PEKERJA ASINGKAH YANG SALAH?


Jika kita fikir dan membuat sedikit kajian mengenai kehadiran pekerja asing yang begitu ramai di negara kita, pastinya kita bimbang dan kecewa dengan apa yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang.

Lantaran itu, banyak pihak termasuk masyarakat di sekeliling kita menyuarakan kebimbangan berhubung perkara ini. Di media sosial tidak sedikit suara-suara yang meminta campurtangan kerajaan untuk membendung masalah ini.

Kadang-kadang agak melucukan apabila kita meminta kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sedangkan puncanya juga dari pihak kerajaan sendiri. Patut disoal syarikat yang dimiliki oleh siapa yang membawa masuk pekerja asing ini kalau bukan saudara mara menteri?

Sebenarnya, kitalah yang membuka peluang untuk menteri dan penyamun-penyamun berlesen ini untuk mendapat hak membawa masuk pekerja asing ini. Alasannya mudah! Kerja-kerja yang ada di negara ini tidak ada orang yang mahu lakukannya dan ia ternyata memang benar.

Sebelum ini saya sering ke Thailand, ke Indonesia dan di sana begitu sukar melihat pekerja asing yang bekerja di sana kecuali pelancong. Ohhh! Alasannya negara-negara ini mundur maka warganya tidak punya pekerjaan dan mampu melakukannya sendiri. Bagaimana dengan warga kita yang terus menganggur dengan jumlah begitu besar? Sehingga April 2018, jumlah mereka yang tidak bekerja termasuk pesara, suri rumah, pelajar dan mereka yang tidak minat bekerja adalah 7.13 juta orang iaitu lebih kurang 31.6% daripada jumlah penduduk negara ini.

Jika alasan Thailand dan Indonesia lebih mundur dari negara kita walaupun hakikat sebenar mereka sudah setara dan ada bidang yang jauh meninggalkan kita, bagaimana dengan Jepun? Apakah Jepun mundur dan lebih jauh ketinggalan berbanding Malaysia?

Ketika saya mengiringi Tun Abdullah Badawi tugas keselamatan ke atas YAB Perdana Menteri ketika itu ke Tokyo dan Osaka, saya tidak dapat melihat pekerja asing di sana. Sempat saya bertanya beberapa orang di sana, katanya orang asing yang dibenarkan bekerja hanyalah pekerja mahir bukan buruh kontrak dan perladangan seperti di sini.

Di negara kita hinggakan lesen perniagaan dan tender projek binaan pun dialibabakan kepada warga asing. Tak percaya? Sila tinjau arked niaga Wang Kelian dan Padang Besar Perlis. Hampir 90% adalah warga Thailand. Itu belum lagi kedai-kedai makanan ala Thai yang tumbuh kalahkan lalang di negara ini.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini, dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah 'imigran haram'.

Bayangkan berapa banyak masalah datangnya dari jumlah pekerja asing yang begitu besar ini. Dari Januari hingga September 2014, RM23.07 bilion dikirim ke negara asal mereka dala 113 juta transaksi. Bahaya atau tidak kepada ekonomi negara? Ini belum lagi masalah penyakit yang dibawa, masalah sosial dan jenayah.

Salah pekerja asingkah semua masalah ini?

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?