DI MANA PERANAN KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA



Petang tadi ketika mengemas kabin buku lokasi koleksi semua buku-buku saya, saya terjumpa semula makalah lama yang dicari-cari agak lama sejak kali pertama saya membacanya pada 11 Januari 2016. Makalah yang mengandungi kertas putih berjudul 'Niat Khianat Indonesia Terhadap Malaysia' diterbitkan Jabatan Penerangan Persekutuan Malaysia pada 23 April 1964 ini hadiah dari teman FB pada 11 Januari 2016 hari sama saya membacanya hingga usai. Terima kasih Tauzmie Bt Abu Bakar atas sumbangan pada saya kerana mungkin diketahui minat saya membuat koleksi buku-buku non-fiksi.

Membaca semula makalah ini membuat saya terkenang tentang peranan Jabatan Penerangan yang kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Saya tidak pernah berhenti menegur soal peranan Jabatan Penerangan yang menjadi sayap kerajaan untuk memberi penerangan kepada rakyat samada mengenai dasar-dasar kerajaan, pendirian kerajaan dalam sesuatu isu, langkah-langkah kerajaan dalam membantu rakyat dan pembangunan yang memanfaatkan rakyat negara ini.

Sejak sekian lama saya memperjuangkan pandangan ini setiap kali ada peluang untuk menyuarakannya. Daripada ketika saya di Cawangan Khas Daerah dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Daerah hinggalah menerajui Cawangan Khas Negeri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara peringkat negeri.

Tapi biasalah, orang yang sering bersuara akan dilihat sebagai 'batu ronson' dan ancaman kepada ular-ular sawa kenyang yang memegang jawatan penting di jabatan-jabatan tertentu. Kita akan dianggap punca jabatan mereka diberi persepsi buruk kerana rasa nyaman ular sawa berlingkar kekenyangan sudah digugat.

Mari kita sama-sama fikirkan di mana pejabat penerangan di daerah masing-masing. Di daerah Kubang Pasu lokasinya tersorok di belakang bangunan lama berhampiran perpustakaan Jitra. Sudahlah perpustakaan merupakan lokasi diamnya hantu dan jembalang kerana manusia amat takut dengan tempat banyak buku.

Di Perlis pun lokasinya tidak mudah diakses orang ramai dan tidak diketahui apa puncanya. Di tempat lain juga saya fikir berlaku perkara sama. Jika lokasi pejabat penerangan pun sukar dan tidak diketahui orang ramai, bagaimana mereka akan mendapat akses terhadap bahan-bahan diterbitkan jabatan tersebut?

Satu ketika dulu heboh kononnya masyarakat dikelirukan oleh parti-parti politik yang menjalankan propaganda kepartian dengan menyelewengkan berita melalui akhbar lidah rasmi parti. Walaupun dibeli, masyarakat tetap membelinya untuk mendapatkan berita yang mereka yakini.

Kenapa berlaku keadaan seperti ini? Jabatan penerangan sepatutnya menjadi benteng hadapan mempertahankan kerajaan dan menerangkan dasar-dasar kerajaan dan mematahkan hujah pembangkang dengan fakta meyakinkan. Sepertimana kertas putih yang saya sebutkan di atas, kertas putih Peristiwa Memali dan lain-lainnya juga patut disebar-luas kepada rakyat.

Kisah-kisah sebenar peristiwa yang menjadi peristiwa hitam seperti insiden 13 Mei 1969, Peristiwa Memali, Insiden Kampung Rawa 1998, Insiden Kampung Medan 2001, Peristiwa Al-Maunah, Insiden Lahad Datu, Kes Pemerdagangan Manusia di Wang Klian, Perlis dan banyak lagi sewajarnya diumumkan pada rakyat agar mereka mengetahui peristiwa sebenar dan puncanya agar tidak terperangkap dengan spekulasi 'nakal'.

Segala langkah kerajaan yang memanfaatkan rakyat juga perlu diterangkan kepada rakyat bukan menggelapkannya. Ini Jabatan Penerangan bukan Jabatan Penggelapan!

Jika mahu ianya lebih cepat diakses masyarakat, risalah dan makalah terbitan jabatan penerangan diedarkan di kaunter-kaunter penerangan pusat membeli belah, tempat-tempat kunjungan orang ramai dan apa juga saluran yang ada termasuk media sosial dan akhbar atas talian. Malah saluran TV milik kerajaan juga menjadi senjata kerajaan menjelaskan pendirian kerajaan dalam sesuatu isu. Jangan biarkan bahan bercetak terbitan jabatan penerangan hanya berakhir di lori suratkhabar lama atau membungkus nasi lemak. Rugi wang rakyat jika berlaku begitu.

Buktinya hari ini dalam Himpunan ICERD atau Himpunan 812 kebanyakan yang hadir jangankan mengetahui tujuan sebenar himpunan tersebut, ICERD pun tak tahu apa maknanya. Yang datang membantu menjelaskan makna ICERD apabila disoal wartawan Sin Chew Jit Poh pula ibarat bukan menyelamatkan orang lemas, malah merejam muka ke dalam air.

Jika kerajaan mengambil inisiatif awal menjelaskan secara terang dan mudah kepada rakyat, ianya tidak akan membuka peluang pihak berkepentingan memanipulasi isu ini. Ini termasuklah isu rusuhan kuil di Seafield, Subang Jaya yang dieksploitasi banyak pihak.

Banyak isu yang dijadikan senjata pihak yang sedang kelemasan minta nyawa untuk menyelamatkan diri dengan kuncu masing-masing daripada bermukim di sebalik tirai besi berpunca daripada kegagalan kerajaan untuk menjelaskannya dengan berkesan.

Tindak-tanduk menteri yang ada pula banyak yang menjadi boomerang berpatah balik kena muka sendiri.

Kata Jim Morrison, "Whoever controls the media, controls the mind." Ungkapan ini tidak asing bagi yang sering bercakap soal-soal berkaitan politik. Namun, berapa ramai yang menjadikannya sebagai asas untuk dimanfaatkan?

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?