan mereka yang mengangguk-angguk di balairung seri.

Sebaik Najib tersungkur akibat dihempap peti undi PRU14 yang kononnya penuh dengan kertas undi dipangkah Barisan Nasional (BN), malangnya sebaik dibuka kertas undi bertukar petak pangkahnya kepada Pakatan Harapan (PH). Menangis tak berlagu Najib, wazir atau bendahara serta yang sebelum ini begitu laju anggukan emas yang menggelikan kelangkang dan telinga Sang Tuli Sang Perdana Menteri.

Berpuluh kali membaca kisah raja tanpa baju yang menjadi bahan gelak ketawa rakyat gara-gara ghairah dipuji sehingga bertelanjang bulat disangka berpakaian hebat, namun Najib sentiasa lupa kisah tersebut. Walaupun gelombang kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pimpinannya begitu jelas terpampang di sana-sini, Najib terus dihalusinasikan kemenangan besar BN dalam PRU14 oleh orang kiri, kanan, depan, belakang atas dan bawahnya.

Yang paling memalukan adalah jentera pilihanraya BN yang dibantu agensi-agensi ditugaskan melapor 'mood' pengundi dan taksiran peluang kemenangan BN juga turut menipu atau tertipu dek laporan orang bawah yang hanya membuat culaan dan taksiran di atas bantal dipenuhi air liur basi. Agensi-agensi ini dengan penuh yakin dan bangga menghembuskan bisikan pembohongan ke telinga Najib hanya semata-mata untuk dilihat hebat, cekap, tidak pernah tidak tepat telahan selama ini.

Semakin bernafsu hembusan dan bisikan kemenangan terhadap BN, semakin banyaklah peruntukan berterabur ke kantung tukang bisik dan tukang hembus. Najib dan Rosmah pun kembang-kempis bontot menahan geli kemenangan. Jika ada yang cuba-cuba melaporkan lain dari kemenangan BN, jika tidak ikut pintu, ikut tingkaplah kamu dicampak keluar.

Agak aneh apabila BN dan UMNO kecundang, Najib tidak menyalahkan agensi-agensi ini sebaliknya menuding jari kepada PH dan pimpinannya terutama sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya memfitnah beliau terkait dengan isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Siapa fitnah siapa sebenarnya wahai Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil (Najib).

Diusungnya mantan-mantan Menteri Besar Selangor dari Muhammad Taib, Abu Hassan Omar, Khir Toyo hinggalah Khalid Ibrahim kononnya mampu mengalahkan PH di Selangor. Rupa-rupanya makin hina BN dan UMNO di mata rakyat Selangor. Puluhan juta ringgit hangus, sayangnya taik bertumpuk di atas muka. Marahlah Noh Omar wahai Najib kerana beliaulah yang menipu kamu terang-terangan walaupun sudah terang lagi bersuluh BN akan terbalik kuang.

Inilah bahana paling merbahaya apabila pemimpin yang dijangkiti penyakit syok sendiri dan ketagihan geli kelangkang dan celah ketiak. Siapa pandai geletek sehingga menggelupur Najib, maka dialah paling banyak dapat mengisi tembolok. Lihat saja betapa besar dan ukur lilit perut Kunan, Dato' Raof dan yang sesangkar dengannya.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak bodoh buruk padahnya. Beringat sebelum kena, sudah terkena meroyanlah jawabnya.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?