BILA URUSAN DISERAHKAN BUKAN PADA AHLINYA


Baik soal politik, sosial, ekonomi bahkan soal mengurusi musibah segalanya jadi tak menentu jika yang diamanahkan itu tidak amanah, tidak layak dan hanya menjadi keldai disarungkan jubah dan serban walaupun di belakangnya berkarung kitab-kitab.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika amanat telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya; ‘bagaimana maksud amanat disia-siakan? ‘ Nabi menjawab; “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.”

Nampaknya itulah yang berlaku dalam negara ini sebaik rejim kleptokrat dinyahkan pada PRU14 lalu. Keadaan hampir sama seperti apa yang berlaku sebaik sahaja Soeharto ditumbangkan pada tahun 1998.

Apa yang digambarkan oleh Emha Ainun Nadjib dalam bukunya Mati Ketawa ala Refotnasi - Menyorong Rembulan mirip sekali. Katanya, “ Bangsa Indonesia tetap saja berkutat dan terkurung oleh hal yang sama, bahkan malah lebih parah. Krisis ekonomi tidak berkurang. Pemerintah yang baru, yang sebenarnya terdiri atas anak buah Soeharto dan kini kita izinkan menamakan dirinya ‘Pemerintah Reformasi’ tidak punya manajemen mental untuk melakukan hal-hal berikut;

1. Menasionalisasi harta-harta kolusi.

2. Menarik kembali devisa yang dilarikan keluar negeri.

3. Menginvestigasi titik-titik penimbunan barang oleh ‘Tionghoa Ngambek'.

4. Memanajemen distribusi sisa beras yang sebenarnya masih cukup untuk menyelamatkan bangsa dari kelaparan.

5. Menumbuhkan kepercayaan luar negeri

Apa tidaknya, yang dijulang hanya kura-kura untuk berlumba memanjat pokok dengan monyet dan disuruh kucing berlumba dengan ikan di sungai. Sehebat mana rasa kasihan kita pada seseorang, jangan sampai kita kasihan tidak bertempat dengan meletakkan orang yang tidak layak di kerusi yang memerlukan orang yang mampu melaksanakan amanah itu dengan sempurna.

Jika terlajak kasihan, beri saja wang untuk beliau uruskan makan minum dan keperluannya. Lapar diberi makanan bukan bantal dan mengantuk disorong bantal bukannya parang.

Mungkin terlalu lama kita menjadi pembangkang sehingga kita lupa sekarang kita sudah menjadi kerajaan yang diamanahkan untuk membela nasib mereka dan tidak mustahil kamu semua masih tidak percaya bahawa kamu itu menteri, exco, MB dan TPM?

Teringat saya kata-kata teman FB saya ketika beliau memberi komen di status saya semalam. Kata Alex Lim, "Without Tun, DAP still the best critics of Government; Anwar still the most potential PM candidate and Ketua Pembangkang dalam Penjara; Mat Sabu still the best opposition entertain speaker........"

Apakah kamu semua mahu membuktikan kata-katanya? Atau mungkin benar kata-kata Emha Ainun Nadjib yang lebih dikenali dengan nama Cak Nun dalam buku sama? Katanya, "Bahwa terlalu lama kita hidup dalam kegelapan, sehingga sekarang tidak mengerti bagaimana mengurusi cahaya terang, sehingga kita junjung pengkhianat dan kita buang pahlawan, sehingga kita kelicikan dan kita curigai ketulusan, itu lumrah…".

Mereka yang layak tetapi tidak pintar mengampu dan menjilat hanya layak kekal berwirid dan bertasbih di media sosial mempertahankan Tun Mahathir serta Pakatan Harapan atas satu niat iaitu sayangkan kerajaan yang diharap melangsaikan masalah kronik ditinggalkan rejim penyamun.

Namun sehingga kini, apa yang jelas hanyalah sekadar menonton sarkas dan lawak bodoh para pemimpin bergelar menteri, MB dan segala nama yang lunak dan menggelikan telinga.

Rakyat kekal dalam kawah kesengsaraan peninggalan penyamun-penyamun yang sehingga kini masih bebas lepas troll sana sini tanpa rasa takut bayangan Sungai Buluh kerana mungkin yakin mereka tidak akan menjadi penghuninya.

Jika di negara luar, pemimpin-pemimpin korap seperti ini sudah lama 'mampus' dihujat rakyat sendiri. Lihat apa yang berlaku pada 28 September 1996, bekas presiden Afghanistan, Mohammad Najibullah disiksa dan dibunuh secara kejam oleh Taliban. Najibullah dikatakan telah dikembiri dan diseret di belakang trak sebelum digantung di depan umum.

Pemimpin komunis terakhir Romania menemui ajalnya di Hari Natal 1989. Rakyat memberontak walaupun Nicolae Ceausescu berusaha menenangkan rakyatnya sehingga memaksa Ceausescu dan isterinya Elena melarikan diri dari Bucharest. Namun, pasangan itu tertangkap dan dibawa ke pusat tahanan oleh Pasukan Angkatan Darat. Ceausescu diadili dan dijatuhi hukuman mati atas tuduhan 'genocide' dan korupsi. Walaupun ada ruang tempoh 10 hari sebelum dijatuhkan hukuman mati tetapi ianya disegerakan dengan keadaan tangan terikat, beliau dan isterinya dipaksa menghadap tembok lalu bermandi hujan peluru.

Namun, bayangkan bagaimana penyamun-penyamun ini dilayan? Masih punya masa bermain golf ke sana-sini. Masih mampu menikmati kehidupan mewah serta berpeluang menghina dan mencerca kerajaan baharu. Ini bukan Malaysia Baharu tetapi Malaysia yang sudah rosak dan bergelumang dengan badut-badut serta penjenayah bertopeng pembangkang dan kerajaan tanpa 'bola ping-pong'.

Bayangkan terkial-kial menangani seorang budak sakit mental yang memaki-hamun Perdana Menteri termasuk kata-kata kotor lagi nista sambil melakukan 'live video' di media sosial dengan keadaan pihak polis kesana-kemari di dalam rumah seolah-olah ketakutan untuk membuat tangkapan disebabkan pesakit mental itu minta waran tangkap. Sejak bila pesalah di Malaysia diberi peluang seperti itu dengan alasan waran tangkap?

Yang menghuni lokap polis selama ini diberi waran tangkap? Rasanya elok panggil arwah M. Bakri nyanyikan semula lagu Malaysia Baru siap dengan trompet filem Melayu lama di kelilingi hantu Jepun yang membintangi filem Pendekar Bujang lapok lagi baik!

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?