NOSTRADAMUS
Jika kita meneliti sejarah panjang yang dicatat berkaitan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, satu hal yang akan kita sedari adalah beliau amat bijak meramal sesuatu perkara yang akan berlaku pada masa akan datang.
Meramalkan masa depan dengan tepat merupakan antara kebolehan beliau. Jika Nostradamus seorang tukang ramal Perancis yang hidup di abad ke-16 dapat meramal berbagai hal pada masa depan, Tun juga mampu meramal hal-hal yang akan berlaku ketika beliau masih hidup.
Jika kita masih ingat sebuah video sepanjang kira-kira 2 minit yang muncul di Youtube pada awal April tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan wajah yang lebih muda sedang memberikan ucapan yang meramalkan UMNO tidak akan lagi berkuasa menjelang tahun 2020. Katanya, “Pada tahun 2020, UMNO mungkin tidak berkuasa lagi kerana ditolak oleh orang Melayu sendiri kerana bosan dengan politik wang yang diamalkan oleh UMNO”. Ternyata, belum mencecah tahun 2020, pada 9 Mei 2018, UMNO sudah mengikut jejak langkah dinosaur menuju ke muzium.
Petang tadi sekali lagi saya terfikir tentang hal sama sebaik saya membaca buku ‘Jejak Seorang Pemimpin – Sejarah Lisan Tun Dr. Mahathir Mohamad’ diterbitkan MPH pada tahun 2014. Saya tertarik dengan soalan dibuat oleh penemubual kepada beliau dan dijawab secara santai di halaman 79-80 di bawah bab ‘Cabaran Dalam UMNO’.
Penemubual berkata, “Ada satu kajian yang menyatakan tentang perbezaan Tun dengan Tengku Razaleigh. Itu sebab berlakunya persaingan pada tahun 1987.Tengku Razaleigh cuba hendak membawa perkara ini ke kawasan luar bandar sedangkan Tun berfikiran bahawa UMNO harus pergi ke kota.”
Menurut Tun Dr Mahathir lagi, Musa Hitam juga berpendapat bahawa base (pengkalan) UMNO adalah kawasan luar bandar dengan itu UMNO harus menumpukan kepada kawasan luar bandar. Tun juga bersetuju dalam soal ini dengan mengatakan bahawa disebabkan itu juga banyak sekolah dibina di kawasan luar bandar, mengadakan klinik serta membekalkan air dan elektrik di sana.
Tetapi hakikatnya ialah anak kepada petani sudah mendapat pelajaran yang tinggi. Mereka tidak ingin kembali menjadi petani. Mereka akan terus berada dalam bandar. Di sini hidup mereka berlainan. Jadi kita perlu memberikan layanan kepada generasi ini. Generasi ini semakin bertambah. Kita juga ingin menentukan bahawa pemisahan antara bandar dengan luar bandar ini tidak begitu ketara. Kita hendak melihat bandar ini juga diduduki oleh orang Melayu. Kalau mereka sudah mempunyai ilmu, boleh bekerja dalam bandar, kenapa kita tidak memberikan tempat kepada mereka?
Yang menjadi masalah ialah dalam UMNO sendiri timbul ketakutan oleh sebab mereka ini berpelajaran, mungkin mereka akan menguasai UMNO. Sebab itu ada pertelingkahan, ada tentangan antara bandar dengan luar bandar. Dari segi politik siapa yang akan menjadi pemimpin. Saya berpendapat bahawa sementara kita akan menjaga ahli kawasan luar bandar, kita juga harus memberikan perhatian kepada zaman akan datang iaitu bandar-bandar juga akan dipenuhi oleh golongan yang berasal daripada Melayu luarbandar.”
Daripada jawapan Tun tersebut, jelas Tun sudah meramalkan dengan cara yang mungkin tidak dapat difahami oleh pemimpin dan orang-orang UMNO sendiri tentang bahayanya jika kawasan bandar hanya dimonopoli oleh bukan Melayu. Mereka gagal memahami proses perbandaran yang menjadikan bandar menjadi bandaraya, separa bandar menjadi bandar dan luar bandar menjadi separa bandar.
Apabila berlaku perubahan pola pengundian mengikut kaum di mana pengundi Cina secara pukal beralih arah kepada DAP dan parti pembangkang lain sebelum PRU14 di mana trend ini telahpun bermula sejak PRU11, kedudukan ini merupakan bahaya besar terhadap kelangsungan BN dan UMNO.
Penganalisis berpendapat dengan dominasi bukan Melayu khususnya kaum Cina, maka kebergantungan UMNO dan BN terpaksa dipaut kepada pengundi Melayu sepenuhnya dan ini juga merupakan punca utama UMNO mula menghimpit dan menggendong PAS yang dilihat mampu menarik sokongan pengundi Melayu.
Amat malang apabila keterdesakan UMNO gara-gara tidak memberi perhatian kepada kawasan bandar merupakan kesilapan besar kerana kawasan bandar yang dikuasai bukan Melayu khususnya kaum Cina menolak UMNO dan BN sedangkan kawasan luar bandar semakin mengecil dan penduduknya pula ramai berhijrah ke bandar.
Tahap celik politik yang begitu pantas bergerak di bandar menjadikan segala kebobrokan dan kebejatan dilakukan pemimpin UMNO dan BN segera dihidu oleh rakyat dan mencetuskan kebencian. Kemudahan internet dan kepantasan maklumat melalui media sosial menambah masalah kepada UMNO dan BN dalam soal ini. Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang keperluan untuk UMNO menjadi dominan di kota dan bandar-bandar besar dengan membiarkan anak-anak muda Melayu yang berilmu dan berhijrah ke bandar memimpin UMNO tidak diendahkan dan akhirnya mendorong mereka menyertai pakatan pembangkang menyerang UMNO dan BN.
Orang cerdik menyerang orang bodoh sudah pastilah kemenangan akan memihak kepada yang cerdik. UMNO sudah dijangkiti penyakit MIC dengan menyekat golongan professional dan golongan berilmu menyertai parti kerana pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian sedia ada yang tidak berpelajaran, tukang kebun, nelayan, petani begitu bimbang mereka akan ditolak oleh ahli-ahli nanti.
Semua tindakan sejak begitu lama sebenarnya menjadi pemangkin kepada berlakunya penolakan majoriti rakyat terhadap UMNO dan BN selain faktor yang mencetuskan rangsangan di saat akhir apabila penyamun mengepalai UMNO dengan menyamun khazanah negara dan wang rakyat sesuka hati bagaikan harta mak bapaknya ketika mana rakyat dijadikan penonton.
Apakah rakyat buta, pekak dan bisu? 9 Mei 2018 adalah tarikh kebutaan, pekak dan bisu dinyahkan dari bumi ini dan rakyat khususnya bangsa Melayu bangkit menghukum UMNO yang sudah lupa diri, bongkak dan angkuh serta hilang rasa takut pada dosa dan undang-undang akibat terlalu lama berkuasa. Melayu sudah bangkit menghukum UMNO jadi tidak perlu lagi dianjurkan program Melayu Bangkit hanya sekadar menutup kelemahan melalaikan bangsa sendiri sejak sekian lama.
Kalaulah apa yang disarankan oleh Tun sejak lama diambil dengan rasa rendah diri dan bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini, parti ini mungkin masih mampu bertahan lagi. Apa lagi yang menjadi tukang ramal sendiri mengepalai gerakan rakyat menundukkan UMNO dan BN, bagai luka disiram cuka lah nampaknya.
Kata-kata menjelang kematian oleh Nostradamus, "Tomorrow, I shall no longer be here." (Esok, saya sudah tidak akan ada di sini.) Satu hari nanti, Tun juga mungkin akan berkata perkara sama?

Comments
Post a Comment