Cameron Highlands Pasca PRK
1. Pengundi di parlimen Cameron Highlands dah tunjukkan apa yang mereka mahu dan bagi yang menang tunaikan janji-janji kamu dan yang kalah perbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang dikesan.
2. Tak ada gunanya kembang pungkoq bangga dengan kemenangan dan sia-sia jika yang kalah menuding jari sana-sini. Baik BN mahupun PH tidak hebat manapun kalah atau menang kerana BN berjaya kekalkan kerusi milik mereka dalam PRU14 dan PH kekal dengan status quo.
3. Yang pasti untung adalah Ramli calon Orang Asli yang berjaya menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands kerana selain mendapat pencen pegawai polis, dalam tempoh 4 tahun ini juga dapat gabus gaji dan elaun Ahli Parlimen.
4. Apalah sangat yang beliau dapat lakukan membantu Orang Asli samada di Cameron Highlands dan seluruh negara. Bukti selama ini menunjukkan orang politik sendiri yang terjun dalam sebuah parti politik menjadi wakil rakyat tidak banyak yang dilakukan selain membesarkan tembolok dan menambah angka dalam akaun bank masing-masing.
5. Apatah lagi Ramli yang tiba-tiba menjadi penerjun papan anjal ke Cameron Highlands atas tiket UMNO. Siapa yang mampu mengubah budaya dan amalan dalam sesebuah parti politik? Alangkan Anwar yang begitu gah berjanji untuk mengubah UMNO dari dalam kepada sahabat-sahabatnya sebelum menyertai UMNO termasuk arwah Ust. fadzil Noor dalam ABIM dan rakan dalam PAS pun kecundang. Bukan Anwar berjaya mengubah UMNO sebaliknya UMNO mengubah Anwar.
6. Inikan pula Ramli yang dulunya di dalam PDRM pun tidak apa yang jelas berjaya diubahnya samada soal korupsi, integriti, komitmen pegawai dan anggota dan segala rencam di dalam organisasi ulung pasukan keselamatan ini.
7. Sudah begitu banyak PRK berlaku samada di era BN memerintah dan kini disambung oleh PH tidak menunjukkan janji PRK berjaya dilunaskan.
8. PRK Teluk Intan 2014 diadakan pada 31 Mei 2014 setelah kematian penyandangnya Seah Leong Peng dari parti DAP pada 1 Mei 2014 dan dimenangi calon BN Datuk Mah Siew Keong ditentang Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding atas tiket DAP. Mana janji kepada pengundi parlimen Teluk Intan? Mana janji internet kelajuan tinggi selain bau busuk pembohongan sehingga kini berbau hanyir.
9. PRK Rompin 2015 diadakan pada 5 Mei 2015 setelah kematian Ahli Parlimennya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam kemalangan helikopter Semenyih 2015 yang diwakili pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin. Apa perubahan yang dibawa beliau?
10. PRK Kuala Kangsar dimenangi calon BN Datin Mastura dan Sungai Besar dimenangi Budiman Zohdi yang diadakan pada 18 Jun 2016 apa perubahan dibawa mereka kecuali merenggut habuan sebagai Ahli Parlimen?
11. PRK Kajang 2014 diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi N25 Kajang DUN Selangor pada 23 Mac 2014 dimenangi Wan Azizah yang kini TPM dan suaminya Anwar Ibrahim mantan TPM memenangi PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018 setelah dikosongkan penyandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar. Tunjukkan apa yang telah mereka lakukan kepada pengundi kawasan masing-masing sepertimana janji mereka jika menang PRK tersebut.
12. Pilihanraya samada PRK atau PRU hanyalah proses mendapatkan kuasa melalui peti undi dan manfaatnya tidak perlu dinafikan hanya berlegar disekeliling yang menang. Oleh itu, kenapa kita yang kalah pun tidak, menang jauh sekali ini perlu senget hidung dan telinga, sepet mata dan meleleh air liur bertekak mempertahankan mereka?
13. Oleh kerana itulah, fungsi kita sebagai rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berintegriti, mengutamakan kepentingan rakyat dan menjaga kebajikan seluruh rakyat tanpa diskriminasi kaum, gender, agama, umur dan status sosial bukannya terus menjulang dan mengampu pemimpin serta parti politik.
14. Sebaliknya kita harus terus menegur dan mengkritik salah-silap dan tidak perlu memuji berlebihan kerana apa yang mereka lakukan untuk rakyat sememangnya tanggungjawab mereka dengan upah dan habuan yang cukup besar.
15. Kerajaan tidak boleh menolak suara yang berbeza kerana mereka berhak untuk menyatakan pandangan mereka jika mahu kekal relevan.
16. Kata Abraham Lincoln, "Undi lebih kuat dari peluru" maka jangan pula hanya menjadi peluru kapur. Ahli-ahli politik itu tidak ubah seperti lampin, mereka perlu selalu diganti untuk menjaga kebersihan.
Selamat Malam

Comments
Post a Comment