KHASHOGGI
Dalam melaksanakan tugas atau misi RAHSIA, risiko ditanggung oleh pelaksana misi RAHSIA atau tugas tersebut amat tinggi bukan saja merbahaya. Lihat saja dalam kes terbaharu pembunuhan wartawan veteran Arab Saudi, Jamal Khashoggi, di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Pembunuhan secara kejam tersebut pada awalnya dinafikan oleh Arab Saudi tetapi akhirnya terpaksa mengaku dengan pelbagai dalih. Tekanan dari Turki dan antarabangsa akhirnya membuat kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tegas termasuk menjatuhkan hukuman mati kepada 5 orang dari 'Skuad Pembunuh' yang dikirim oleh mereka seramai 21 orang.
Di manakah logiknya mereka ini melakukan tindakan kejam tersebut tanpa mendapat arahan dari pemerintah khususnya Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad bin Salman yang didakwa Agensi Perisikan Amerika Syarikat (CIA) sebagai individu memberi arahan tersebut?
CIA turut mendakwa salah seorang suspek pembunuhan Khashoggi, Maher Mutreb yang juga aparat keselamatan Kerajaan Arab Saudi, menghubungi orang terdekat Putera Mahkota memaklumkan misi selesai. Antara yang dijatuhkan hukuman mati tersebut adalah Timbalan Pengarah Perisikan Arab Saudi dan pegawai tinggi lain yang terlibat dalam misi tersebut. Alangkah malang nasib pelaksana misi kerana yang berdondang sayang orang lain dan yang menggali kubur pula orang lain.
Begitu juga dengan kes berprofil tinggi di negara ini pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharibu oleh dua orang komando UTK Sirul dan Azilah yang akhirnya dijatuhkan hukuman mati. Sedangkan umum mengetahui mereka langsung tidak mengenali wanita malang tersebut sudah pasti tidak ada sebab untuk mereka melakukan pembunuhan secara kejam itu. Penggunaan bahan letupan C4 yang tidak mudah diperolehi oleh selain anggota pasukan keselamatan menguatkan dakwaan ianya adalah arahan datangnya dari orang besar yang sehingga kini menjadi misteri.
Pembunuhan kejam Kevin Morais juga memperlihatkan trend sama di mana pemberi arahan sebenar melakukan misi membunuh mendiang sehingga kini gagal dibongkar walaupun ramai membuat telahan siapa yang mengarahkannnya.
Orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya dan habis madu, sepah dibuang. Berpada-padalah menuruti arahan walaupun ditawarkan dengan wang ringgit ataupun umpan jawatan yang mampu mengelabui penglihatan mata kasar kita. Bukan saja hidup di dunia menjadi pelarian atau ditimpa hukuman, malahan di akhirat nanti habuan dan jawatan itu akan hanya menjadi api membahang menyiksa diri sendiri.
Banyak lagi kes-kes seumpama ini jika mahu dijadikan iktibar tetapi malangnya manusia lebih mudah tersungkur pada bayang daripada tuannya. Kerja tukang cuci tangan sememangnya mudah kerana mencuci tangan tanpa kesan darah mangsa. Tangan mereka yang melakukan pembunuhan itu walaupun sudah dicuci tetap dihantui dan diburu kematian kerana yang memberi arahan sudahpun selesai mencuci tangan yang tidak kotor.

Comments
Post a Comment