BR1M - BURUNG SUBSIDI


Apabila berita melaporkan bahawa Perdana Menteri (PM) Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata BR1M akan dikurangkan beransur-ansur sehingga akhirnya akan dihentikan sepenuhnya, ramai yang jadi kerbau naik minyak. Pemimpin UMNO, PAS dan lembu-lembu peilharaan yang sebelum ini kenyang disumbat dedak pun apa lagi kalau tak menambah perencah menghasut.

Dikaji secara jujur pastinya kita akan menyokong tindakan kerajaan untuk menghentikan BR1M ini kerana ia memberi kesan buruk pada ekonomi negara dan rakyat yang hanya dilayan bagaikan pengemis. Nak marah pun marah lah sebab itu adalah kenyataan yang tidak boleh disangkal.

Arwah Tan Sri Junid pernah memetik serangkap pantun dalam ucapannya,

Melayu bukan kaum subsidi,
Hidup selalu tolong menolong;
Biar kita mati berdiri,
Daripada hidup orang dok dukung

Alang-alang mengaitkan Tan Sri Sanusi dalam bab ini, saya ada membaca satu analogi yang disebut oleh beliau dalam buku Tuntutan Perjuangan Bangsa di halaman 60 dan 61 untuk sama-sama kita renungkan.

Mengikut Tan Sri Sanusi, kisah burung subsidi ini diriwayatkan oleh Soren Kierkergaard, seorang ahli fikir dari Denmark.

Daripada cerita Soren Kierkergaard itu, pada satu petang, beberapa ahli falsafah Denmark ternampak beribu-ribu ekor burung terbang di langit menuju ke lautan Meditteranean. Kerana mutu hidup rakyat Denmark sudah lumayan selesa, maka terfikir oleh mereka untuk membantu burung-burung itu, termasuk burung gagak, supaya berhenti dan berlindung di Denmark tanpa perlu terbang ke selatan untuk lari daripada musim sejuk.

Setelah ahli-ahli fikir bersetuju membantu burung-burung gagak itu, mereka mengadakan tabung untuk mengumpul wang dari dermawan yang sependapat, dan mendirikan khemah tempat burung singgah, berhenti, makan dan berlindung sementara salji melanda bumi asal mereka di musim sejuk. Pada tahun berikutnya mereka berusaha menarik perhatian burung-burung lain yang terbang supaya turun ke dataran.

Beribu-ribu ekor burung turun pada tahun pertama. Berpuluh ribu pada tahun kedua dan beratus ribu pada tahun ketiga. Setelah lebih lima tahun, ahli-ahli fikir ini pun berubah fikiran. Mereka membuat keputusan untuk tidak lagi membantu, apatah lagi dengan perbelanjaan yang bertambah besar pada setiap tahun.

Para dermawan juga mula tertekan sumber dananya kerana perbelanjaan menjadi bertambah besar setiap tahun. Pada tahun berikutnya, makanan yang diperlukan oleh burung-burung itu tidak lagi dibekalkan di tempat biasa dan khemah-khemah sudah dirobohkan.

Apabila ratusan ribu burang singgah untuk makan dan berlindung di musim sejuk berikutnya, mereka mendapati makan dan khemah sudah tiada lagi. Burung-burung itu pun terbang meninggalkan tempat perkampungan di Denmark menuju ke bumi yang kurang dingin di sebelah selatan. Ada juga burung yang terlalu tua dan sudah lupa arah lalu balik ke utara, dari mana mereka datang.

Setelah beberapa jam burung-burang ini meninggalkan dataran perkhemahan, samada yang terbang balik ke utara atau yang terbang ke selatan, mereka berpatah balik ke lapangan di Denmark di mana dulunya ada makanan dan tempat berteduh sementara menunggu musim sejuk berlalu. Burung-burung yang patah balik dan tidak meneruskan penerbangan ke selatan telah menggelupur lalu mati.

Doktor-doktor haiwan yang dijemput untuk membuat pemeriksaan telah mendapati burung-burung yang mati itu adalah disebabkan letih lesu dan sendi yang menghubungkan sayap dengan badannya telah luka, berdarah dan parah. Sebabnya ialah kerana burung-burung ini sudah terlalu lama tidak terbang jauh. Terlalu lama makan 'free'. Mereka sudah jadi burung subsidi.

Begitu jugalah dengan rakyat negara ini jangan sampai kita menerima nasib serupa dengan burung gagak yang akhirnya menggelupur mati kerana sudah tidak mampu lagi berusaha sendiri mencari rezeki sendiri.

Yang lebih penting adalah kerajaan menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan seluas-luasnya kepada rakyat dan pastinya hasil akan lebih banyak daripada BR1M yang diberikan kepada segelintir rakyat tetapi kesan bergandanya termasuk inflasi yang begitu parah terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat. Itu belum lagi hasil negara yang dicuri oleh penyangak-penyangak bertopengkan pemimpin untuk melakonkan watak Robin Hood tetapi Robin Hood ini penyangak besar dan amat berbahaya.

Sama-sama kita renungkan..

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?