SIAPA MENABUR ANGIN, BERSEDIALAH MENUAI BADAI


Saya baru membaca berita Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam salah guna wang kerajaan yang diperuntukan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sebelum itu, tujuh lagi pegawai kanan beliau telah direman hari ini kerana telah menyalahgunakan wang peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.

                                 

Mengambil iktibar dari apa yang berlaku ini, saya teringat akan apa yang pernah diceritakan oleh arwah TS Sanusi Junid samada secara lisan atau ada juga disebut dalam buku-buku yang memetik ucapannya dan juga blog mantan Menteri Besar Kedah ini.

Daripada cerita arwah, di zaman Imam Abu Sufian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya menggali kubur. Seperti diketahui umum, apabila seseorang itu sudah mati dan setelah ianya dimandikan dikapankan disembahyangkan dan dibawa ke perkuburan untuk dikebumikan, ditalkinkan dan setelah keluarga serta rakan yang menghantar beliau kembali dari perkuburan, Mungkar Nangkir pun datang untuk bertanya untuk berinterview.

Biasanya untuk dapat tanah kita diinterview dulu baru dapat tanah, tapi hanya tanah kubur saja yang dapat dulu baru diinterview. Hamba Allah penggali kubur tadi telah menggali 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 20 kubur, 50 kubur dan 100 kubur untuk melihat bagaimana wajah dan kedudukan mayat-mayat tadi setelah disoal oleh Mungkar Nangkir.

Setelah selesai menggali 100 kubur, beliau pergi kepada Imam Sufian dan berkata “Ya Imam! kenapakah dari 100 kubur umat Islam yang aku gali, aku lihat hanya dua sahaja yang masih menghadap ke kiblat dan 98 lagi Sudah beralih menghadap ke matahari naik. Kenapa dari 100 mayat umat Islam di dalam kubur hanya dua orang sahaja yang masih tenang dan 98 lagi Sudah terkangkang dan terbeliak mata sesudah disoal oleh Munkar Nangkir. Jawab Imam Sufian, manusia di akhir zaman, hanya 2 peratus sahaja yang masih percaya rezeki itu di tangan Tuhan.

Moralnya di sini, kenapa kita sering berdepan dengan manusia-manusia munafik di depan lain belakang lain? Kenapa ada manusia yang sanggup pijak kepala kawan hanya semata-mata mengejar pangkat dan jawatan? Kenapa manusia menjual prinsip dan maruah semata-mata mengejar wang dan dipandang tinggi oleh ketua dan pemimpin?

Kenapa ada yang sanggup menggunakan pawang dan bomoh untuk menyebabkan perniagaan di sebelah kita terlungkup? Semuanya disebabkan mereka lupa rezeki yang mereka kecapi itu datangnya dari Allah bukan manusia. Malangnya manusia juga yang disembah seperti apa berlaku kepada mereka yang mengikut kehendak pemimpin sehingga menurut kemahuan pemimpin jahat itu walaupun sudah pasti dalam pemikiran mereka ianya jelas salah menurut agama dan juga undang-undang.

Berapa banyak kezaliman dan penganiayaan dilakukan oleh mereka-mereka yang mengikut arahan pemimpin jahat ini? Kita boleh jawab dengan mudah bahawa “aku bunuh dan letupkan mangsa kerana arahan!” Apakah kamu terlalu bodoh untuk tidak mengetahui ianya adalah kesalahan besar? Kamu mempunyai tanggungjawab mempertahankan nyawa dan keselamatan manusia dan gaji kamu adalah untuk tujuan itu bukan sebaliknya. Tetapi kamu tetap lakukan kerana apa? Kerana percaya rezeki di tangan manusia!

Walaupun Che Guevara itu bukan Islam, beliau lebih bermaruah apabila menyebut, “lebih baik mati berdiri dari hidup melutut”. Saya bukan pentaksub beliau tetapi saya bangga masih ada manusia hatta agama apa sekalipun yang masih sanggup bergadai nyawa dari menjadi hamba manusia-manusia yang jahat dan zalim kepada rakyat.


Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?