SEJAUH MANA KEMAMPUAN PASUKAN PENGURUSAN KRISIS KITA?
Isu besar boleh menjadi kecil dan isu kecil boleh menjadi besar bergantung kepada kemampuan kita dalam menguruskan sesuatu isu tersebut.
Krisis boleh berlaku samada dari sudut ekonomi, politik, sosial, alam sekitar termasuk bencana alam ataupun melibatkan keselamatan negara seperti yang berlaku dalam insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada Februari 2013.
Jika krisis rumahtangga juga memerlukan perantara yang mahir untuk mencari solusi, apatah lagi krisis besar melibatkan keselamatan negara dan rakyat secara amnya.
Pastinya sebahagian dari rakyat di negara ini menyedari wujudnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun tidak ramai yang tahu atau memahami fungsi agensi yang memainkan peranan penting dalam mengurus isu-isu keselamatan negara.
Malah saya yakin dengan keadaan menteri-menteri kita ramai yang masih baru entah tahu entah tidak wujudnya Pasukan Pengurusan Krisis serta peranan MKN. Kejahilan mengenai fungsi MKN serta bidangkuasanya sudah pasti memberi impak yang tidak sedikit terhadap kelicinan menguruskan sesuatu isu melibatkan kepentingan awam dan juga keselamatan.
Bukan sahaja rakyat sedang memerhati kemampuan kerajaan dalam berdepan isu-isu besar seperti yang sedang dilalui negara ketika ini apabila berlaku rusuhan di kuil Seafield, USJ, negara luar juga pasti mengikuti proses mengendalikan insiden ini.
Pejabat perwakilan asing di negara ini pastinya mengikuti secara dekat keadaan keselamatan negara sepertimana juga pejabat perwakilan negara kita di negara luar melakukannya demi menentukan keselamatan rakyat masing-masing.
Timbul tanda-tanya sejauh manakah kemampuan pasukan keselamatan kita menguruskan krisis ini dengan lebih efisien. Itu belum lagi jika berlakunya rusuhan oleh banduan di penjara sepertimana berlaku di negara luar.
Paling membimbangkan adalah jika negara berdepan dengan rusuhan warga asing yang jumlahnya begitu membimbangkan.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini, dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah 'imigran haram'. Secara purata, ia bermakna jumlah imigran haram adalah 3 kali ganda jumlah yang memiliki permit kerja.
Bagaimana sekiranya sebaik sahaja mereka lakukan rusuhan sehingga melibatkan nyawa dan harta benda di negara ini, kemudiannya terus melarikan diri? Dari mana rekod untuk pihak berkuasa dapat kenalpasti?
Tidak mustahil di kalangan imigran ini samada yang memiliki permit kerja yang sah atau imigran haram terdiri daripada 'Fifth Column Element'.
Dalam dunia perisikan, wujudnya satu kelompok atau individu-individu yang memainkan peranan dalam penyaluran maklumat kepada musuh yang dikenali sebagai 'Fifth Column Element'. Bagi yang telah melalui proses pembelajaran berhubung kegiatan perisikan atau dunia perisikan, terminologi ini bukan sesuatu yang asing.
Menurut wikipedia, "A fifth column is any group of people who undermine a larger group such as a nation or a besieged city from within. The activities of a fifth column can be overt or clandestine. Forces gathered in secret can mobilize openly to assist an external attack. This term is also extended to organized actions by military personnel. Clandestine fifth column activities can involve acts of sabotage, disinformation, or espionage executed within defense lines by secret sympathizers with an external force."
Sekiranya difahami apa maksud yang ditakrifkan berhubung 'fifth column' ini, jelas menunjukkan bahawa sekumpulan orang yang digunakan bagi tujuan untuk melemahkan kumpulan besar atau negara yang akan diserang dari dalam. Kegiatan mereka secara terbuka dengan menggunakan kaedah rahsia untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan serangan dari pihak luar.
Mereka terdiri daripada kalangan yang bersimpati atau mendukung kuasa luar. Apakah kelompok seperti ini tidak ada di dalam negara kita? Daripada maklumat yang diperolehi, kejatuhan Iraq dan Libya juga didalangi oleh kelompok ini termasuklah apa yang dihadapi oleh Hamas dalam perjuangan menentang Zionis sehingga membawa kepada penangkapan 8 orang talibarut Zionis dan dijatuhkan hukuman mati.
Cuba kita sama-sama bayang dan renungkan apa yang berlaku dalam negara kita dalam konteks 'fifth column' ini. Dengan kehadiran begitu besar imigran samada secara haram atau halal, apakah angka ini tidak mencetuskan kebimbangan wujudnya kelompok 'fifth column'?
Daripada 6.7 juta imigran ini, apakah tidak mungkin 100 atau 200 orang yang menjadi talibarut dalam penyaluran maklumat kepada negara asal mereka? Apakah kita lupa dengan peristiwa 'konfrantasi' dengan negara jiran yang lebih dikenali dengan slogan 'Ganyang Malaysia'?
Menyingkap sejarah Ganyang Malaysia, pada 12 April 1963, sukarelawan perang dan para gerila Indonesia mula bertindak menyelinap masuk ke dalam sempadan Malaysia dengan menyerang Balai Polis Tebedu di Sarawak, yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada sempadan Indonesia.
Pada 29 Disember 1963, gerila perang Indonesia telah melancarkan serangan mengejut ke Pos tentera di Kalabakan, Tawau,Sabah. Pada 1964, gerila Indonesia mulai menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia dimana pada bulan Ogos, enam belas ejen bersenjata Indonesia ditangkap di Johor.
Walaupun kesemua serangan yang dilakukan itu berjaya dipatahkan, ianya meletakkan negara dalam situasi yang amat merbahaya. Peperangan biasanya akan mengakibatkan menang jadi arang kalah jadi abu ditambah dengan senjata zaman moden sekarang yang menggunakan senjata-senjata canggih dengan impak yang begitu dahsyat.
Rusuhan yang berlaku di persimpangan jalan Race Course dan Hempshire Road di daerah Litle India Singapura pada 8 Disember 2013 di mana melibatkan sekumpulan kira-kira 400 orang yang merosakkan lima kenderaan polis dan sebuah ambulans dan beberapa buah kenderaan persendirian turut dirosakkan termasuk 10 orang pegawai polis cedera berpunca daripada warga asing wajar dijadikan iktibar.
Sekiranya Pasukan Pengurusan Krisis kita mampu bertindak secara efisien, angka korban dan cedera samada melibatkan orang awam, pasukan keselamatan dan pasukan bantuan dapat diminimumkan. Jumlah kerugian harta benda serta potensi ianya merebak juga dapat dikawal sebaik mungkin.
Rakyat bukan penyibuk atau bersifat prejudis, tetapi sebagai manusia yang masih waras, mereka mengharapkan yang terbaik daripada pemerintah untuk menjamin keselamatan khalayak dan keamanan negara. Rakyat memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa bertindak terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan dan memulihkan keadaan seperti sediakala.
Akta MKN yang telah diluluskan dan membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran elok juga dilaksanakan jika cacing sudah naik ke mata.
Api yang berjaya dipadamkan bukan jaminan bara di bawah juga sudah tidak lagi berupaya memercikkan semula kebakaran. Rhoma Irama pernah menyebut, “Karena dari omongan bisa menimbulkan salah paham, Karena dari omongan bisa menimbulkan keributan, Lidah senjata utama bagi keselamatan anda, Pandai-pandailah menjaga lidahmu kala berbicara.”
Menteri Perpaduan nampaknya tidak berfungsi sebagai wakil kerajaan untuk membaiki kerosakan sebaliknya memilih untuk menjadi pemecah-belah. Menteri dan pemimpin kaum India dalam Pakatan Harapan nampaknya cuba mengaut keuntungan politik peribadi daripada menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu ini dengan licin dan pantas.
Ada macam tak ada, elok saja hentak kaki berlari dan keluar baris!

Comments
Post a Comment