DIAKAN MUDA?

Sejak sebelum PRU ke-13 lagi, jelas kemahuan rakyat dan juga parti-parti politik yang ingin mendapat sokongan rakyat mencanangkan hasrat mewujudkan Malaysia baru. Salah satu elemen utama yang dicanang adalah melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang bakal dilantik sebagai menteri di dalam barisan kabinet sebaik kerajaan baru ditubuhkan.

Namun, ia hanya menjadi kenyataan setelah Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU ke-14. Sebaik sahaja kabinet ditubuhkan, ramai menteri-menteri muda daripada parti-parti politik yang menjadi komponen Pakatan Harapan terpilih mengganggotai jemaah menteri.

Antaranya adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26 Tahun, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar: Yeo Bee Yin, 35 Tahun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Hannah Yeoh, 39 Tahun, Timbalan Menteri Belia dan Sukan: Steven Sim, 32 Tahun, Timbalan Menteri Pendidikan: Teo Nie Ching, 37 Tahun dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar: Isnaraissah Munirah Majilis, 36 Tahun.

Daripada semua kalangan menteri-menteri muda tersebut, Syed Saddiq lah yang paling muda dan dia jugalah yang menjadi sasaran kritikan tanpa henti yang saya kira daripada golongan haters, khususnya orang-orang UMNO dan juga di kalangan Pakatan Harapan sendiri yang kecewa tidak dilantik sebagai menteri.

Apalah sangat yang dapat kita harap daripada orang muda yang pertama kali terjun ke dunia politik dan berjaya diangkat menjadi menteri? Apakah hanya kerana beliau dilantik sebagai menteri, maka beliau juga hilang hak sebagai seorang manusia yang masih muda, belum berumahtangga, ada rupa dan yang juga pastinya mempunyai naluri orang muda sepertimana manusia biasa yang lain.

Kritikan terbaru adalah foto beliau di dalam tempat mandi tanpa baju tetapi berseluar yang dianggap tidak wajar. Saya kira ia menjadi tidak wajar jika yang melakukan itu adalah Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Saudara Lim Guan Eng, Saudara Gobind Singh Deo, Anthony Loke dan seangkatan dengan mereka melakukan aksi begitu.

Apa yang lebih utama adalah kemahuan dan iltizam untuk mengangkat nama baik kementerian yang diterajui bukanya meneropong sisi buruk peribadi dan kelemahan yang pastinya ada bagi setiap manusia. Menjadi menteri tidak bermaksud menjadi manusia sempurna tetapi berusaha untuk menjadi sempurna. Dalam soal ini, beliau nampaknya bersemangat walaupun ada tindakan-tindakan beliau yang dilihat masih tidak matang dan ianya dapat diperbaiki olehnya melalui proses pembelajaran berterusan serta belajar daripada pengalaman orang-orang lama yang masih ada khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika kita hanya berterusan mencari salah generasi baru seperti ini, ia hanya akan memberi kesan buruk bukan sahaja terhadap mereka, tetapi juga keseluruhan kabinet termasuk Pakatan Harapan sendiri. Namun demikian, ia tidaklah bermakna bahawa mereka itu kebal daripada kritikan sekiranya melakukan tindakan-tindakan yang merugikan rakyat dan juga negara.

Tidak sedikit daripada kalangan menteri-menteri yang ada masih dilihat hanya memanaskan kerusi yang diberi tetapi prestasi mereka jauh daripada yang diharapkan oleh rakyat. Apa yang dikejar oleh mereka nampaknya lebih kepada kepentingan diri serta gelaran-gelaran yang dianggap boleh menjulang nama mereka dan dihormati.

PRU15 tidaklah begitu lama lagi dan ianya akan menjadi medan getir buat mereka sekiranya sikap dan prestasi seperti ini diteruskan tanpa usaha untuk memperbaikinya. Apa yang mereka patut mereka ingat adalah, rakyat sudah mendapat suntikan semangat untuk tidak memberi muka kepada mana-mana pihak dan individu yang mengutamakan diri sendiri dan kelompok serta merugikan rakyat dan negara. Jika UMNO yang sudah memerintah selama lebih daripada 61 tahun mampu dihumban oleh rakyat, jangan fikir yang hanya sepenggal akan dibiarkan menjadi tunggul dimamah anai-anai.

Saya bukan fan atau haters beliau tetapi sekurang-kurangnya, kita yang bukan lagi muda dan remaja seperti golongan ini sesekali membuka tingkap minda untuk melihat, berfikir dan rasai apa yang mereka lalui untuk tidak sentiasa memasang kerangka prejudis terhadap mereka.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?