MERAKYATKAN PEMIMPIN


1. Agenda merakyatkan pemimpin perlu menjadi fokus utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika mahu kerajaan yang dipilih rakyat dalam PRU14 lalu mampu bertahan dan mengulangi kejayaan dalam PRU akan datang. Harus diingat bahawa kebencian rakyat terhadap pemimpin yang menyalahgunakan kedudukan dan mencuri khazanah negara masih belum padam dan ia mampu terbakar pada bila-bila masa sahaja.

2. Merakyatkan pemimpin penting kerana jika dibiarkan pemimpin didewa-dewakan atau diri sendiri mendewakan kerusi yang didudukinya, lambat laun, sikap pemimpin sebelum ini yang menggunakan kedudukan mereka sebagai posisi memunggah kekayaan negara ke kantung sendiri dan suku-sakat akan berulang.

3. Mereka juga akan mudah lupa diri dan idealisma yang diperjuangkan sebelum mendapat kuasa bergolek sendiri ke lubang jamban. Rakyat tak perlu didorong-dorong untuk menjadi pemimpin kerana terlebih penawaran dari permintaan. Yang patut dirakyatkan adalah pemimpin kerana berapa ramai sebenarnya pemimpin yang berjiwa rakyat.

4. Slogan dan gelaran pemimpin berjiwa rakyat selama ini digunakan kepada pemimpin tertentu tidak lebih dari usaha menjilat dan menjulang pemimpin agar menggigil-gigil kegelian pemimpin tersebut. Hanya dengan sekali makan digerai tepi jalan dikelilingi pengawal keselamatan, sekali turun melawat mangsa banjir, sekali pegang penyapu membersihkan laman masjid sudah dianggap pemimpin berjiwa rakyat.

5. Alangkah hipokritnya kita sehingga gagal membezakan antara lembu dengan kerbau dan beruk dengan monyet gara-gara ketagihan menjilat. Apabila pemimpin itu sudah dijangkiti penyakit syok sendiri dan terlajak perasan, akhirnya rakyat yang susah.

6. Rakyat harus peka dengan apa yang berlaku dan tidak membiarkan orang politik sahaja mencaturkan masa depan negara. Rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin yang baik. Kita pernah mendengar kata-kata bahawa dalam politik benar atau salah tidak penting. Apa yang penting ialah persepsi. Ada orang baik dilumurkan najis dan ada orang kotor direnjiskan pewangi. Natijahnya adalah, yang patut dipilih tidak dipilih, bangkai bernyawa dan badut sarkas yang memimpin negara.

7. Kata Warren Bennis, “Mitos yang paling berbahaya tentang kepemimpinan adalah kepercayaan bahwa pemimpin itu dilahirkan, bahwa ada faktor keturunan dalam kepemimpinan. Mitos ini menekankan bahwa ada orang yang memang memiliki karisma untuk menjadi pemimpin, sedangkan orang lain tidak. Itu tidak masuk akal. Yang benar justru sebaliknya. Pemimpin dibentuk, bukan dilahirkan.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?