RADIKALISMA - SAMPAI BILA AGAMA DAN KAUM MAHU DITUNGGANG?


Hubungan kaum dan agama di negara ini makin hari makin digugat oleh anasir-anasir yang memperalatkan agama, bangsa, kaum atau etnik sebagai senjata memporak-perandakan sesama rakyat. Tidak sukar untuk mendapat jawapan kenapa ini semua terus berlaku kerana hanya satu jawapan paling mudah untuk dihadam iaitu memburu KUASA.

Yang hilang kuasa mahu mendapatkan kembali kuasa dan yang sedang berkuasa mahu mempertahankan kekuasaan. Orang gila pun tidak menolak kuasa kerana nikmat menggenggam kuasa itu agaknya mengatasi nikmat di puncak orgasme.

Golongan yang kononnya mengaku nasionalis Melayu dalam justifikasinya terhadap nasionalisme seringkali menggunakan ungkapan Melayu = Islam dan Islam = Melayu. Walaupun ungkapan tersebut dikhususkan dalam konteks Malaysia namun ianya tetap membawa kesan negatif terhadap kemurniaan Islam sebagai ajaran universal.

Ungkapan tersebut membawa implikasi pemberian sifat Melayu kepada Islam sehingga seolah-olah Islam itu hanya kepunyaan orang orang Melayu. Selanjutnya ini membawa maksud mempertidakkan kehadiran, peranan dan kepentingan orang-orang Islam bukan Melayu. Dengan imej Islam yang kemelayuan itu, Islam sukar diterima oleh kaum bukan Melayu. Tegasnya, nasionalisme Melayu dengan pembawaan demikian akan menjejaskan perkembangan dakwah Islamiah di kalangan orang bukan Melayu.

Kepala serban sebesar tempayan dan jubah kalahkan kelambu ka’abah tapi maki hamun dan hina orang yang dianggap seteru bagaikan seteru itu lebih hebat dari Firaun. Segala nama binatang dan persamaan dengan sosok negatif dihambur pada mereka dianggap seteru dan yang tidak menurut kemahuan mereka.

Tidak sedikit yang dikafirkan dan disamatarafkan dengan kafir harbi yang tak lekang dibibir dan hujung lidah bertasbih khadam DAP. Khalifah al-Ma'mun Ibnu Harun ar-Rasyid suatu ketika telah didatangi oleh seorang Da'i yang mengkritiknya dengan bahasa yang keras dan pedas lalu al-makmun menjawab;

Nasihatlah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat dari aku dan Musa a.s itu lebih baik dari kamu namun demikian Musa a.s menggunakan bahasa yang lunak.

Dalam ucapan dasar Presiden ABIM dalam Muktamar Senawi ke-13 pada 7-9hb Disember 1984, Presiden ketika itu Dr Siddiq Fadil berkata, “Mengkafirkan seorang muslim mempunyai implikasi yang amat besar, penafian keIslaman seseorang membawa kepada penafian dan pencabulan terhadap perkara-perkara yang menjadi hak seorang muslim ke atas muslim yang lain iaitu darahnya, harta bendanya dan kehormatannya.”

Tambah Dr. Siddiq Fadil lagi, “Rasulullah s.a.w menerima pengislaman seseorang sebaik-baik sahaja mengucap dua kalimah syahadat tanpa menangguhkannya sehingga masuk waktu sembahyang atau sehingga cukup haul zakat atau sehingga tiba bulan Ramadan untuk membuktikan Islamnya. Rasulullah s.a.w Marah sekali dengan tindakan Usamah Ibnu Zayd r.a yang dalam satu pertempuran telah membunuh seorang yang telah Mengucap dua kalimah syahadat dengan alasan ianya satu helah untuk menyelamatkan tengkuk yang dari terpenggal. Rasulullah s.a.w menyoalnya, “Apakah engkau telah membelah dadanya sehingga engkau tahu niat sebenarnya?”

Doktor Yusuf al-Qardhawi dalam salah sebuah makalahnya menolak sama sekali sikap keras dalam berdakwah. Menurutnya hanya pada dua tempat Islam mengizinkan kita bersikap keras; pertama ketika melaksanakan hukum Allah ke atas penjenayah dan kedua ketika berdepan dengan musuh dalam peperangan.

Sesungguhnya da’i adalah penyelamat bukan pelaknat dan bukan tukang sorak pemulang paku buah keras. Da’i adalah penyeru bukan penyerang, bukan pembangkang melulu dan bukan pula penyokong melulu, mereka adalah penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran.

As Syahid Hassan Al Banna telah memberikan suatu peringatan yang khusus ditujukan kepada golongan yang disebut sebagai orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh bahawa beliau tidak akan bersama dengan mereka yang hendak memetik buah sebelum masak dan yang hendak menuai sebelum musim. Al Ustaz Mustafa Mashhur berpesan bahawa semangat yang meluap-luap bukan bukti iman yang kuat.

Cyber trooper yang bertopeng di media sosial dan sering menganggap mereka adalah jagoan dan ayam jantan dengan menyerang dan memutarbelitkan fakta demi mempertahankan pemimpin korup dan munafik itu sebenarnya adalah orang-orang yang menjadi juara di gelanggang yang tidak ada musuh dan hanya menang dalam melawan bayang-bayang.

Modal utama yang sering dipetik untuk ditunggang adalah agama dan kaum dan menggambarkan sasaran mereka sebagai musuh Melayu dan Islam. Peniaga apabila kekontangan modal maknanya perniagaan itu sudah sampai masa untuk berkubur dan ditalkinkan.

Selamat Malam..









.

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?