CAMERON HIGHLAND TIDAK SEDINGIN YANG DIJANGKA
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sudah diumumkan dan umum mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi tradisinya itu apabila calonnya Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238 selepas meraih 12,038 undi keseluruhan.
Sementara itu calon Pakatan Harapan (PH) yang tewas M Manogaran meraih 8,800 undi dan dua calon BEBAS, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing mendapat 276 dan 314 undi.
Ia merupakan kemenangan pertama buat BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sementara Ramli mencatat sejarah sebagai Orang Asli pertama menjadi ahli parlimen;
Daripada pengalaman saya yang lalu samada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK, elemen utama menjadi penanda aras kemenangan calon dan sesebuah parti adalah mood pengundi. Mood pengundi semestinya berkait rapat dengan sentimen pengundi di kawasan berlakunya pilihanraya samada PRU atau PRK.
Elemen yang begitu penting inilah yang saya amati gagal ditimang dan dibelai calon dan juga PH sejak awal lagi. Sementelah mengenali ‘trait’ Orang Asli yang terkenal amat sensitif serta ketaatan kepada ketua yang gagal diberi perhatian oleh PH khususnya keceluparan calon PH M Manogaran.
Komen Manogaran kepada Malaysiakini yang dihembus ke telinga pengundi Orang Asli oleh UMNO dan PAS tanpa henti cukup berkesan. Apakah komen beliau ini boleh diterima, "Ikut perkiraan BN, mereka fikir... Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli. Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?' Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,"?
Sementara itu, YB Senator dari Orang Asli sendiri turut menuang cuka di luka yang sudah ada dengan berkata, "Kalau tak undi Pakatan Harapan, kita buang. Mana-mana Batin yang tak sokong kita, kita takkan bagi gaji. Ini betul!"
Sebab itulah saya tegaskan di sini soal sentimen langsung tidak diambil berat oleh PH terutamanya calon. Saya tidak pasti siapa pengarah pilihanraya PH di Cameron Highlands dan apa yang saya dapat simpulkan adalah beliau seorang yang tidak berpengalaman dan amat lemah dalam merangka strategi dan taktik berdepan PRK kali ini.
PH harus faham bahawa Orang Asli tidak peduli siapa kamu sekalipun hatta Perdana Menteri. Bagi yang pernah bertugas dalam pasukan keselamatan samada di dalam Pasukan Polis Hutan (kini PGA) ataupun tentera cukup faham ketaatan Orang Asli kepada ketua mereka.
Ketika saya bertugas di dalam Pasukan Polis Hutan dahulu, apabila masuk ke kem Senoi Praq samada di Pengkalan Hulu atau Bidor, kita akan rasa kelainan dengan pengawal di pintu masuk kem. Mereka tidak peduli apa pangkat kamu yang masuk ke sana dan tabik mereka khusus untuk ketua mereka walaupun hanya satu ‘paku’. Lain dari ketuanya, berbintang dan berkeris bersilang tak dipedulikannya.
Oleh itu, jangan main-main dengan Tok Batin mereka dan calon BN yang berumur 61 tahun itu adalah suku Semai dari Kuala Menson, Ringlet. Bapanya daripada suku Semai dari Cameron Highland dan ibunya suku Temiar dari Gua Musang, Kelantan yang tinggal di penempatan Orang Asli di Gombak, Selangor.
Maknanya, beliau sudah dianggap mewakili seluruh orang asli dan ketua yang akan mewakili suara mereka. Menghina dan mengecam beliau diibaratkan mengecam seluruh orang asli.
Melihat kepada komposisi kaum dan etnik pengundi di P.78 Cameron Highlands dan apa yang berlaku sebelum dan semasa berkempen di sana, jelas PH mempunyai peluang tipis untuk menang dan peluang ternganga luas untuk kalah dek keceluparan calon dan juak-juak PH yang konon membantu kempen di sana. Mereka bukan berkempen untuk menang tetapi berkempen untuk kalah melihat kepada gelagat dan perangai masing-masing.
Selfie sana-sini, tayang kereta itu dan ini, makan hebat-hebat dan semua itu bukan ramuan kemenangan PH sebaliknnya hanya memberikan peluru kepada musuh untuk menembak tepat di dahi calon dan parti. Masih jelas terpahat dalam ingatan saya PRK DUN Anak Bukit dan parlimen Pendang serentak yang diadakan pada 18 Julai 2002 berikutan kematian Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS pada 23 Jun 2002. Bagi DUN Anak Bukit calon PAS Amiruddin Hamzah kini Timbalan Menteri Kewangan bertanding menentang bekas exco negeri, Datuk Zakaria Said.
Pengalaman dalam PRK ini banyak mengajar saya dari sudut analisa peluang kemenangan sesebuah parti dan calon. Perkara dibolehkan dan tidak dibolehkan dalam pilihanraya khususnya PRK. Dalam PRK ini jugalah berlakunya insiden paling tersohor ‘kes selak kain’ oleh Abe Jak yang didakwa selak kain kepada puteri UMNO Kuala Kedah. Nyaris-nyaris markas puteri UMNO diserbu pemimpin dan ahli PAS akibat marah dengan insiden selak kain ini. Nasib baik nasihat saya pada pemimpin PAS itu dipatuhi dan tidak berlaku serangan ke atas markas Puteri UMNO di Taman Berlian, Anaka Bukit ketika itu.
Isteri pemimpin UMNO bahagian yang ‘gedik’ dan galak ke sana sini bermotosikal kuasa tinggi dan pikap dengan speaker lagu hip-hop masuk ke kampung-kampung konon berkempen untuk UMNO menambah benci pengundi dan masyarakat di situ walaupun agak comel dan seksi. Nasihat dan teguran tak diendahkan dan akhirnya apabila Pak Lah selaku TPM ketika itu tiba di Dewan Anak Bukit bersama Kak Jat (Shahrizat Jalil mantan Ketua Wanita UMNO) untuk pengumuman keputusan merah padam muka apabila diumumkan calon BN tewas kepada calon PAS. Difahamkan beliau diberitahu BN menang di Anak Bukit dan disebabkan itulah beliau hadir di sana.
Jentera kempen UMNO berkampung di Hotel Holiday Villa dengan gah dan mewah dan orang-orang PAS berkampung di rumah-rumah pengundi di Anak Bukit. Gambar jentera kempen UMNO bermewah-mewah di hotel ditunjukkan kepada pengundi di situ tanpa perlu bersusah payah berkempen. Inilah sikap UMNO yang kini diwarisi oleh PH untuk menambah rasa loya dan meluat rakyat.
Sebagai perbandingan, jumlah masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan di Parlimen Cameron Highlands, pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus.
Jumlah 22 peratus dari 32,048 lebih kurang 7,050 orang dan dalam PRK ini calon BN menang dengan majoriti 3,238. Maknanya jika semua orang asli memberi undi pada calon BN yang juga orang asli, beliau hanya memerlukan 4,988 undi sahaja untuk mendapat jumlah 12,038 seperti diperolehinya. Jumlah pengundi Melayu 10, 896 dan ini menunjukkan bahawa calon BN hanya perlu mendapatkan 50 peratus undi Melayu untuk kedudukan ini. Undi Cina dan India mereka tak kisah dan itulah sebabnya kempen perkauman ligat berputar dimainkan UMNO dan PAS. Malah untuk BN menang tipis, tak perlu 40 peratus dan apakah gandingan PAS dan UMNO yang memainkan sentimen Melayu dan Islam siang dan malam sepanjang kempen PRK ini tidak mampu lakukannya?
Dengan status kawasan tradisi BN di Cameron Highlands ini, kemenangan ini sudah dijangka dan tidak mengejutkan langsung malah ditambah dengan hiruk-pikuk dan sikap serta gelagat jentera kempen yang tidak dilihat memberi manfaat kepada PH. Calon yang diletakkan pula bermulut longkang berkarat penuh taik berzaman tak dicuci. Dengan jumlah pengundi India hanya 14 peratus apakah PH mampu memujuk pengundi Melayu untuk mengundi beliau?
Tak dapat dinafikan bahawa pilihanraya di Malaysia masih tebal dan pekat dengan sentimen kaum dan pemilihan calon ini dalam PRK Cameron Highlands ternyata keputusan paling tidak tepat serta menempah maut. Khabar angin bertiup kencang sejak awal bahawa ahli dan penyokong PH berbangsa Melayu sendiri sudah bulat tekad mereka tidak akan mengundi PH kerana faktor calon bukan Melayu.
Suka atau tidak, itulah persepsi dan rentak rakyat negara ini yang perlu dituruti jika ingin menang. Walaupun rakyat tahu bahawa UMNO tidak ikhlas membela Orang Asli kerana jika ikhlas kenapa selepas 61 tahun baru calon Orang Asli diletakkan di sana? Terimalah dengan hati terbuka bahawa beberapa tindakan kerajaan, pemimpin terutamanya juak-juak di sekeliling pemimpin khususnya menteri selepas menang PRU14 menjadikan rakyat meloya dan benci.
Manifesto tidak penting bagi rakyat tetapi janganlah skrip lama pemimpin UMNO diulang setiap kali menjustifikasikan kenaikan harga barang, cukai itu dan ini, kenaikan harga bahanapi, serta masalah kos sara hidup yang gagal ditangani.
Kami yang tidak berparti hanya menyatakan pandangan dan menjadi penyambung lidah rakyat untuk kerajaan jika mahu mendengar. Terpulanglah pada kerajaan dan PH samada melabel kami pengkhianat atau musuh kerajaan kerana sejak zaman BN pun sudah digelar ‘enemy of the state’. Sememangnya ubat dan penawar tidak pernah mengaku ianya manis dan berperisa coklat.
Sepenggal tidak lama dan hasrat rakyat melihat penyamun-penyamun negara diheret ke belakang jeriji penjara Sungai Buluh akan berkecai jika PH akhirnya kembali menjadi pembangkang.
Apapun, ukuran sebenar sokongan terhadap kerajaan diterajui PH akan dapat dibuktikan dalam PRK DUN Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac depan. PH khususnya BERSATU perlu merawat penyakit yang dijangkiti di Cameron Highlands secepat mungkin jika ingin menang kali ini.
Dengan jumlah pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut yang mengandungi 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, pengundi awal (951), pengundi tidak hadir luar negara (32) serta Melayu 56 peratus, Cina 25 peratus, India 17 peratus dan lain-lain 2 peratus, gelanggang kali ini lebih sesuai untuk menyuntik semula penawar penyakit malaria dan cirit-birit akibat banyak minum air sejuk di P.78.
Ingat, walaupun sudah bergelar Wakil Rakyat, kamu tetap RAKYAT bukan mantan RAKYAT. Sebagai RAKYAT, utamakanlah RAKYAT bukan berlagak seperti bos RAKYAT.
Kenalilah satu KEKALAHAN, agar kau rasa MANISnya setiap KEMENANGAN.. Dan Jangan kau hanya kenali KEMENANGAN, agar kau tak terasa PAHITnya satu KEKALAHAN.
Selamat Malam.

Comments
Post a Comment