BON VOYAGE NAJIB
Sudah menjadi kebiasaan untuk orang luar dapat melihat dengan jelas sesuatu hal berbanding yang di dalam. Pertamanya mungkin disebabkan kita tidak diberikan kesitimewaan ‘fish-eye’ seperti lensa kamera untuk mampu melihat lebih luas walaupun jaraknya dekat.
Keduanya apabila manusia sudah berada di kemuncak kekuasaan maka kecenderungan untuk menjadi buta, pekak dan bisu begitu kuat menerjah. Ketika itu, manusia akan gagal melihat kebenaran sebaliknya khayal di alam fantasi gara-gara bisikan para penjilat dan makhluk yang menghambakan diri menjadi pecacai bukannya kepada Allah swt.
Ketika Najib begitu kemaruk kekuasaan dan gila kuasa didorong kegilaan melampau terhadap wang rakyat melimpah ruah yang di’kelepek’ ke dalam kantung sendiri, kaum kerabat dan suku-sakat yang menjadi penjilat beliau. Detik itulah matanya sudah buta dan telinga menjadi tuli untuk melihat dan mendengar nasihat dari sesiapa saja termasuk mentor beliau yang juga mantan Perdana Menteri selama 22 tahun.
Beliau silap percaturan sehingga menjadi takbur dan bongkak dengan memandang rendah terhadap keupayaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan King Maker seperti diungkap oleh Hadi Awang sebaik keputusan PRU14 diumumkan.
Kemuncak ‘Firaunisme’ yang menghantui diri Najib dan parti pimpinannya adalah apabila beliau dengan nada bongkak berkata, “Dr Mahathir takkan berjaya singkir saya” pada 21 Nov 2017 dan banyak lagi tindakan dan kata-kata yang mencerca dan menghina Tun Dr. Mahathir.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain turut mengikut rentak Najib mengherdik dan mencerca Tun Mahathir di media siang dan malam tanpa memperdulikan impak ‘back-fire’ yang akan menimpa mereka.
Kesempatan ini diintai oleh musuh-musuh Tun Dr Mahathir selama ini setelah berdekad gagal menumbangkan UMNO dan BN. Walaupun Mat Sabu itu bukan ahli sufi, namun kesufiannya terpancar dari langkah tepat beliau menghulur tangan perdamaian dengan musuh lama yang sebelum itu menjadi tempat sumpah-seranahnya kerana berjaya membaca sifir politik yang sudah berubah formulanya.
Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng walaupun tidak begitu alim soal agamanya tetapi mendapat makrifat untuk mampu memahami aura yang cukup hebat tersembunyi dalam jasad Tun Dr. Mahathir untuk membenam BN dan UMNO yang selama ini tidak ada yang mampu jangankan menumbangkan mereka, menggoyahkannya juga merupakan beban tidak tertanggung.
Wan Azizah, Nurul Izzah, Azmin Ali dan saf pimpinan PKR juga seakan dianugerahkan kasyaf untuk mampu melihat peluang menjatuhkan BN dan UMNO dan menjadi satu-satunya peluang bagi membolehkan Anwar dapat dibebaskan lebih awal dan mendapat pengampunan diraja.
Malangnya Najib telah gagal untuk melihat semua itu kerana ketika kekuasaan menyelimuti dirinya, tanggapan beliau tidak aka nada kuasa apa pun yang mampu menjatuhkan dirinya, UMNO dan BN apabila aparat-aparat keselamatan diyakini sepenuhnya berada di belakangnya.
Beliau bukan saja dihinggapi sindrom pandirisme ketika belajar, malah tolol untuk memahami dan tuli untuk mendengar gegaran kebencian dan kemarahan rakyat yang begitu kuat di seluruh negara. Ketololan kisah Raja yang ditipu oleh tukang jahit akhirnya telanjang di hadapan rakyat kini diulangi Najib gara-gara bisikan penjilat-penjilat di sekeliling beliau.
Manusia yang dibelit kekuasaan Apabila akan leka berada di tahta kerana gagal melihat kebenaran. Tun Dr Mahathir yang mampu menyelamatkan beliau ketika itu sudah dilihat bagaikan seorang tua yang hanya mampu menahan henyakan kakinya sedangkan beliau telah menjadi tunggak untuk menentukan Najib masih berada disitu ataupun sebaliknya.
Peluang keemasan untuk merebahkan Najib, UMNO dan BN akhirnya dipeluk sekuat-kuatnya oleh pemimpin-pemimpin pembangkang ketika itu kerana percubaan sebelum itu tidak mampu menunaikan hajat mereka. Mereka tahu bahawa Inilah satu-satunya peluang yang ada untuk membentuk kerajaan dan tanpa sentuhan Tun Dr Mahathir, hajat itu akan selamanya bertapa di Gua Niah atau Gunung Jerai.
TS Muhyiddin Yassin, Shafiee Apdal, Mat Sabu, Lim Kit Siang, Wan Azizah dan saf pimpinan pembangkang akhirnya berjaya melakukan navigasi menuju Putrajaya dan kini meladeni kesibukan koridor kuasa.
Sayonara dan ‘Bon Voyage’ Najib, BN, UMNO dan kaum kerabatnya. Sesal dahulu PENDAPATAN, sesal kemudian berHUTANGlah jawabnya.

Comments
Post a Comment