UEC & DESPACITO


Kenapa perlu hingga bergegar tiang arasy dan meruntuhkan masjid hanya gara-gara si isteri gemar akan lagu Despacito dan si suami pula gemar akan lagu Hello nyanyian Lionel Richie? Jika kedua-duanya sudah tidak boleh mendengar walau sebaris lagu itu, sedangkan hal-hal lain yang penting dapat dicari solusinya, elok saja kedua-duanya mendengar lagu kegemaran masing-masing menggunakan perangkat audio (earphone). Bukalah sekuat mana sesuaka hati masing-masing hanya kerana sebuah lagu yang tidak ditemui solusinya.
Anak-anak juga mempunyai selera lagu berbeza mungkin Kpop maka cari penyelesaian terbaik jangan sampai bercerai-berai dan anak-beranak berantakan hanya kerana sebuah lagu bernama Despacito atau Hello.

Apalah sangat besar dosanya Despacito hingga perlu bercerai berai dan jiran-jiran apa lagi musuh dan pembenci seronok tak terhingga bertepuk tangan melihat gelagat kita yang masing-masing teguh mempertahankan ego masing-masing.

Saya penuh yakin masih ramai yang belum faham apa itu UEC Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate) ini.  Orang Cina jangan terperangkap dalam isu begini seperti mana pernah berlaku kepada kaum India dalam isu interlok novel karya Abdullah Hussain.

Ianya menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai bahan bacaan wajib dalam Komponen Sastera (KOMSAS) Bahasa Malaysia Tingkatan Lima walaupun sejak sekian lama digunakan. Puncanya kerana isi kandungannya didakwa mengandungi perkataan 'pariah' yang dianggap menyinggung sensitiviti kaum India.

Daripada tinjauan dilakukan oleh saya ketika itu, sebahagian besar kaum India tidak pernah membaca hatta melihat buku tersebut tetapi melakukan protes gila-gilaan hanya kerana terhasut oleh agen provokasi yang sentiasa mengintai peluang untuk memporak-perandakan negara.

Agak aneh apabila orang India sendiri menggunakan secara meluas dan terbuka perkataan 'pariah' itu sesama mereka tetapi sensitif apabila ditulis dalam sebuah novel oleh Melayu. Rakyat berbagai bangsa dan suku kaum melihat isu ini sebagai tidak wajar berlaku tetapi tetap berlaku.

Setelah pihak kerajaan mengambil pendekatan berlembut dengan mengeluarkan perkataan itu, sehingga sekarang kaum India yang kaya masih kaya dan yang miskin tetap ketinggalan seperti sebelumnya. Apakah orang India kaya selepas perkataan Pariah dibuang? Bahasa Tamil dimartabatkan? Baca buku interlok pun tidak malah bukunya tak pernah nampak tapi mengamuk seolah-olah akan berlaku peristiwa Kampung Medan 2.0.

Samada yang Melayu atau Cina perlu duduk semeja berbincang untuk mendapatkan situasi menang-menang dengan mengambil kira kepentingan kelangsungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi simbol penyatuan seluruh rakyat dalam menumbangkan BN diterajui Najib yang terpalit penuh dengan skandal memalukan negara serta membebankan rakyat.

Rakyat memilih PH bukan untuk melihat sengketa berpanjangan tetapi kesepakatan yang jitu untuk mengembalikan maruah negara serta memulihkan ekonomi negara. Anasir-anasir yang tidak senang dengan kemenangan PH berhempas pulas untuk menafikan kejayaan PH serta jika boleh mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat ini tanpa memperdulikan ianya mengikut lunas undang-undang atau tidak. Apa yang penting bagi mereka adalah sebaik PH tumbang, mereka akan selamat.

Tahap desperado mereka kian terserlah kerana bahaya menanti mereka sudah tidak mampu diubah lagi. Satu-satu jalan yang ada adalah dengan merebahkan PH serta melakukan pembunuhan karektor pempimpin-pemimpin PH demi mencapai matlamat jahat mereka.

Ketika PRU14 sebelum ini, rakyat mengundi PH kebanyakannya tidak mengambilkira UEC atau janji dalam manifesto sebaliknya mereka hanya mahu 'nyah'kan Najib, UMNO dan BN yang dianggap sebagai punca negara berada dalam keadaan paling buruk dalam sejarah negara ini.

Niat utama 'nyah'kan Najib dan BN sudah tercapai maka langkah seterusnya adalah meletakkan negara kembali pada landasan yang betul bukan landasan betul selama ini dimomokkan Najib dan rejim diterajuinya yang penuh dengan pembohongan.

Ikutlah kemahuan rakyat bukan manifesto kerana saya percaya dalam PRU14, mereka yang mengundi PH atau BN tidak tahupun kandungan manifesto parti pilihan masing-masing. Sekarang sebahagian sudah tahu kerana dibongkar-bongkar oleh mereka yang tidak dapat menerima kekalahan memalukan itu.

Peribahasa Melayu ada menyebut, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?