DARAH ANAK YAMAN BERLUMURAN DI TANGAN KITA


Hati majoriti rakyat negara ini sejak didedahkan mengenai penglibatan tentera kita di Yaman sejak April 2015 sememangnya begitu terluka lantaran negara terbabit tidak mempunyai apa-apa sengketa dengan kita. Apa kewajaran untuk kita turut terlibat dalam sengketa Arab Saudi dengan yaman ini?

Namun, alasan digunakan untuk membawa pulang rakyat kita di Yaman meredakan sedikit kebimbangan dan kemarahan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, pada Jun 2015, misi itu ditukar menjadi misi logistik yang dikenali sebagai Ops Yaman 2 dengan penglibatan 94 pegawai tentera mengikut Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Beliau turut mendedahkan bahawa kabinet tidak dimaklumkan berhubung penglibatan Malaysia dalam operasi ketenteraan membantu Pakatan Arab Saudi di Yaman.

Menurut Liew lagi, "Mereka membantu Pakatan Arab Saudi dari segi peralatan, peluru dan bahan letupan," dan beliau difahamkan bahawa Ops Yaman 2 tidak mendapat persetujuan kabinet. Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, dalam soalan tambahan, mengesahkan bahawa Ops Yaman 2 tidak dibangkitkan di dalam kabinet.

Sebelum penglibatan tentera Malaysia di Yaman pada April 2015 pun, angka korban pertempuran di Yaman sejak lewat Mac 2015 mencecah 1,000 orang, termasuk hampir 50 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
                                  

Memetik laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih 900 kanak-kanak terbunuh manakala 1,300 lagi cedera pada tahun 2015, kesan daripada konflik di Yaman. UNICEF mengesahkan lebih 1,560 insiden keganasan menyedihkan terhadap kanak-kanak berlaku di Yaman. Purata enam kanak-kanak terbunuh atau menjadi cacat setiap hari sejak Mac 2015, iaitu meningkat tujuh kali ganda berbanding 2014.
                                 

Dianggarkan seramai 21.2 juta orang iaitu 82 peratus daripada jumlah keseluruh penduduk terjejas akibat keganasan peperangan itu, mereka yang terjejas memerlukan bantuan kemanusiaan dan separuh daripadanya ialah kanak-kanak.
                             

Kita lebih rela bergelumang dengan dosa akibat dari tindakan bukan saja membiarkan kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi mangsa kezaliman pemerintah Arab Saudi, malah turut bersekutu dengan kezaliman dalam usaha membantu untuk menumpahkan darah, airmata dan keringat rakyat Yaman.
                               

Ketika Siam membiarkan Jepun masuk ke Tanah Melayu pada Disember 1941 pun kita merasa telah dikhianati, inikan pula menjadi sekutu membantu Arab Saudi membaham Yaman, apakah perasaan rakyat di sana?

Besar sangatkah kepentingan kita dengan Arab Saudi sehingga terpaksa melumurkan darah anak-anak Yaman, wanita dan orang tua di sana di tangan kita? Jangan hanya disebabkan untuk menonjolkan diri pemimpin negara di mata Raja Arab Saudi yang kini terpalit dengan skandal pembunuhan Jamal Khashoggi, nyawa dan kesengsaraan rakyat Yaman jadi taruhan.

Musibat-musibat bertopengkan pemimpin negara ini terlalu banyak melakukan kemungkaran kepada rakyat dengan menyembunyikan perbuatan dilaknati Allah swt dan kini satu persatu ianya terbongkar akibat daripada tumbangnya rejim kleptokrat pada 9 Mei lalu.

Selain penyelewengan wang dan khazanah negara yang dipunggah, banyak lagi bukti kerakusan pemimpin UMNO yang dilakukan demi kepentingan diri dan suku-sakat. Bayangkan jika BN terus berkuasa? Apakah semua kebejatan ini akan terungkai?

Tangisan airmata dan darah pun tidak mampu membersihkan bumi Yaman yang kini hancur gara-gara tindakan kejam dan tidak bertamadun Arab Saudi terhadap negara termiskin di dunia Arab tersebut. Sudah jatuh ditimpa tangga dan kita malah membantu menjatuhkan batu pelapik tiang ke atas rakyat negara itu.

Manusia atau dajjal yang sanggup melakukan tindakan seperti ini? Kata Martin Luther King, "Tragedi yang besar bukanlah penindasan dan kekejaman oleh orang-orang jahat tapi diamnya orang-orang baik akan hal tersebut."

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?