ISLAMKAH AKU, KAMU DAN MEREKA?
Di dalam akhbar Mingguan Malaysia 1 Oktober 1989, ZAM dalam ruangan Awang Selamat menulis, “Awang tidak pernah berkhayal untuk mengagumi revolusi Iran kerana selepas revolusi itu, berlaku sesuatu keruntuhan Islam yang paling dahsyat dalam sejarah Islam. Berjuta-juta orang Islam Iran dan Iraq mati di dalam peperangan sesama Islam dengan menggunakan senjata orang kafir. Pemimpin kedua-dua negara ini saling menuduh Amerika sebagai syaitan tetapi siapakah syaitan yang sebenarnya kalau bukan orang Islam yang tidak dapat mengawal nafsu sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri.”
Begitu juga dengan Arab Saudi yang menyerang Yaman sehingga begitu besar angka korban kematian dan kecederaan serta kemusnahan dan wabak penyakit ditambah dengan kebuluran. Islam kah mereka yang menyerang dan tidak Islam kah yang diserang?
Begitu ramai umat Islam menjadi korban samada mati atau separuh mati dan hidup sudah tidak bererti lagi gara-gara umat yang kononnya Islam mereka lebih syumul dari Islam orang lain dan lebih teruk dilabel kafir.
Maknanya jumlah umat Islam semakin berkurang dan dengan jumlah yang ramai pun sudah tidak mampu untuk menjadikan umat Islam dan negara Islam kuat, apatah lagi dengan tindakan mengurangkan jumlah umat Islam melalui peperangan seperti ini.
Ketika umat islam di Bosnia disembelih, diperkosa dan dizalimi, negara Islam dan umat islam hanya mampu mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Serbia dan Crotia. Paling hebat mampu dilakukan hanya dengan memberi bantuan kemanusiaan yang seringkali dirampas tentera Serbia dan Crotia.
PBB hanya sekadar menjadi medan berbahas walaupun sudah puluhan ribu yang mati dan diseksa. Kerana apa? Kerana umat islam dan negara Islam tidak kuat dan ketika itu berharap akan menjadi kuat yang berakhir dengan kuat maki, kuat makan, kuat korupsi, kuat mengkafirkan sesama Islam dan kuat berpolitik.
Islam di zaman Nabi dan para sahabat walaupun jumlahnya kecil berbanding tentera musuh masih boleh menang kerana apa? Kerana disiplin dan tidak mengutamakan jawatan dan pangkat. Khalid Al-walid tidak kecewa digantikan kedudukannya sebagai Panglima Perang kerana percaya amanah diberikan oleh Nabi Muhammad itu pastinya mempunyai alasan yang kukuh.
Jika kita sekarang, pastinya belot dan cah keting kerana kekecewaan penawarnya adalah menentukan mereka yang mengecewakan ditumbangkan asal hati merasa puas. Islam dan mengikut sunnah kah itu?
Islam kah kamu jika masih mempertahankan pencuri dan koruptor harta negara yang mengakibatkan negara dibebani hutang begitu besar? Islamkah kamu jika masih mampu disogok puluhan juta ringgit walaupun serban sebesar gendang dan jubah mampu menyapu pentas ceramah?
Islamkah kamu jika menghukum menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis mengikut keadaan,selera pemimpin dan kepentingan parti politik? Parti bukan agama dan menentang parti yang dianggotai kamu bukan menjejaskan aqidah tetapi digambarkan seolah-olah tidak sehaluan dan bertentangan itu adalah menentang Islam.
Islam tidak begitu dan Islam itu kekal selamanya bukan hari ini begini, esok begitu dan lusa gitu-gitu kata Apek Senario. Jika dibiarkan Islam berada di tangan kelompok begini, akhirnya jumlah berbaki umat islam di seluruh dunia hanyalah di Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai nombor ahli parti mereka adalah kafir walaupun melaksanakan rukun Islam dan rukun Iman.
Kata Gus Mus @ Mustofa Bisri, " Dulu agama menghancurkan berhala. Kini agama jadi berhala. Tak kenal Tuhannya, yang penting agamanya.
Dulu orang berhenti membunuh karena agama. Sekarang orang saling membunuh karena agama.
Dulu orang saling mengasihi karena beragama. Kini orang saling membenci karena beragama.
Agama tak pernah berubah ajarannya dari dulu,Tuhannya pun tak pernah berubah dari dulu. Lalu yang berubah apanya? Manusianya?"

Comments
Post a Comment