BAHANA SALAH PILIH PEMIMPIN


Negara akan hancur apabila salah memilih pemimpin sepertimana yang telah dilalui rakyat negara ini sehingga negara hampir tergadai dan muflis jika tidak kerana bulatnya tekad rakyat untuk mengubah pemerintahan dalam PRU14 yang lalu. Tanpa perubahan kerajaan, masih ramai rakyat yang tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin super korup dan tamak-haloba memunggah harta dan wang rakyat untuk diri sendiri, suku-sakat dan kaum keluarga.

Kebenaran muncul satu-persatu sebaik penyangak-penyangak ini diheret ke muka pengadilan dan rakyat negara ini dianggap bernasib baik apabila pihak media asing seperti Sarawak Report dan Al-Jazeera sanggup menongkah arus membongkar salah-laku kepenyangakan 'jemuan-jemuan' berselindung di sebalik nama pemimpin dan menteri.

Dalam bukunya berjudul ‘Islam dan Melayu - Martabat Umat Dan Daulat Rakyat’ halaman 91, Dr Siddiq Fadzil menyebut, “Ada penguasa yang sekaligus pemimpin, ada pemimpin yang tidak memegang kuasa, di samping ada pula penguasa yang tidak memimpin. Malah tidak jarang mereka yang disebut pemimpin itu pada hakikatnya bukan ‘leader’ tetapi ‘misleader’. Termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘sadah’ dan ‘kubara’, iaitu para pembesar dan penguasa yang menyesatkan rakyat.”

Harta rakyat dan harta negara dianggap harta mak-bapak pemimpin-pemimpin penyangak ini sehinggakan rakyat tidak punya secebis hak untuk menyoal dan soalan hanya akan memantulkan musibah samada dipecat, di'SOSMAkan' diugut malah tidak ragu-ragu lagi ada yang menjadi korban kerakusan penyangak-penyangak ini.

Halal bukan pertimbangan dan haram diri sendiri yang halalkan kerana kuasa sedang menggelegak dalam genggaman. Sendiri julang sendiri lambung sendiri sorak sebagai pahlawan dan pendekar walaupun hakikat sebenar kaki sentiasa siap siaga untuk lari bukan berpencak silat memasang kuda-kuda. Mata liar mencari pintu dan tingkap untuk lari jika disoal hal-hal berkaitan kegiatan kepenyamunan selama ini.

Di mata pemimpin-pemimpin penyangak ini dan gerombolan hamba abdi peliharaan mereka, rakyat tidak lebih daripada sampah-sarap yang hanya layaknya dihumban ke dalam timbunan sampah untuk dilupuskan. Nilai rakyat hanya berharga ketika mereka berhajat mendapatkan undi untuk kelangsungan kuasa dalam pilihanraya bagi meneruskan rompakan berjamaah.

Benarlah seperti apa yang dinyatakan Dr. Siddiq Fadzil dalam buku sama di halaman 92, “Sejauh yang dapat ditelusuri secara agak jelas kepimpinan Melayu tradisi terpola dalam sistem feudal. Dengan demikian yang lebih dirasakan bukan kehadiran pemimpin, tetapi keleluasaan ‘Orang Besar’ menindas dan memeras rakyat kecil dengan memaksa mereka menyerahkan sebahagian besar penghasilan keringat mereka. Dalam sistem tersebut, rakyat tidak mempunyai hak apa-apa, sebaliknya hanya dibebani tanggungjawab. Kerana itu mereka tidak boleh menuntut apa-apa. Andainya mereka diberikan sesuatu, itu tidak bererti mereka mendapat hak, tetapi menerima kurnia. Dan andainya mereka menerima pelayanan yang tidak adil dari penguasa, ia bukan satu kezaliman tetapi memang sial diri mereka sendiri.”

Kegilaan apa sebenarnya yang sedang merayap dalam fikiran pendokong-pendokong penyangak-penyangak ini sehingga membutakan mata dan memekakkan telinga dengan menganggap semua tindakan terhadap pemimpin gila kuasa, harta dan wang ini adalah fitnah dan berpaksikan dendam terhadap mereka?

Alangkah mudahnya menjustifikasikan kesalahan dengan hanya bermodalkan ianya fitnah, dendam dan 'kencing' sedangkan mudarat atas kepenyamunan dan kezaliman pemimpin-pemimpin mereka itu bukan soal kecil tetapi merupakan pengkhianatan terhadap bangsa, agama dan negara.

Jika kita semua menghayati dan menerima prinsip demokrasi seperti yang dicanang selama ini, kita harus dengan rela menerima kemahuan rakyat. Yusuf Qardawi berhujah bahawa demokrasi berteraskan prinsip hak rakyat memilih siapa yang mereka kehendaki untuk memerintah dan mengendalikan urusan mereka. Rakyat tidak boleh dipaksa menerima pemerintahan, aturan atau dasar yang mereka tidak sukai. Demokrasi juga memberikan hak kepada rakyat untuk memperingatkan pemerintah apabila tersalah, dan menurunkan mereka apabila menyimpang.

Sama-sama kita mensyukuri rahmat dari Allah swt yang diberikan kepada kita kekuatan untuk sama-sama menentang rejim kleptokrasi melalui peti undi dalam pilihanraya lalu tanpa sebarang insiden keganasan dan semuanya lancar seperti yang diharapkan.

Amin, Amin Yarrabbal Alamin.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?