NAJIB MENGABSAH DAN MENYEMPURNAKAN KATA-KATA IBNU KHALDUN
Saya beranggapan ramai yang mengetahui siapa Ibnu Khaldun dan tidak sedikit yang pernah mendengar tentang buku karya beliau berjudul al-Muqaddimah. Cuma saya kurang pasti berapa ramai yang sudah membaca buku tersebut samada dalam bahasa Inggeris, terjemahan Melayu dengan 6 bab oleh DBP atau bahasa asalnya. Atau setidak-tidaknya membaca sinopsis buku ini yang lebih mudah dan cepat dihabiskan.
Namun, berapa ramai yang sudah membaca walau apa juga bahasanya dan setidak-tidaknya sinopsisnya, apakah tidak terdetik untuk dijadikannya sebagai panduan dan iktibar bagi mengelakkan runtuhnya sesebuah empayar, dinasti atau kerajaan yang dibina dengan air mata, keringat dan darah oleh orang-orang terdahulu?
Dalam karyanya al-Muqaddimah ini, Ibnu Khaldūn turut menyentuh mengenai kitaran pemerintahan. Menurut Ibnu Khaldūn, pada peringkat pertama kelahiran sesebuah peradaban, iaitu sejurus selepas berlaku peralihan kuasa daripada tampuk pemerintahan sebelumnya, pemerintah menjadi contoh dan teladan kepada rakyat. Selain bersikap adil dan saksama dalam mempertahankan hak milik rakyatnya, pemerintah juga akan cuba menyesuaikan diri dengan sentimen dan kehendak rakyat serta berkongsi kuasa dengan mereka.
Hasilnya, semangat ‘aṣabiyyah yang telah diterjemahkan kepada beberapa istilah, seperti „semangat kekitaan‟, esprit de corps, social solidarity dan group feeling dalam kalangan rakyat sangat kuat pada peringkat ini. Pendek kata, wujud hubungan timbal balik yang harmoni antara pemerintah dan juga rakyat.
Selanjutnya, selepas melalui fasa pemerintahan yang adil dan saksama, berlaku perubahan terhadap pendekatan pemerintah dalam erti kata pemerintah berusaha untuk memonopoli kuasa dan menubuhkan kuasa mutlak mereka. Pemantauan rapi dilakukan agar tidak berlaku sebarang rampasan kuasa atau penglibatan diri dalam pemerintahan kerajaan daripada pihak musuh ataupun saudara mara sendiri. Pada peringkat ini, pemerintahan bercorak kuku besi mengambil tempat dan ternyata berjaya menewaskan musuh-musuhnya. Kekuatan semangat ‘asabiyyah pada peringkat ini mula mempamerkan tanda-tanda awal kegoyahan.
Menurut Ibnu Khaldūn, apabila pemerintah berjaya memonopoli kuasa dan dibelenggu dengan ketamakan terhadap kuasa, negara memasuki peringkat kemewahan dan kesenangan. Berikutan itu, pemerintah memperkenalkan sistem cukai bagi menampung perbelanjaan negara yang semakin meningkat. Pendapatan yang meningkat membolehkannya berbelanja dengan boros. Golongan pemerintah dan rakyat mula mengubah cara hidup kepada bermewah-mewah. Peringkat ini merupakan masa untuk memuaskan kehendak nafsu.
Pada peringkat seterusnya, Ibnu Khaldūn berpandangan pemerintah berpuas hati dengan apa-apa yang telah dibina oleh pemerintah terdahulu apabila negara atau peradaban memasuki fasa keamanan dan kedamaian. Beliau meniru gaya hidup pemerintah sebelumnya untuk menikmati kesenangan hidup, melupai perjuangan dan susah payah yang dilalui untuk menikmati keadaan damai tersebut. Pemerintah juga berpuas hati dengan apa yang telah dicapai dan percaya bahawa kemewahan hidup dan peradaban yang terbentuk tanpa memerlukan usaha yang gigih.
Namun apabila kemewahan sampai ke peringkat kemuncak, menurut Ibnu Khaldūn akan berlaku pembaziran dan pemborosan. Hasil mahsul negara digunakan untuk tujuan keseronokan dan hiburan. Senario ini akan merosakkan masyarakat, melemahkan fizikal dan mengakibatkan keruntuhan moral. Keadaan ini bertambah buruk apabila pemerintahan kerajaan dikendalikan oleh para pegawai yang tidak berkebolehan dan berkeperibadian buruk.
Para pengikut pemerintah sebelumnya yang berkelayakan dipinggirkan daripada tampuk pemerintahan. Tindakan ini mengakibatkan timbul perasaan benci dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat serta mendorong mereka untuk tidak memberikan sokongan kepada pemerintah yang baru.
Pada peringkat ini pemerintah juga sering mengabaikan hal ehwal pentadbiran negara, mengenakan cukai yang melampaui batas dan tidak membayar gaji kepada golongan tentera. Semangat ‘aṣabiyyah yang dipupuk pada peringkat awal telah hilang peranannya. Pada peringkat ini, sesebuah peradaban dilanda penyakit yang begitu kronik dan tidak dapat dirawati lagi.
Lantas, peradaban menjadi mangsa keganasan dalaman dan luaran. Kemusnahan melanda peradaban tersebut dan akan digantikan dengan sebuah peradaban baru.
Ibnu Khaldūn mengetengahkan idea bahawa sesebuah pemerintahan atau peradaban tidak akan runtuh atau mati secara mengejut, bahkan proses berkenaan akan berlaku secara beransur-ansur. Dengan kata lain, sesebuah negara secara semula jadi membawa bersama-samanya benih-benih kemusnahan sendiri semenjak detik awal kelahirannya.
Membaca catatan Ibnu Khaldun tentang kitaran pemerintahan ini, cuba sama-sama kita imbau kembali zaman sejak mula-mula negara mencapai kemerdekaan sehinggalah akhirnya Barisan Nasional (BN) yang dulunya dinamakan PERIKATAN ditunjangi UMNO daripada meniarap, merangkak, dapat berjalan dan kemudian berlari akhirnya jatuh tersungkur menyembah bumi sepertimana kitaran disebut oleh Ibnu Khaldun.
Sejarah sentiasa berulang sejak zaman awal pemerintahan Empayar Mughal, Empayar Perancis Pertama Pimpinan Napoleon Bonaparte, Empayar Jepun, Empayar Nazi, Empayar Ming, Empayar Othmaniyyah, Soviet Union, Empayar Portugis, Empayar Majapahit, Kesultanan Melayu Melaka dan lain-lain lagi.
Najib Tun Razak ternyata mencatat sejarah baru dengan mengabsah dan melengkapkan kitaran pemerintahan seperti yang disebut Ibnu Khaldun hingga tersungkur walaupun BN selesa memerintah selama 61 tahun. Syabas dan setinggi tahniah buat Wira Negara Pahlawan Bugis berketurunan dari keluarga di raja Kabupaten Gowa di Sulawesi selatan bergelar “Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone” yang menjadikan beliau “Pahlawan Gowa”.
Jika orang lain bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian tetapi Najib memilih untuk bersenang-senang dahulu dan kemudiannya yang susah adalah rakyat seluruhnya bukan dia. Sebaiknya Najib membaca karya Pramoedya Ananta Toer dalam Bumi Manusia yang menyebut, “Semakin tinggi sekolah bukan berarti semakin menghabiskan makanan orang lain. Harus semakin mengenal batas.”

Comments
Post a Comment