HINDRAF
HINDRAF atau singkatannya Hindu Rights Action Force ditubuhkan pada 2005 oleh Uthayakumar, Waythamoorthy dan beberapa orang lain kononnya bagi memperjuangkan nasib orang India miskin, termasuk menimbulkan isu kematian dalam tahanan polis.
Berikutan penahanan Uthayakumar bawah Akta Keselamatan dalam Negeri pada 2007, Hindraf dipimpin sementara waktu oleh R S Thanenthiran, yang kemudian menubuhkan Parti Makkal Sakti untuk menyertai BN.
Waythamoorthy yang melarikan diri ke London, kembali ke tanah air untuk memimpin HINDRAF dan menandatangani persefahaman dengan BN sebelum pilihan raya umum ke-13. Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun beliau meletak jawatan selepas setahun dan mendakwa Najib gagal menghormati rangka tindak HINDRAF untuk membela kelompok miskin masyarakat India. Pada pilihan raya lepas, beliau menyokong PH.
HINDRAF menggunakan laungan slogan Makkal Sakthi yang bermaksud ‘Kuasa Rakyat’. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah rakyat berketurunan India di negara ini berjumlah 2.01 juta orang dari jumlah keseluruhan 32, 400,000 yang bermaksud lebih kurang 7peratus. Apakah etnik bumiputera yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina 23.4 peratus dan lain-lain 1.0 peratus bukan rakyat? Kuasa selalunya berkait dengan angka dan jika angka jadi taruhan, kuasa rakyat diperjuangkan HINDRAF tidaklah sebesar mana walaupun jika semua kaum India di negara ini menyokong HINDRAF. Namun, adalah mustahil semua kaum India di Malaysia menyokong pihak yang begitu radikal dan mengejar bayang.
Mengatasnamakan rakyat memang mudah tetapi apakah kita semua perlu pentingkan diri sendiri atau kelompok masing-masing sehingga kerakyatan orang lain dan suku serta bangsa lain perlu dikesampingkan?
Menurut rekod, HINDRAF mendakwa mewakili 30 NGO entah betul entah tidak berdasarkan pengalaman ketika saya bertugas dulu di Daerah Kota Setar. Apabila senarai ahli MIC diminta dari pengerusinya, memang cukup liat nak dapatkannya sehingga berbulan-bulan dengan berbagai alasan. Rupa-rupanya ahli MIC, PPP, IPF kebanyakan orang yang sama dan ianya dilakukan bertujuan untuk mendapatkan peluang jawatan dalam parti atau NGO.
HINDRAF juga mendakwa berusaha menegakkan hak-hak pengekalan masyarakat Hindu dan warisan mereka di dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Sepanjang pengetahuan saya dan diyakini orang lain pun mempunyai pandangan sama bahawa hak apa dan warisan apa tidak dibenarkan oleh pemerintah terhadap kaum India beragama Hindu di negara ini? Fitnah dilemparkan sehingga ke luar negara kononnya ribuan kuil dirobohkan kerajaan langsung tidak berasas.
Sepanjang bertugas dulu, kuil (shrine) yang dirobohkan PBT disebabkan ia dibina di atas tanah ‘reserve’, reserve parit atau sungai, reserve jalan dan sebagainya bukan milik mereka. Kebanyakannya bermula dengan kemunculan ular di pokok kemudian perlahan-lahan dipacak besi serampang 3 mata dan bermulalah proses pembesaran yang berpunca daripada kecuaian PBT untuk segera menghentikan binaan sebelum ia mengundang campurtangan politik.
Bukan saja kuil, gereja, masjid, surau, tokong dan rumah ibadat lain juga yang tidak mendapat kelulusan PBT dan mengggunakan tanah milik kerajaan dan orang lain ianya akan dirobohkan. Ini bukan soal agama atau politik tetapi pelanggaran undang-undang dan apakah HINDRAF cuba menjadi juara kepada pelanggaran undang-undang?
Pada 6 Disember 2007, kenyataan media Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan Hindraf bukanlah sebuah pertubuhan berdaftar. Sebaliknya pertubuhan gelap, tidak berdaftar dengan Akta pertubuhan dan diwujudkan atas sentimen melampau dan pada 15 Oktober 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu mengisytiharkan Hindraf sebuah pertubuhan haram. Namun, agak memeranjatkan apabila pada akhir Januari 2013, pengharaman ini ditarik balik. Inilah masalahnya apabila kepentingan politik mengatasi kepentingan keselamatan dan prinsip.
Satu hal yang paling tidak boleh diterima adalah apabila HINDRAF bertindak biadab menyerbu PWTC ketika Majlis Rumah Terbuka YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Oktober 2008 jam 10 pagi kononnya untuk menghantar memorandum . Saya bukan pemuja atau pengkagum Pak Lah kerana bagi saya beliau seorang Perdana Menteri yang lemah dan mudah dipengaruhi oleh menantunya Khairy Jamaludin (KJ) yang menggunakan ‘Budak Tingkat 4’ yang menjadi punca utama Pak Lah terperosok dari kerusi Perdana Menteri jatuh ke lembah cercaan dan penghinaan. Banyak lagi kelemahan beliau yang tak perlu saya panjangkan di sini tetapi cukup sekadar rasa hormat sebagai Perdana Menteri tidak ada dalam diri saya pada beliau.
Tetapi kita menentang tindakan HINDRAF ini kerana ianya mencabuli dan menghina institusi Perdana Menteri yang wajib dihormati selagi tidak disingkirkan dan mengamalkan pemerintahan kuku besi, zalim, korup lagi menyalahgunakan kuasa.
Tindakan HINDRAF wa’ima atas niat apapun tidak boleh diterima kerana bukan setakat majlis Perdana Menteri tetapi ianya merupakan budaya Melayu Islam di negara ini mengadakan Majlis Rumah Terbuka sebagai simbol kemenangan umat Islam berpuasa atau jika Aidil Adha simbol pengorbanan umat Islam. Ini soal agama dan bangsa yang sudah dinjak oleh penganut agama dan bangsa lain yang tidak sesekali boleh dibiarkan.
Pernahkan dalam sejarah walaupun kaum India hanya 7 peratus di negara ini tetapi kaum lain khususnya Melayu menyerbu majlis agama atau budaya kaum India atas apa juga matlamat? Begitu juga dengan kaum Cina atau lain-lain kaum dan etnik tidak ada yang begitu biadab bertindak sedemikian rupa.
Kira-kira 200 ahli HINDRAF dan 40 aktivis anti-ISA yang hadir termasuk K Shanti, isteri pemimpin Hindraf dalam pelarian P Waythamoorthy membawa patung beruang dan kad ucapan hari raya. Kad hari raya itu mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin HINDRAF yang sedang meringkuk dalam tahanan. Mereka menuntut supaya dihapuskan undang-undang yang menghalalkan penahanan tanpa bicara dan kesemua tahanan ISA dibebaskan atas alasan Islam juga mengharamkan penahanan tanpa bicara. Walaupun pihak polis menghalang mereka di pintu masuk PWTC, berlaku kekecohan yang mencemarkan majlis tersebut. Tidak ada masa dan ruang lain kah sehinggakan majlis anjuran Perdana Menteri, orang Melayu dan Islam perlu dirempuh sebegitu rupa? Malang apabila Perdana Menteri sudah dilihat lembik dan lemah bagaikan karamel cair tak cukup masak.
Daripada maklumat yang dilapor dan disiarkan media negara ini, HINDRAF juga dikaitkan dengan cubaan mendapatkan bantuan daripada kumpulan pengganas Tamil Tigers (LTTE) di Sri Lanka. Selain mencetuskan fitnah di luar negara, HINDRAF sudah melangkaui sempadan ketertibanserta keselamatan negara dengan mengundang campurtangan asing sehingga Ketua Menteri Tamil Nadu M. Karunanidhi cuba campur tangan terhadap undang-undang Malaysia dan warganegara Malaysia.
Karunanidhi dilaporkan begitu mengambil berat nasib kaum India di sini dan mahu membela kerana mereka berketurunan Tamil Nadu. HINDRAF turut menghantar surat kepada Perdana Menteri Mammohan Singh, Menteri Luar India Pranab Mukerjee sehingga kerajaan terpaksa menggunakan khidmat Samy Vellu menghubungi kerajaan India menjelaskan cerita sebenar. Blogger pendokong HINDRAF juga pernah mencadangkan kerajaan India menyerang Malaysia sebagaimana kerajaan Chola menyerang Srivijaya ketika dahulu.
HINDRAF tidak ketinggalan turut mengirim email kepada Perdana Menteri Britain ketika itu Gordon Brown (Abang kepada Clare Rewcastle Brown Sarawak Report) kononnya berlaku 'ethnic cleansing' di mana orang India dibunuh setiap hari oleh kerajaan ektremis Islam Malaysia. Namun, agak menarik apabila pada 6 Disember 2007 , mendiang Karpal Singh berbeza pendapat dengan pemimpin DAP yang lain dengan menyatakan tidak pernah berlaku pembunuhan kaum atau genosid di Malaysia.
Rasanya, sudah sampai masanya kerajaan baharu perlu bertegas dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, agama dan menyebabkan ketidakstabilan sosio-ekonomi, politik dan keselamatan.
Tindakan kerajaan perlulah berpaksikan RULE OF LAW serta telus dan tidak bias samada ianya datang dari kaum India, Melayu, Cina, Sikh, Iban, Dayak, Kadazan, Murut, BN, PH atau apapun yang menjadi punca ketegangan dan mengheret kepada berlakunya insiden sepertimana peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Walaupun isu ucapan Waythamoorthy yang sudah 10 tahun dibuatnya kini panas kembali, isu pokok yang paling penting diberi perhatian adalah setiap apa yang diungkap atau dilakukan oleh siapa atau pihak manapun, undang-undang perlu BUTA WARNA demi keadilan.
Kita tidak dapat menghindari dari berpolitik tetapi jangan sampai politik itu menyebabkan seluruh sistem dan tanahair menjadi rosak. Seperti kata Soe Hok Gie, “Bagiku sendiri politik adalah barang yang paling kotor. Lumpur-lumpur yang kotor. Tapi suatu saat di mana kita tidak dapat menghindari diri lagi, maka terjunlah.” Namun, jangan dilupa pesan Gus Dur mantan Presiden Indonesia, “Yang lebih penting dari politik adalah kemanusiaan.”

Comments
Post a Comment