APAKAH BENAR ‘KEMAAFAN DENDAM YANG TERINDAH’ KATA AISHAH?
Malangnya, insan yang sering cuba mempertontonkan Islam sebagai wadah perjuangannya dan keluarga berusaha keras menampal sejarah lampau terhadap TS Rahim Noor demi melampiaskan dendam lama tidak terbalas oleh keluarga sendiri walaupun orang yang disebut sebagai tidak punya kelayakan itu sudah menerima hukumannya. Lantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai wilayah selatan Thailand itu dibuat berasaskan pengalaman beliau sehingga berjaya membawa kepada perjanjian perletakan senjata oleh PKM dengan kerajaan Malaysia dibantu Kerajaan Thailand. Terlalu banyak prejudis terhadap lantikan ini khususnya berbalut dendam peribadi dan kepentingan politik orang-orang tertentu.
Islam apa yang cuba ditampilkan orang-orang ini agaknya? Mengungkit kisah silam pastinya akan menggegarkan muzium dan arkib menyimpan sejarah lampau masing-masing. Jika kisah lampau yang mahu digali, TS Rahim Noor juga punya sejuta kisah lampau yang hebat tapi semuanya dipadamkan sekelip mata oleh insiden itu. Dan beliau akur dengan keadaan ketika itu dan sehingga kini tidak pernah mendedahkan punca beliau melakukan tindakan itu kecuali yang pernah mengikuti dengan dekat kisah tersebut dan berada dalam kerangka sama.
Rakyat cuba melupakan sejarah hitam demi masa depan negara yang telah dicederakan dengan begitu parah oleh pemimpin paling teruk pernah dilahirkan dalam sejarah tanahair. Penyangak, penyamun, penipu, penindas, perasuah dan apa saja berkonotasi negatif semua ada pada pemimpin kleptokrat ini dan sesungguhnya ia memerlukan gandingan semua pihak untuk membaiki kerosakan ini.
Cukup-cukuplah bernostalgia dan membina pengaruh dari kisah lampau yang hanya dilihat dari kanta pembesar sendiri sedangkan pihak lain juga punya kanta pembesar yang lebih besar. Pemikiran positif perlu dikembangkan untuk rakyat bukan membina empayar keluarga yang gagal dimaklumi dan rapat dilindungi.
Jika kepentingan rakyat diutamakan, sama-samalah kita bangkit dari lembah kehancuran yang ditinggalkan rejim terdahulu agar proses pemulihan dapat disingkatkan dan rakyat mendapat rahmat dari pengorbanan tersebut. Jadikan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw terhadap Umar Ibnu al-Khattab dan Khalid Al Walid itu sebagai pegangan bukan dendam tidak berkesudahan. Berapa banyak kemusnahan dilakukan Umar dan Khalid terhadap Islam diawalnya. Kesan Perang Uhud pastinya masih segar dalam ingatan gara-gara Khalid Al-Walid.

Comments
Post a Comment