KESELAMATAN PERDANA MENTERI (PM)


Kontroversi atau tidak sesuatu perbuatan atau tindakan bergantung samada ianya diketahui umum atau sebaliknya. Hampir semua daripada kita setiap hari bertelanjang tetapi ianya dilakukan di tempat tertutup tidak kira sama ada di bilik mandi, tandas atau bilik tidur. Namun sekiranya seseorang itu bertelanjang di khalayak ramai pastinya mencetuskan kontroversi melainkan seseorang itu tidak siuman.

Tidak sedikit jumlahnya orang yang melakukan zina atau berkhalwat tetapi tidak menjadi kontroversi kerana tidak tertangkap. Jika tertangkap dan tersebar beritanya, barulah ianya menjadi kontroversi.

Sama jugalah halnya dengan seseorang yang minum sisa minuman bos beliau atau orang kenamaan. Ia bukanlah sesuatu yang kontroversi jika tidak didedahkan kepada umum dengan memberi alasan yang melucukan tidak sejajar dengan jawatannya.

Alasan mengelakkan pembaziran untuk menghabiskan sisa minuman Perdana Menteri dan dimuatnaik ke media sosial merupakan jenaka Pandirism kelas pertama pernah dilakukan. Apakah salah dan berdosa minum sisa minuman pemimpin atau Perdana Menteri? Sesekali tidak malah kemungkinan orang lain juga pernah melakukan hal yang sama. Namun, tanyalah sesiapa saja yang waras sebaik melihat foto dimuatnaik itu pastinya merasa mual, jengkel dan menganggap ianya 'jilatan emas' yang begitu luarbiasa.

Masyarakat boleh menerima kenyataan bahawa seorang yang ditugaskan menjaga keselamatan orang kenamaan (VVIP) akan menentukan selamatan orang kenamaan yang menjadi tugasnya itu berada dalam keadaan selamat walau dengan apa cara sekalipun. Tetapi dengan memuatnaik foto yang boleh dianggap aneh dan menjengkelkan itu yang menyebabkan kritikan berterusan.

Isu ini akan terbenam dengan sendirinya jika ianya tidak dipertahankan secara sembrono, celupar dan agresif seolah-olah ianya merupakan tanggungjawab orang yang dikritik walaupun sebagai Perdana Menteri sudah diperuntukkan pegawai keselamatan (ADC, anggota UTK dan Pasukan Pengiring Rapat) secukupnya setiap kali ada pergerakan beliau. Tugas Setiausaha Politik lebih kepada hal-hal berkaitan dengan kepentingan politik Perdana Menteri dan soal keselamatan ada pihak yang bertanggungjawab. Lebih aneh bila diminum selepas VVIP minum (janji hilang dahaga).

Pengalaman saya berpeluang mengiringi Perdana Menteri di luar negara juga banyak meninggalkan kenangan manis, sedih, dan juga melucukan. Bertugas dalam Security Advance Party bersama anggota UTK sememangnya tidak punya banyak masa untuk kami memasak makanan kerana tumpuan utama adalah keselamatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri ketika melawat luar negara. Oleh itu, soal makan dan minum merupakan perkara terakhir yang perlu diberi perhatian. Apa yang sempat makan dan minum itulah rezeki yang ada untuk kami.

Namun, jika ada peluang untuk makan atau minum sama ada lebihan makanan Perdana Menteri dan rombongannya, pasti tidak akan kami lepaskan. Apatah lagi masakan tukang masak yang dibawa bersama memasak makanan Perdana Menteri dan isteri atau keluarganya sudah pastilah lazat dan berselera. Tetapi tidaklah sampai kepada bergambar atau memberitahu orang lain dengan alasan untuk tidak membazir. Lagi disimpan ketat-ketat kerana adalah tidak baik jika diketahui umum tanggapan kami. Apalah sangat nilai makanan yang dibazirkan berbanding dengan hal-hal yang lebih besar dibazirkan (pemimpin dahulu). Oleh itu, tidak pernah tercetusnya isu-isu seperti ini sebelumnya.

Tanggungjawab dan jawatan yang diberikan kepada seseorang itu haruslah bersesuaian dengan beliau apatah lagi yang ditugaskan untuk berkhidmat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sebarang perbuatan atau tingkahlaku seseorang yang ditugaskan kepada Perdana Menteri atau orang kenamaan akan memberi kesan langsung kepada mereka.

Dengan demikian, mungkin sudah sampai masanya pemilihan pegawai-pegawai yang akan ditugaskan kepada Perdana Menteri atau orang-orang kenamaan dilakukan secara berhemah dan teliti sepertimana pemilihan ADC Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri di mana disenaraikan beberapa nama yang dikenalpasti sesuai untuk tugas tersebut yang akhirnya akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Mereka yang dicalonkan terdiri daripada kalangan yang telah dikaji kelebihan dan kekuatan masing-masing sesuai untuk tugas tersebut.

Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain yang melibatkan seseorang pegawai itu berada dalam lingkaran Perdana Menteri atau orang kenamaan. Senaraikan beberapa calon yang sesuai untuk dipilih oleh Perdana Menteri atau orang kenamaan di mana calon-calon tersebut telah pun disenarai pendekkan mengikut kesesuaian jawatan yang akan disandang.

Apabila teguran atau pun kritikan dibuat dalam kes seperti ini, orang yang menegur akan dicerca dan dihina seolah-olah orang yang menegur atau membuat kritikan tidak faham bidang keselamatan dengan tindakan yang telah dilakukan tersebut.

Melabelkan pengkritik seperti monyet, kera dan sebagainya adalah refleksi kepada sikap dan pembawakan pegawai serta penjilat penjilat yang mempunyai kepentingan diri mengatasi kepentingan Perdana Menteri dan juga kerajaan sedia ada. PPBM sinonim dengan parti bunga dan bunga akan menerima padah sekiranya diberi kepada monyet dan kera kerana pepatah ada menyebut ibarat kera mendapat bunga dan hasilnya sudah pastilah kita dapat meramalkan.

Alasan keselamatan Perdana Menteri "fizikal dan spiritual" serta ‘Risk Management’ yang diberi untuk mempertahankan tindakan tersebut bukan saja lucu dan tidak diterima akal, malah menjadi ‘back-fire’ tidak saja kepada dirinya tetapi juga Perdana Menteri yang dianggap sering salah pilih orang.

Saya pernah menghadiri Risk Management Course di Melbourne Australia yang dilatih oleh agensi perisikan negara tersebut (ASIS & ASIO) serta Kursus Perlindungan Keselamatan VVIP kendalian Unit Tindakan Khas PDRM,namun tidak pernah pula diajar sepertimana alasan yang diberikan oleh penjilat-penjilat menggunakan fake account mempertahankan tindakan memalukan itu.

Malah, banyak buku-buku berhubung dengan espionage, protective security, risk management, serta buku-buku berkaitan MOSSAD, CIA, Agensi Perisikan Indonesia, Research and Analysis Wing (RAW), India, Federal Security Services (FSB), Russia, Ministry of State Security (MSS), China Secret Intelligence Services/MI6, United Kingdom tetapi tidak ditemukan alasan perbuatan sedemikian.

Lebih melucukan apabila penjilat-penjilat ini mengarahkan sesiapa yang menegur dan mengkritik perbuatan minum lebihan minuman Perdana Menteri itu supaya banyak membaca dan melihat gambar. Gambar apa?

Jadikanlah peristiwa dan isu ini sebagai iktibar bukan saja kepada diri kita, tetapi juga sesiapa saja yang mungkin jika tidak ditegur akan melakukan perkara sama yang tidak menguntungkan dirinya dan pemimpin. ‘Selfie dan Wefie’ nampaknya sudah menjadi perbuatan merbahaya yang sukar dikawal apabila tahap ketagihan ber'selfie' masyarakat ketika ini berada di zon merah (kritikal).

Menambah bahayanya keadaan sekarang adalah apabila pemimpin dan ahli parti-parti politik dalam Pakatan Harapan sudah dijangkiti penyakit tidak boleh ditegur atau dikritik sepertimana yang pernah dilakukan oleh UMNO dan pemimpin Barisan Nasional yang menyebabkan mereka dihumban oleh rakyat dalam PRU14.

Di mana Malaysia Baharu seperti yang dicanang untuk dicontohi oleh seluruh rakyat negara ini. Jika janji seperti ini yang mudah dilakukan pun tidak mampu dibuat, jangan harap janji-janji besar yang dibuat sebelum PRU14 akan dapat ditunaikan.

Rakyat tidak buta ataupun pekak sehingga begitu mudah diperlekehkan dan jangan kecewa apabila datangnya pilihan raya umum akan datang, nasib sama menimpa Pakatan Harapan sepertimana diterima oleh UMNO dan pimpinannya sekarang.

Saya selalu berpesan kepada pegawai dan anggota bertugas dahulu, keselamatan Perdana Menteri bukan saja letaknya pada hal-hal fizikal Perdana Menteri, jauh lebih utama adalah imej dan maruah beliau perlu dijaga. Oleh itu, ketika tugas pembersihan (Flushing) dilakukan sebelum ketibaan Perdana Menteri, hal-hal yang boleh memalukan beliau perlu diberi perhatian mengelakkan ianya berlaku. Jadi, jangan pula kita sendiri yang memalukan Perdana Menteri umpama jaring gol gawang pasukan sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?