MALAM PERTAMA JUGA PERLU WARAS


Membaca berita mengenai insiden Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa telah diserang penyokong-penyokong BN dari UMNO serta memaki-hamun dengan kata-kata kasar seperti, anjing, babi, hancing dan bermacam lagi pagi ini ketika penamaan calon PRK Semenyih mengingatkan saya kepada insiden yang berlaku dalam PRK Lunas pada tahun 2000.

Dalam insiden tersebut, lapan buah bas telah dihalang oleh orang ramai untuk meneruskan perjalanan ke bilik Gerakan BN di sekitar Lunas. Ketegangan tersebut mengakibatkan ramai yang ditangkap gara-gara penahanan bas yang didakwa membawa pengundi hantu.

Antara yang ditangkap dan didakwa di mahkamah termasuklah Azmin Ali, Tian Chua, Ezam Mohd Noor, Zamil Ibrahim, Gobalakrisnan, Roslan Kassim dan aktivis PAS Mohd Fauzi Awang Kecil, Khairi Yahya dan Ahmad Khairuddin Jamaluddin didakwa melakukan rusuhan dan huru-hara kerana menghalang dan menahan bas-bas yang dikatakan membawa pengundi hantu.

Pilihan raya pada 29 November 2000 itu dimenangi calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail. Namun, akibatnya bukan saja mereka yang terlibat menahan bas ditangkap, malah beberapa pegawai kerajaan termasuk polis menerima nasib malang ditukar ke sana sini kononnya gagal mengawal keadaan ketika PRK itu.

Jika Ezam masih ingat ketika dia dengan keadaan bergari ditumpangkan di lokap IPD Kota Setar untuk perbicaraan esoknya di Mahkamah Alor Setar kerana ketika itu juga dia turut ditahan di bawah ISA di Kuala Lumpur dan dibawa ke sini. Sebelum beliau dimasukkan ke dalam lokap, kebetulan makanan untuk OKT sudah sampai dan saya sempat berbual dengannya di bilik detektif IPD sambil meminta anggota polis mengiring beliau membuka gari untuk beliau makan. Jika kesemua mereka tahu akibat yang akan diterima dari perbuatan itu, saya amat yakin mereka tidak akan melakukannya.

Begitu juga dengan PRK Anak Bukit yang diadakan pada 18 Julai 2002 di mana saya terlibat secara langsung dalam PRK tersebut. Begitu banyak pengalaman dan ilmu dipelajari dalam PRK ini untuk dijadikan iktibar dan sempadan untuk diri dan orang lain. Berbagai provokasi dan ketegangan berlaku dan paling tersohor adalah insiden ‘selak kain’ oleh penceramah PAS, Abdul Razak Abas yang dituduh menyelak kain dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang ahli Puteri UMNO dalam PRK ini.

Provokasi begini sebenarnya mempunyai perencanaan yang penuh dengan jerangkap samar dan jika tidak diperhalusi dengan berhemah, ianya membawa padah sepertimana juga jenayah membawa padah sering disebut dalam program 999.

Masih jelas terbayang di ingatan saya semua yang berlaku ketika itu termasuklah bagaimana Ketua Puteri UMNO Kuala Kedah yang mendakwa ahli puterinya menjadi mangsa kes ‘selak kain’ ini. Yang agak pelik, butir-butir peribadi termasuk nombor telefon bimbit dan alamat pun tanya saya.

Takkanlah ahli sendiri tak ada butir-butir peribadi dan dan nombor perhubungan? Ajaib Singh sungguh. Lebih menarik adalah apabila YB Dato' Ir. Phahrolrazi Mohd Zawawi pemimpin Parti Amanah Negara yang juga ADUN Alor Mengkudu yang ketika itu merupakan ADUN Pengkalan Kundor menghubungi saya.

Beliau memaklum bahawa mereka akan bergerak dengan kumpulannya ke markas Puteri UMNO di Taman Berlian, Anak Bukit malam itu juga untuk mendapatkan penjelasan dari Puteri UMNO dan mahu mereka memohon maaf serta memberitahu media tidak berlakunya tindakan ‘selak kain’ tersebut.

Saya yang sudah keletihan sejak awal lagi sebaik diumumkan akan diadakan PRK ini merasa agak tertekan dengan pelbagai tekanan dan insiden-insiden samada berlaku secara sendiri atau dirancang ini mula hilang sabar. Tetapi saya masih berjaya mengawal amarah dengan memberitahu Phahrolrazi bahawa jangan ikutkan perasaan dan rentak lawan kerana itu merupakan umpan dinanti-nantikan UMNO untuk dijadikan modal besar memperlihatkan PAS sebagai parti yang ganas menyerang perempuan dan sebagai buktik kes ‘selak kain’ ini benar-benar berlaku. TV3 sentiasa menanti berita sebegini untuk mencanangkan lawan BN tidak layak dipilih dalam PRK ini. Di sinilah kebijaksanaan pemimpin amat diperlukan sebelum sebarang tindakan diambil bagi mengelakkan terjerat umpan lawan.

Pada 9 Februari 2006, Mahkamah Majistret Alor Setar membebaskan penceramah Pas, Abdul Razak Abas yang dituduh menyelak kain dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang ahli Puteri UMNO dalam PRK Anak Bukit pada Julai 2002.

Akhirnya, setelah berfikir semula nasihat saya itu, Phahrolrazi membatalkan niat tersebut dan kemudiannya keputusan PRK Anak Bukit memihak kepada PAS. Agaknya, Phahrolrazi yang sebelum AMANAH ditubuhkan, beliau dan mereka yang dalam kelompoknya mendapat gelaran istimewa Jebon pastinya bersyukur tidak mengambil tindakan ‘bodoh’ sebegitu kerana ianya hanya akan memberi ‘advantage’ kepada lawan. Biar jadi Jebon jangan jadi bangang.

Nafsu dan keghairahan berpolitik ketika PRK ini berbeza dengan PRU kerana ia menjadi tumpuan segala jentera parti bertanding samada parti kerajaan mahupun pembangkang. Bak kata orang keghairahan tersebut umpama ‘malam pertama’ tetapi perlulah dikawal jangan sampai patah kaki katil atau runtuh lantai rumah. Malu boleh sakit pun boleh!

Peraturan ditetapkan oleh pihak polis dan SPR untuk mengasingkan penyokong parti-parti bertanding itu bukan undang-undang dan hanyalah peraturan yang dibuat mengelakkan penyokong-penyokong bertembung. Ianya samalah seperti peraturan dibuat SPR di DUN Rantau di mana akhirnya dalam penghakiman berkata tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Oleh itu, jangan jadikan ia alasan untuk menyerang mana-mana orang yang bukan kelompok kita melalui kawasan tersebut seperti yang dijadikan punca penyokong UMNO diketuai Papagomo menyerang dan memaki-hamun Menteri Belia dan Sukan itu.

Berpolitiklah secara matang dan jangan jadikan kawasan ditentukan itu seperti wilayah sendiri yang tidak boleh langsung dilalui mana-mana orang. Pilihanraya diadakan hampir di seluruh dunia untuk memilih kerajaan dan pemimpin tetapi tidaklah sampai memunculkan kera kena belacan, beruk, ungka, monyet, jebon, burung belatuk, burung kakak tua, anjing gila atau babi.

Spesis-spesis yang ganas dan biadab seperti yang ditunjukkan Papagomo, Jalam Jamban, Ali Tinju dan sewaktu dengannya itu telah saya sebutkan sebelum ini lahir dari sistem yang korup dan memelihara individu-individu tidak waras dan tidak bermaruah ini dengan dimandikan wang ringgit.

Sepanjang tempoh 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, belum pernah ada manusia-manusia seperti Papagomo, Ali Tinju, Jamal Jamban, Raja Bomoh, Rani Kulup dan dari planet yang sama. Kerana apa? Kerana sokongan rakyat yang padu dan jitu serta ikhlas bukan datang daripada sokongan ‘gila’ seperti kelompok saya sebutkan tadi.

Pemimpin-pemimpin di atas sana bergelak ketawa dan usik-mengusik serta berjenaka sesama mereka walaupun berlainan parti dan menjadi musuh politik, kenapa kita di bawah lebih sudu dari kuah?

Yang pandai jangan menjadi bodoh semata-mata untuk menyokong kelompok kita. Seperti pernah disebut oleh Emha Ainun Nadjib atau lebih dikenali sebagai Cak Nun, “Apa gunanya kepandaian kalau tidak digunakan untuk menampung orang bodoh.” Beliau turut mnambah, “Aparat jangan sampai merasa benar sendiri, sementara rakyat pasti salah. Sebaliknya, rakyat juga jangan mentang-mentang seolah-olah yang salah hanya pihak berkuasa.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?