PEMIMPIN
Setiap pemimpin yang dilantik atau dipilih jangan sesekali sombong, takbur dan lupa diri. Apapun kedudukan kamu, semuanya hanyalah dipinjamkan sementara untuk diuji oleh Allah swt. Jawatan dan kedudukan seseorang pemimpin itu adalah amanah yang amat berat dan akan dipersoalkan nanti di hari akhirat.
Menurut Dr. Kassim Ahmad dalam bukunya ‘Esei-Esei Politik’ dalam bab 22 berjudul ‘Memilih Pemimpin’ di halaman 121, “Seorang pemimpin atau wakil yang telah kita pilih boleh berubah, atau para pemilih boleh tersilap waktu memilihnya kerana propaganda, suasana fitnah, janji-janji manis dan sebagainya waktu berkempen. Dalam keadaan-keadaan ini, bagaimanakah masyarakat boleh membetulkan kesilapannya? Itulah caranya yang utama iaitu melalui kritikan saintifik: kritikan dalam mesyuarat agung parti yang diadakan setiap tahun, kritikan dalam mesyuarat jawatankuasa yang diadakan setiap bulan, kritikan melalui surat atau dalam media pada bila-bila masa. Kritikan saintifik ini amat berkesan, walaupun kurang sekali digunakan dalam masyarakat kita. Yang kerap berlaku dalam masyarakat kita, malangnya, fitnah yang memang amat merbahaya dan telahpun menyebabkan banyak kerosakan kepada masyarakat kita .
Pemimpin tidak boleh wujud tanpa rakyat, kerana rakyatlah yang meletakkan mereka di tempat pimpinan itu. Kuasa dalam masyarakat terletak pada rakyat melalui Tuhan; oleh itu kuasa pimpinan itu tidak mutlak, tapi bergantung kepada rakyat. Sebab itulah hubungan antara rakyat dan pemimpin itu timbal balik atau dua hala. Jika hubungan ini tidak dipedulikan, maka kacau bilau akan berlaku dalam masyarakat.”
Kuasa dan kedudukan yang dipinjamkan itu bukan milik kamu, tapi amanah untuk melihat sejauh mana kamu jujur menjalankan tanggungjawab yang diharapkan oleh rakyat dilaksanakan demi kemaslahatan mereka bukan diri kamu, keluarga atau suku-sakat.
Malangnya, kritikan daripada rakyat atau orang disekeliling dianggap ancaman dan sesuatu yang perlu diambil tindakan menyahkan pengkritik. Pemimpin jenis ini adalah pemimpin paling tidak berguna dan tidak layak bukan saja diangkat sebagai pemimpin, malah menjamah gaji dan elaun yang ditanggung rakyat.
Sedarlah wahai pemimpin! Makan-minum dan apa yang kamu belanjakan semuanya itu adalah hasil keringat dan airmata rakyat.

Comments
Post a Comment