Water is Always Level
Kita mungkin merasakan diri kita waras sehingga satu saat, kita keliru samada kita masih waras atau tidak. Sebenarnya kita memang waras, tetapi belum cukup waras untuk melaraskan kewarasan kita dengan kewarasan insan yang tidak waras.
Sebentar tadi saya keluar makan tengahari di Jalan Wat Siam, Jitra kerana kebetulan jaraknya tidaklah begitu jauh dengan rumah saya jika berkereta. Jika berjalan kaki memanglah jauh. Ketika makan tadi, tiba-tiba masuk seorang lelaki tua berkopiah putih membawa segelas plastik air kelapa. Saya senyum kepadanya dan dia terus duduk di hadapan saya yang ketika itu sedang makan nasi campur di gerai itu.
Beliau memulakan perbualan dengan berkata cuaca panas cepat letih. Saya mengangguk dan bertanya "pakcik dari mana?". Dia menjawab dari Masjid Aqla dan fikir saya wah kuatnya pakcik ni. Jarak Masjid Aqla agak jauh jika berjalan kaki dari gerai makan ini. Saya tanya pakcik tinggal di mana? Katanya Kelubi Dalam dan ia menambah keyakinan saya beliau memang kuat kerana lokasi itu sudah hampir dengan taman perumahan saya tinggal.
Saya tanya, "jauh berjalan tak letih ka pakcik? kalau saya naik basikal pun saya tak larat sejauh tu. Katanya, masa pergi tadi tumpang kereta orang sekerat jalan. Pakcik ini bertanya saya tinggal di mana dan saya jawab dekat tasik. Dia cakap oh tak jauh dengan jalan ke rumah dia. Sepanjang tempoh saya makan (dah lah makan burung puyuh goreng susah mengunyah) rasanya 4-5 kali ditanya saya tinggal di mana dan saya menjawab setiap kali ditanya walaupun agak rimas.
Selesai makan saya mengajak pakcik ini tumpang kereta saya untuk dihantar balik ke rumahnya. Dia pun terus naik kereta dan dalam kereta masih tanya rumah saya di mana. Saya diam dan cuma bertanya rumah pakcik jauh lagi? Jawabnya jalan saja terus dan saya tanya sampai simpang tiga belok kanan atau kiri? Dibalas jalan terus, saya cakap depan tu rumah orang dan belakang tu hutan pakcik. Katanya dalam hutan tu rumah Mud kawan saya dan kenal tak dia? Rasa malas menjawab mula datang.
Saya tanya lagi belok kanan atau kiri pakcik dia menjawab belok kanan la rumah saya. Ya la belok kanan lepas tu ke arah mana lagi? Katanya tak tau ka rumah Chin Hin? Saya cakap tak tau tapi rumah pakcik di mana? Katanya sebelah rumah Chin Hin. Masalahnya saya tak tau rumah Chin Hin sebab tu saya tanya rumah pakcik kat mana? Rumah Chin sebelah rumah saya la katanya. Aduhhh! Rumah pakcik saya tak tau, rumah Chin Hin pun saya tak tau ni pakcik!
Menambah kekusutan, pakcik ni cakap depan rumah Chin Hin rumah Amin dan Amin kawan baik dia. Saya kata saya tak mau tau rumah Amin atau siapa kawan pakcik saya nak hantar pakcik saja. Katanya, kenapa tak mau tau pulak rumah Amin kat mana?
Saya cakap sekarang pakcik tak perlu jelaskan, pakcik cuma tunjuk dengan jari arah mana. Setelah ikut jalan ditunjuk akhirnya sampai di tempat dituju dan saya tanya mana rumah pakcik?
Dia turun kereta tunjuk arah serumpun besar pokok buluh dan ada sebuah rumah kayu buruk nampak kurang jelas kerana terlindung dengan rumah di depan dan diajak saya singgah. Saya cakap saya perlu balik cepat sebab ada kerja. Dia rapat ke tingkap kereta sambil beritahu ini rumah cucu saya, rumah adik saya, rumah saudara saya dan kawan saya semua di keliling tempat saya turunkan dia.
Saya terus beri salam dan beredar sambil urut dada atas ujian begitu besar sepanjang bantu menumpangkan orang. Sepanjang jalan sebelum sampai ke rumah, saya berfikir apakah aku waras atau dia? Ataupun aku waras tetapi belum cukup waras untuk melaraskan kewarasan bagi seimbangkan antara tidak waras dan waras.
Sebelum berhenti berfikir soal ini, aku tiba-tiba terfikir tentang YB Syed Saddiq yang ingin bersama Khairy Jamaludin membangunkan Kementerian Belia dan Sukan. Syed Saddiq pintar, hebat dan bergaya tetapi agaknya dia belum cukup pintar, cukup hebat walaupun bergaya kerana gagal membaca permainan lawannya yang lebih pintar dan hebat dalam memilih topeng politik yang perlu dipakai dalam setiap keadaan.
Kepintaran dan kehebatan hanya akan mampu diterjemahkan apabila kita menjadi seperti air 'water always finds its level'. Dalam gelas menegak dan dalam pinggan melebar dan merata.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan pakcik tadi memberi banyak pelajaran untuk saya hari ini supaya belajar dengan pantas bagaimana melaraskan kewarasan ketika berdepan orang seperti beliau!

Comments
Post a Comment