BOHONG


Bohong bukan soal main-main kerana ianya cerminan integriti dan kredibiliti seseorang. Apa lagi jika ianya seorang pemimpin. Ketika saya bertugas di Perlis dahulu, Ketua Pemuda Perlis pernah membuat laporan polis terhadap MB Perlis kerana didakwa berbohong mengenai PhD yang dimiliki.

Saya sempat membuat sedikit siasatan dan ternyata apa yang didakwa itu punya merit kerana Universiti yang dikatakan institusi MB Perlis tersebut belajar pun didapati meragukan serta tidak menawarkan bidang serta PhD.

Bukan beliau saja, malah ramai pemimpin politik yang bergelar Doktor Falsafah itu sebenarnya Doktor Sampah. Saya agak sedikit cemburu dan kecewa bukan kerana gelaran itu, tetapi membayangkan betapa sukarnya saya bergelut untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dan sarjana sehingga melangkah setapak lagi untuk bergelar Doktor Falsafah walaupun akhirnya menyerah kalah setelah berbagai masalah timbul selepas itu.

Tetapi, mereka ini dengan mudah mendapat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah tanpa memerlukan keringat dan pengorbanan yang besar. Ada juga yang berbisik pada saya, "susah-susah bayar saja ters dapat PhD tu!". Itu bukan cara dan prinsip saya. Ilmu perlu diteroka dan digali untuk diperolehi bukan dibeli.

Orang tidak marah jika seseorang itu cuma lepasan SRP, SPM atau STP malah lepasan Sekolah Dasar. Yang orang marah dan menyampah adalah berbohong.

Sebagai orang Islam yang kononnya berpegang teguh pada kejujuran, soal 'qualification' tidak mencerminkan kewibawaan seseorang kerana Nabi Muhammad saw sendiri buta huruf dan tidak bersekolah tetapi baginda amat pintar dan wibawanya luarbiasa.

Boon Siew, Lim Goh Tong dan banyak lagi jutawan dan hartawan tidak punya kualifikasi tinggi namun mereka lebih berjaya dari yang memilikinya. Jadi! Jangan Malu Bossku!

Saya pernah menulis kisah pemimpin dijatuhkan kerana berbohong. Bohong bukan saja berdosa dalam agama, malah dari sudut moral ianya adalah sesuatu yang hina. Kenapa Bill Clinton Mantan Presiden Amerika terpaksa meletak jawatan dalam skandal seks yang disebut sebagai 'Skandal Lewinsky atau "Monicagate"'?

Bukan kerana isu skandal seks tersebut, tetapi lebih kepada berbohong. Monica Samille Lewinsky merupakan wanita Amerika Syarikat yang menjadi terkenal akibat skandal ini pada tahun 1997 dan bekerja di White House ketika Clinton menjadi presiden. Akibat daripada hubungan seksual yang kemudiannya terbongkar dan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Clinton, kes ini telah dibawa ke muka pengadilan yang akhirnya menyebabkan tuntutan pemecatan atas Bill Clinton dengan tuduhan berbohong di dalam keterangan di bawah sumpah dan menghalang proses pengadilan skandal ini.

Clinton yang mendapat tekanan dari Kenneth Starr pada 19 Ogos 1998 dengan adanya bahan bukti dari Lewinsky berupa baju biru dengan titisan sperma terpaksa akur dan mengaku bahwa ia membohongi rakyat Amerika dan mempunyai hubungan yang tak sepatutnya dengan Lewinsky sehingga membawa kepada perletakan jawatannya.

Salah seorang ahli falsafah berkata, “Jika kejelekan – kejelekan adalah sebuah rumah, maka pembohongan adalah kuncinya". Pembohongan-pembohongan yang dilakukan ini adalah akibat dari amalan 'politik simalakama' demi mempertahan dan terus memeluk kuasa yang ada. Banyak lagi contoh-contoh yang memberi gambaran betapa apa yang berada di sekeliling kita tidak lebih kepada jelmaan buah simalakama dalam tindak-tanduk seharian.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan kerajaan yang berwibawa tidak akan membenarkan anggota yang memiliki sijil palsu atau sijil beli menjadi sebahagian daripada anggota kepimpinan mereka.

Tegas Dr. Mohd. Asri individu yang tidak jujur mengenai pemilikan sijil yang mereka miliki merupakan lambang tidak amanah yang ada dalam diri mereka.

Justeru menurut beliau sekiranya ada kerajaan yang melantik individu memiliki sijil palsu atau sijil beli bermakna pemerintah tersebut tidak tidak begitu mengambil berat soal integriti.

Rakyat terpaksa celik politik bagi mengelakkan tertipu dengan politik simalakama dan menjadi hakim yang akan memuktamadkan bahawa politik bukan soal main-main. Politik adalah wadah yang harus dijenamakan semula dengan jenama bersih bukan lagi dikaitkan dengan 'politik itu kotor'. Jangan hanya menganggap pemimpin yang mencuri atau merogol saja perlu diterajang dari persada politik negara, tetapi juga pembohong kerana kata pepatah, "Siakap Sinohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-Lama Mencuri."

Yang kotor bukan politik tetapi pemain-pemainnya. Kata Oscar Ameringer, "Politik adalah seni halus mendapatkan suara dari orang miskin dan dana kempennya datang dari orang kaya dengan menjanjikan melindungi satu dari yang lain". Maka berhati-hatilah kita sebagai manusia yang berakal.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?