SIDANG ROH


Kabinet telah memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, keputusan itu dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu.

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, terdapat 1,279 banduan yang sedang menunggu hukuman mati setakat 11 Oktober 2018. Ia merangkumi 710 warga Malaysia dan 569 warga asing, dan 1,136 lelaki dan 143 perempuan. Sejumlah 932 daripada mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 317 lagi kerana kesalahan bunuh.

Seramai 366 banduan sedang membuat rayuan dan 355 lagi menunggu pengampunan, yang mungkin diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan jawapan parlimen, dalam tempoh 1960 hingga 2011, sejumlah 51.7 peratus yang dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan penyeludupan dadah dan 17.7 peratus atas kesalahan bunuh. Sejumlah 33 banduan digantung sejak 2010 hingga 2018.

Maknanya, daripada jumlah ini, hukuman mati yang telah dijalankan sejak 1960 itu sudah tentulah termasuk juga Botak Chin, Kalimuthu, Mona Fendi dan ramai lagi yang dicatat dalam sejarah tanahair.

Tiba-tiba saya teringat sajak ditulis tokoh intelektual dan sasterawan Melayu arwah Dr. Kassim Ahmad pada 1960 berjudul Sidang Roh. Ingatan saya melonjak kerana tidak pasti samada ianya terlajak imaginasi atau halusinasi tentang nasib mereka yang telahpun menjalani hukuman mati sebelum ini.

Jika manusia yang masih hidup sering berdemonstrasi sebagai tanda protes atas ketidakpuasan hati atas sesuatu perkara, agaknya yang mati juga membantah ketidakadilan atas keputusan kabinet ini gara-gara mereka sudah pun menjalaninya sebelum keputusan baru ini.

Apakah Botak Chin, Kalimuthu dan Mona Fendi akan mengepalai demo besar-besaran bermula dari Dataran Merdeka menuju Istana Kehakiman di Putrajaya? Sidang Roh judul sajak arwah Dr. Kassim Ahmad nampaknya benar-benar berlaku jika ianya bukan mimpi atau ilusi.

Bayangkan larangan merokok yang menghabiskan wang perokok serta memberi impak buruk terhadap kesihatan termasuk fatwa haram Majlis Fatwa Kebangsaan pun diadakan protes, inikan pula nyawa yang sudah melayang.

Itu belum lagi protes pegawai penjara yang jawatannya khusus menggantung pesalah hingga mati hilang jawatan, tukang gali kubur, pembuat keranda, kenderaan bawa jenazah berbagai penganut agama juga hilang punca rezeki.

Apakah demonstrasi kali ini buat pertama kalinya menggabungkan orang sudah mati dan masih hidup bersama-sama menentang keputusan ini?

Dua baris terakhir puisi “Dialog” oleh arwah Dr. Kassim Ahmad yang ditulis pada 1958, “Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!” wajar menjadi renungan. Derhakalah jika ianya hanya derhaka kepada manusia lantaran ketidakadilan sedangkan derhaka kepada Maha Pencipta itu jauh lebih derhaka dari segala derhaka.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?