FOURTH ESTATE


Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, tiga estet atau pilar kepada sebuah negara bagi memandu dan mengawal perjalanan pemerintahan negara merupakan legislatif, kehakiman dan eksekutif. Banyak pihak yang membincangkan soal ini khususnya dari sudut pengasingan kuasa iaitu doktrin politik yang dicipta oleh ahli pemikir Perancis bernama Baron de Montesquieu.

Namun demikian, sejauh manakah ketiga-tiga estet yang menunjangi pemerintahan negara ini berjaya mengawal, mengurus dengan berkesan dan menentukan ia memanfaatkan rakyat dan negara. Sudah begitu banyak contoh sebelum ini menunjukkan selain berlakunya pertindihan kuasa, lebih membimbangkan adalah penyalahgunaan kuasa oleh ketiga-tiga cabang ini khususnya eksekutif.

Maka dari sinilah muncul idea penulis satira Scotland era Victoria, Thomas Carlyle (1795-1881) orang pertama yang mula merujuk istilah fourth estate sebagai pewarta, pemberita, wartawan dan orang media. Carlyle dalam bukunya On Heroes and Hero Warship mencatat: ‘‘Ahli politik British Edmond Burke berkata, terdapat Tiga Estet dalam Parlimen ini, tapi nun di sana di tempat duduk pemberita itu ialah Fourth Estate - kumpulan lebih penting, jauh lebih penting daripada kalian semua.”

Fourth Estate yang merujuk kepada media diletakkan dalam satu estet tersendiri. Hari ini estet keempat itu berada dalam doktrin kekuasaan bersama-sama, estet pertama, eksekutif (perdana menteri dan menteri-menteri); estet kedua, legislatif (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN); dan estet ketiga, badan kehakiman.

Fourth Estate (Estet Keempat) merupakan hirarki keempat dalam sistem kuasa sesebuah negara. Tidak ramai yang tahu magnitud kekuasaan yang ada pada media. Contoh yang lebih jelas dapat dilihat bagaimana besarnya pengaruh Fourth Estate ini sehingga berjaya menumbangkan sebuah kerajaan yang korap serta penuh dengan penyelewengan serta salah guna kuasa dalam PRU14 yang lalu.

Memang benar ketokohan dan kewibawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad serta strategi ampuh direncanakan beliau menjadi penyumbang kepada rebahnya gergasi tua (Barisan Nasional) yang sudah memerintah selama 61 tahun. Tetapi, sumbangan media iaitu Fourth Estate ini sejak awal sudah berjaya menggoyahkan kedudukan nakhoda Barisan Nasional (BN) yang dikaitkan dengan isu berskala besar iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Apabila nakhoda sudah lemas, maka bahtera dinakhodainya juga terumbang-ambing dan menunggu masa untuk tenggelam.

Berita secara terperinci dan berterusan dimainkan oleh Sarawak Report yang menjadi sumber kepada media tempatan mengupas dan menularkan salah-laku Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri, isterinya, Jho Low dan gerombolan pengikut setianya dalam UMNO serta BN benar-benar berfungsi sebagai sakratulmaut kepada BN dan kerajaan pimpinan Najib.

Buku 'Billion Dollar Whale' yang berkisar tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjual laris bak pisang goreng panas kerana apa? Kerana pengaruh Fourth Estate seperti yang disebut oleh Thomas Carlyle dalam bukunya On Heroes and Hero Warship betapa pentingnya estet ini berbanding tiga lagi estet iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman..

Najib lupa atau pura-pura lupa terhadap apa yang berlaku 45 tahun lalu kepada Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon yang terpaksa berundur disebabkan skandal politik paling memalukan dalam sejarah negara itu. Terbongkarnya skandal Watergate ini menjadikan praktik politik dan jurnalisme di negara Uncle Sam itu berubah secara drastik sehingga sekarang.

Pada 21 Januari 1998 pula, Presiden Amerika Syarikat yang tidak kurang hebatnya juga dimakan sumpah Fourth Estate apabila terbongkar skandal seks melibatkan Bill Clinton dan Monica Lewinsky petugas rumah putih sehingga berlakunya ‘impeachment’ terhadap beliau.

Ketika Edmund Burke menggambarkan lahirnya media di abad kelapan belas sebagai ‘Fourth Estate’, beliau mengakui pentingnya media untuk kemaslahatan demokrasi liberal. Media mewakili sumber ilmu pengetahuan bebas, tidak hanya memberi maklumat kepada masyarakat tentang politik, tetapi juga melindungi mereka dari penyalahgunaan kuasa.

Tugas media berbeza dengan para pujangga istana yang menggambarkan para penguasa dan kroninya sebagai manusia sempurna. Manusia titisan dewa, yang tak pernah salah, dan semua titahnya tak boleh ditentang. Dalam negara demokrasi, kekuasaan itu harus dikawal. Tanpa kawalan, kekuasaan yang terlalu besar akan cenderung menjadi korup. Power tends to corrupt; absolute power corrupts absolutely (Lord Acton). Media adalah salah satu elemen utama yang harus menjalankan peranan itu.

Maka kemudian muncullah terminologi, media sebagai watchdog kepada demokrasi. Ramai yang bertanya, mengapa media harus selalu bersikap kritis terhadap pemerintah. Sebaliknya banyak juga yang berhujah, apa yang salah media membela pemerintah?

Secara alami dan sisi idealisme, tugas media bukan membela pemerintah. Itu adalah tugas Public Relation (PR) yang bertanggungjawab dalam membangun dan mempertahankan reputasi, citra, dan hubungan baik dan bermanfaat antara pemerintah dan masyarakat. Ianya bertepatan dengan apa yang disebut pengasas harian Kompas P.K. Ojong menyatakan: “Tugas pers bukanlah untuk menjilat penguasa tapi untuk mengkritik yang sedang berkuasa.”

Gara-gara peranan Fourth Estate jugalah banyak kes melibatkan persekongkolan pihak berkuasa dengan penjenayah, kebajikan rakyat terabai seperti dimuatkan dalam program BERSAMAMU, kecuaian PBT, penyalahgunaan kuasa, pembalakan haram, rasuah dan banyak lagi berjaya dibongkar dan tindakan segera oleh kerajaan dan PBT kerana bimbang akan kecaman daripada rakyat. Penularan kes-kes begini cepat diambil tindakan atas peranan dimainkan media yang merupakan agen kepada rakyat bergelar Fourth Estate.

Negara-negara Barat menjulang akhbar-akhbar mereka sebagai fourth estate yang menjadi tunggak demokrasi di mana akhbar-akhbar berperanan seolah-olah sebagai sebuah institusi yang mengawal kerajaan. Jika ianya boleh memberi manfaat kepada rakyat sebagai pembela di atas ketidak adilan dan ketidakupayaan eksekutif, legislatif dan kehakiman dalam soal ini, kenapa tidak seluruh rakyat memberi dokongan penuh kepada media agar peranan semak dan imbang yang selama ini diletakkan di bahu pihak pembangkang kini sama-sama dijuarai?

Ada ketikanya pihak pembangkang kelihatan lesu dan tidak lagi berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ kerana lebih menumpukan kepada ‘politiking’ berlebihan dan fokus kepada masalah dalaman parti. Akhirnya, rakyat hilang tempat bergantung dan kembali dicari selepas penggal sesebuah kerajaan sampai penghujungnya untuk pilihanraya semula.

Untuk itu, jika kita berhasrat bersama-sama membantu negara dan rakyat mengawal tanahair tercinta, hulurkan tangan kita untuk memperkasakan media tanahair. Seperti disebut Najwa Shihab penyampai berita dan wartawan terkenal dari negara jiran Indonesia, “Media yang kuat butuh rakyat yang terlibat, mengelola kebebasan dengan bertanggung jawab.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?