BILA TUN SUDAH BERSUARA


Sebaik melintasi garisan 100 hari PRU14, Tun Mahathir Mohamad mula mengeluarkan kenyataan melibatkan menteri-menteri kabinetnya. Saya yakin Tun Mahathir telah mengambilkira pandangan dan kritikan dari rakyat terhadap barisan kabinetnya itu.

Bermula dengan Datuk Kadir Jasin (DKJ) menulis di blog beliau bahawa menteri-menteri kabinet sedia ada perlu disekolahkan, ianya disambut oleh Perdana Menteri juga dengan kata-kata sama untuk menyekolahkan menteri-menteri yang ada.

Terkini, Tun Mahathir Mohamad siap memberi skala pemarkahan antara 40-50% sahaja kepada menteri-menteri kabinet yang ada. Jika pelajar sekolah atau pelajar institusi pengajian tinggi yang mendapat skala pemarkahan sedemikian bermakna pelajar-pelajar ini hanya sekadar ke sekolah atau pusat pengajian untuk elakkan dimarah oleh ibubapa sajalah.

Pihak sekolah juga tidak melantik pelajar yang mendapat markah sedemikian untuk menjadi ketua kelas atau pengawas kerana mereka sebagai contoh atau simbol kepada sekolah tersebut. Pelajar-pelajar yang mendapat markah sedemikian juga tidak kecewa, sedih atau marah jika tidak dilantik sebagai ketua kelas atau pengawas kerana ia bukan saja menambah beban mereka, tetapi juga ibarat memalukan diri sendiri. Mereka ini walaupun tidak hebat dan pintar tetapi tahu diri dan sadar diri.

Tetapi kenapa menteri-menteri ini dilantik? Apakah sebelum mereka dilantik sebagai menteri, semuanyahebat dan pintar tetapi setelah dilantik tidak semena-mena menjadi lemah jiwa dan minda serta dijangkiti virus 'tololisme'?

Agaknya kata-kata Tun Mahathir bahawa beliau akan sekolahkan menteri-menteri itu mempunya 'makna ganda' yang jauh lebih daripada difahami sebahagian daripada kita. Seperti orang kurang ajar tidak akan dihantar ke sekolah untuk diajar matematik, geografi, sejarah atau sains. Sebaliknya orang kurang ajar diajar dengan makian dan tidak kurang yang diterajang serta ditumbuk.

Ada masanya, sebahagian dari kita berkata, 'Tadi aku sekolahkan mangkuk tu!'. Ianya bukanlah bermaksud kita mengajar dia fardu kifayah, rukun iman atau rukun negara tetapi ertinya kita dah 'basuh' cukup-cukup seseorang yang disekolahkan itu.

Sama jugalah dengan bila Perdana Menteri berkata akan sekolahkan menteri-menteri ini samada secara memberi amaran keras atau menggantikan mereka dengan muka baru sepertimana pernah disebut oleh beliau sebelum ini. Katanya, sesiapa yang gagal berperanan sebagai menteri akan ganti apatah lagi yang terbukti korup.

Tun Mahathir Mohamad bagi yang mengikuti perjalanan hidup, politik serta gaya percakapannya sudah pasti tahu bahawa gayanya penuh sinikal dan subur dengan 'makna ganda'. Jika ada menteri yang punya maruah dan tahu diri, ubahlah cara bekerja dan tingkahlaku sebelum terlewat kerana masa tidak pernah menunggu kita dan rakyat semakin hari semakin hilang selera untuk menelan kegagalan pemimpin yang menjanjikan bulan dan bintang.

Teguran Perdana Menteri terhadap menteri-menteri juga jangan hanya kita halakan teropong kepada barisan kabinet sahaja kerana pemimpin yang dilantik sebagai Exco, Menteri Besar, Setiausaha Politik, Pegawai Khas dan apa saja lantikan politik perlu cermin diri dan bermuhasabah apa kamu janji pada rakyat khususnya pengundi dalam PRU14 lalu. Kegagalan setiap dari kamu adalah refleksi kepada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan.

Mimpi manusia belum pernah mencecah lebih 100 hari kerana paling lama pun 2-3 jam sahaja. Kenapa Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Exco, SUPOL, SUA, pegawai-pegawai khas dan semua lantikan politik perlu bermimpi sehingga berbulan-bulan?

Menteri, Exco dan semua pemimpin yang diangkat ke kedudukan istimewa ini memikul amanah bukan hadiah. Mereka bukan 7 orang pemuda yang tertidur di dalam gua yang disebut dalam Surah Al-Kahfi yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah tidurkan mereka selama 309 tahun akibat kezaliman Raja kufur dari Rom yang memerintah secara kejam dan kuku besi.

Bangkit dari tidur dan mimpi panjang yang kamu sendiri lakukan kerana setiap sen dari wang kamu ambil sebagai upah atas kerusi yang kamu panaskan selama ini adalah titik peluh rakyat yang tidak mahu melihat ianya disia-siakan. Dosa dan kesalahan kamu culas dan tidak amanah itu samalah seperti Najib, Zahid dan pimpinan sebelum ini yang mencuri wang rakyat semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Wallahualam...

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?