JANGAN SALAH PILIH PEMIMPIN
Apabila negara berdepan masalah gara-gara gelagat pemimpin yang rakus dan gila kuasa, menindas rakyat dan pemerintahan dipenuhi penyelewengan dan salahguna kuasa, siapa yang harus dipersalahkan? Apakah rakyat yang akan dipersalahkan sepenuhnya? Sedangkan sistem mengangkat seseorang pemimpin menjadi Perdana Menteri di negara ini cukup mudah untuk menghalang rakyat dari memilih pemimpin yang benar-benar mereka harapkan mewakili mereka sebagai perdana menteri.
Hanya dengan menjadi calon pilihanraya mewakili parti berbekalkan jawatan sebagai presiden parti yang mendapat kepercayaan parti-parti komponen dalam pakatan parti politik yang menang dalam pilihanraya, secara otomatik beliau akan menjadi Perdana Menteri. Kemenangan beliau dalam pilihanraya di parlimen yang ditandingi dengan jumlah pengundi tidak seberapa sudah dianggap mewakili seluruh rakyat memberi persetujuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri.
Rakyat dikelirukan antara pilihanraya presiden di Indonesia dan di Amerika Syarikat yang memilih presiden mereka dengan kita yang hanya mengundi calon untuk menjadi wakil rakyat. Sejak bila pengundi di Malaysia mengundi memilih Perdana Menteri? Namun, inilah jawapan dan kenyataan sering digunakan bahawa, “bising apa kamu yang pilih beliau menjadi PM?”
Inilah bahayanya sistem sebegini sehingga bukan saja memilih Perdana Menteri dimanipulasi secara begitu mudah, malah boleh juga memaksa orang lain meletak jawatan dan memberi laluan untuk beliau bertanding kerusi tersebut demi nafsu yang menggelegak untuk menjadi Perdana Menteri. Undang-undang apa yang patut kita panggil jika begini keadaannya? Rule of Law atau KerLawLaw? Jawapan bagi yang mendokong pemimpin pilihan mereka dalam kelompok ini amat mudah kerana ‘demokrasi’ dijadikan benteng mempertahankan tindakan korup dan tidak bermoral tersebut.
Empat puluh tahun yang lalu, pada 28 Mei 1978 di Dewan Perhimpunan Pekan, Pahang, Tan Sri Ghazali Shafie selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, Pahang.
Apa yang menarik dalam ucapan beliau ini, katanya, “Saya tidak jemu-jemu dan bertalu-talu mengingatkan kepada anggota UMNO supaya kita berhati-hati waktu memilih pemimpin di semua peringkat baik dari cawangan atau bahagian hingga ke Majlis Kerja Tertinggi. Kerana pemimpin Inilah yang akan menjadi calon untuk dipilih oleh Perdana Menteri membantunya di dalam kabinet menjalankan pentadbiran negara. Pemimpin kita itu hendaklah kita ukur bukan mengikut hawa nafsu peribadi kita sendiri kerana kalau begitu rupanya, maka akan muncul orang-orang yang ingin menjadi pemimpin yang menggunakan tipu helah pujuk-sogok untuk memuaskan hawa nafsu kebendaan kita sendiri semata-mata tanpa memikirkan soal agama bangsa dan negara yang lebih besar dan dari segi jangka panjang. Perhitungan UMNO tidak boleh dikaji dari 5 tahun ke 5 tahun kerana rancangan pembangunan dan penyusunan semula masyarakat memakan masa panjang dan pimpinannya hendaklah Tekun dan setia kepada perjuangan yang asal. Sekiranya kita terpilih kaca bukan intan sambil kita melaung-laung bahawa kita sudah matang pada waktu itu apabila bangsa dan negara terjerumus, janganlah kita marah kepada pemimpin yang membawa kita tumbang. Yang bertanggungjawab adalah kita, kerana kita yang meletakkan dia disitu mengikut kehendak nafsu kebendaan kita sendiri semata-mata. Kita hanya berhak marah terhadap pemimpin yang naik dengan cara rampasan kuasa yang menjadi diktator.”
Apa yang diperkatakan oleh allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie itu memang tepat dan disebabkan itulah, rakyat yang tidak berparti dan punya kepentingan tidak putus-putus menegur dan mengkritik jika ada pemimpin atau keluarga mereka yang dilihat sudah mulai bongkak dan kemaruk kuasa.
Sebelum terlewat, apa salahnya kita cuba betulkan? Jika janji dijadikan alasan, berapa ramai pengundi yang termakan janji untuk memilih Perdana Menteri berbanding menolak Perdana Menteri yang super korup dan tamak serta dikuasai sang isteri yang mengambil roh isteri Pak Harto dan isteri Marcos dimasukkan ke dalam jasadnya. Saya yakin rakyat yang keluar mengundi pada 9 Mei 2018 dalam PRU14 menumbangkan BN dengan niat untuk menghumban Najib dan suku-sakatnya yang sudah tidak boleh dikawal perlakuan korupsi yang menjerat rakyat.
Alangkan janji dengan Allah swt sendiri tidak sedikit yang khianati apalah sangat janji dengan manusia ditambah pula sudah memperlihatkan symptom gelojoh dan mudah melatah serta berisiko diperkudakan pihak luar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak memilih pemimpin buruk padahnya. Lihatlah betapa sukarnya untuk menumbangkan Najib apabila dia sedang berkuasa.
Deklarasi rakyat yang ditandatangani oleh sejuta rakyat sebagai simbol kebencian amat sangat rakyat yang diusung ke istana pun hanya mampu menjadi ‘lesen TV’ dipekap di dinding saja. Usaha mengadakan undi tidak percaya di parlimen juga tidak lebih dari angan-angan Mat jenin serta pembongkaran skandal-skandal melibatkan beliau juga sekadar menjadi hiburan di media-media kerana segala bukti terkait dibenam jauh ke dasar Gunung Krakatoa.
Keluhan rakyat sudah tidak lagi menjadi kudis dan luka kepada pemimpin apabila mereka sudah berkuasa sepenuhnya dengan semua agensi kekuasaan di bawah pengaruhnya. Perjuangan rakyat menuntut pengorbanan yang amat berharga dan amat sukar diperolehi itu janganlah disia-siakan. Mengharapkan agamawan, ilmuan, intelektual dan cendiakawan untuk bersuara sudah tidak lagi mampu diterjemahkan kerana semuanya sudah dikembirikan dan menjadi OKU yang bisu, pekak dan buta.
Geram pada malam tak hilangkan kelam, murka pada siang tak sirnakan bayang. Maka apa lagi yang rakyat perlu lakukan selain berhati-hati dalam memilih pemimpin sebelum tersalah pilih? Rakyat yang miskin dan papa sudah tidak lagi dipandang oleh pemimpin yang sedang gila kuasa seperti kata Pramoedya Ananta Toer dalam novelnya Rumah Kaca, “Kami memang orang miskin. Di mata orang kota kemiskinan itu kesalahan. Lupa mereka lauk yang dimakannya itu kerja kami.”
Bagi yang membaca cacatan ini, percayalah! Kamu semua adalah kawan saya yang sama-sama membenci ketidakadilan. Kata Che Guevara, “Jika anda bergetar dengan geram setiap melihat ketidakadilan, maka anda adalah kawan saya.”
Ingat pesan Pram dalam bukunya Anak Semua Bangsa, “Kekuatan yang kita miliki mungkinlah tidak sebanding dengan ketidakadilan yang ada, tapi satu hal yang pasti: Tuhan tahu bahwa kita telah berusaha melawannya.”

Comments
Post a Comment