DIKTATOR
Perkataan diktator dan demokrasi selain begitu popular di kalangan mereka yang berbicara soal politik, ianya juga silih berganti digunakan untuk membandingkan antara satu sama lain.
Tidak sedikit menjadikan perkataan diktator sebagai asas melakukan penentangan terhadap seseorang pemimpin yang tidak sehaluan kerana mereka amat faham bahawa setiap manusia tidak suka kepada diktator. Maka jalan pintas merangsang kebencian terhadap seseorang yang mahu ditunjal dan ditendang dari kerusi kekuasaan adalah dengan melabel perkataan diktator.
Secara umumnya, diktator merujuk kepada seorang pemimpin negara yang berkuasa mutlak dan biasanya bukan dipilih secara demokratik oleh rakyat negaranya, dan merampas kuasa melalui cara kekerasan. Seorang diktator berupaya melaksanakan undang-undang sendiri tanpa perundingan dengan pihak atau badan lain.
Sementara demokrasi pula merupakan satu idealogi penting yang menjadi pegangan sebahagian besar negara di dunia. Demokrasi merujuk kepada satu sistem kerajaan di mana rakyat dibenarkan untuk menyertai proses menggubal undang-undang. Merujuk kepada asal usul perkataan demokrasi itu sendiri : asal perkataan Greek “demos” dan “kratos.” Demos merujuk kepada rakyat atau warganegara manakala kratos kepada kuasa. Kuasa rakyat atau people’s power.
Tetapi hakikatnya, apakah demokrasi benar-benar diamalkan samada di negara ini atau mengambil kira negara yang menjadi jaguh memperjuangkan demokrasi seperti Amerika?
Demokrasi sebenarnya tidak lebih seperti gincu yang disesuaikan mengikut warna pakaian. Jika pakaian berwarna biru, gincu biru dikenakan untuk menyesuaikan dengan warna pakaian itu dan begitulah seterusnya dengan warna pakaian yang lain.
Pada 18 Jul 2012, Tun Dr, Mahathir Mohamad sendiri menulis tentang gelaran yang sering dilemparkan kepadanya merujuk kepada kediktatoran. Tulis beliau, “Gelaran, seperti label untuk barangan berjenama, sukar untuk dikikis. Berasas atau tidak, gelaran kekal sepanjang hayat. Oleh itu gelaran amat berguna dalam politik, terutama gelaran yang memburuk musuh. Buatlah apa pun, musuh pihak yang bergelar tidak akan hentikan mengguna gelaran. Sebagai Perdana Menteri dahulu saya diberi banyak gelaran. Mahazalim, Firaun, diktator adalah antara gelaran yang dicipta oleh musuh politik saya. Apabila saya ditemuramah sekarang, walaupun oleh orang yang tidak bermusuh dengan saya, soalan-soalan mereka ternampak yang mereka agak percaya bahawa gelaran terutama gelaran diktator yang diberi kepada saya adalah tepat dan berasas kepada kepercayaan bahawa saya adalah seorang diktator. Apakah yang saya lakukan yang menyamakan sifat dan perbuatan seorang diktator.”
Diktator atau tidak seseorang itu sebenarnya sama seperti takrifan pengganas. 'One man's terrorist is another man's freedom fighter' dan begitu jugalah dengan diktator. Diktator bagi kita tidak semestinya diktator pada orang lain dan beliau mungkin dijulang sebagai negarawan dan penyelamat negara mereka.
Cuba kita imbas kembali kisah Nabi Allah Sulaiman yang begitu popular dan menjadi contohnya Nabi dan Rasul serta pemimpin yang diagung-agungkan. Beliau bukan saja dihormati, disanjung dan ditakuti oleh manusia bahkan haiwan, pokok-pokok dan juga jin serta syaitan.
Oleh kerana baginda amat dihormati, ramailah manusia, binatang dan jin ingin berbakti kepada baginda. Pada suatu hari Jin Ifrit telah keluar daripada bandar Baitulmaqdis kerana ingin mencari sebiji mutiara yang sangat cantik untuk dihadiahkan kepada Nabi Sulaiman supaya dia mendapat pujian daripada Nabi Sulaiman dan sekaligus ingin membuktikan kepada jin yang lain bahawa dialah jin yang paling disayangi oleh Nabi Sulaiman.
Secara senyap-senyap Jin Ifrit keluar supaya tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Setelah sampai di Laut Merah Jin Ifrit menyelam di dasar lautan untuk mencari mutiara tersebut. Setelah puas menyelam, mutiara tersebut tidak juga dijumpai oleh Jin Ifrit sehingga sampai ke suatu tempat yang berbatu, ternampak olehnya kilauan dari celah-celah batu tersebut. Setelah diamatinya ternyata kilauan tersebut adalah mutiara yang sangat cantik yang dicari-carinya. Jin Ifrit terus mangambil mutiara tersebut dan berenang sehingga sampai ke tepi pantai.
Semasa perjalanan pulang, Jin Ifrit tidak mengetahui bahawa dia telah diekori oleh jin lain yang bernama Bota. Bota terus mengejar Jin Ifrit dan memintas lalu merampas mutira tersebut. Jin Ifrit sangat marah lalu mengejar Bota. Oleh kerana Bota lari dengan pantas ke arah selatan menyebabkan Jin Ifrit tidak dapat mengejarnya lagi. Jin Ifrit sangat takut kalau-kalau diketahui oleh Raja Jin bahawa mutiara tersebut telah hilang. Tidak lama kemudian Jin Ifrit mendengar suara memanggilnya. Ifrit mengenali suara tersebut adalah suara Raja Jin. Dengan segera Ifrit pergi mengadap Raja Jin. Raja Jin bertanya kepada Ifrit "Mana mutiara tersebut ?" Ifrit menjawab "Mutiara tersebut telah dirampas oleh Bota".
Raja Jin mengambil keputusan untuk mempersembahkan kes tersebut kepada Nabi Sulaiman. Satelah tiba dihadapan Nabi Sulaiman, baginda bertanya kepada Raja Jin "Apakah kesalahan Ifrit?". Raja jin menjawab "Ifrit telah menghilangkan sebiji mutiara yang sangat cantik". Nabi Sulaiman berkata kepada Ifrit "Adakah kamu telah menyembunyikan mutiara tersebut?" Ifrit menafikannya dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Nabi Sulaiman berkata "Aku akan panggil semua jin dan syaitan untuk diperiksa". "Sementera itu kamu akan dipenjarakan terlebih dahulu sehingga kamu dibuktikan tidak bersalah" kata Nabi Sulaiman.
Apakah setelah membaca kisah ini maka kita akan mengatakan bahawa Nabi Sulaiman seorang diktator? Baginda bukan saja dihormati dan digeruni manusia, bahkan binatang dan jin pun tunduk dan gentar kepada Nabi Sulaiman. Apakah ini tanda kediktatoran? Siapa berani mengatakan Nabi Allah Sulaiman seorang diktator?
Bayangkan ketakutan jin sehinggakan ketika, Nabi Sulaiman sedang memantau para jin bekerja, para jin tersebut tidak berani menoleh ke arah baginda. Ketika Nabi Sulaiman sedang mengawasi jin-jin bekerja, malaikat maut mencabut nyawa Nabi Sulaiman. Namun, jasadnya masih berdiri dan disangga oleh tongkatnya. Para jin terus bekerja kerana mereka tidak menyedari bahawa Nabi Sulaiman telah wafat.
Peristiwa meninggalnya Nabi Sulaiman diterangkan dalam Al-Quran Surah Saba’ ayat 14. “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahwa kalau sekiranya mereka mengetahui yang gaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan.” Peristiwa kematian Nabi Sulaiman penuh dengan keajaiban. Hal ini menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah.
Kediktatoran bukan soal gentar, takut, mengikut telunjuk pemimpin dan melaksanakan apa yang dikehendakinya tetapi ia soal niat pemimpin tersebut. Sepertimana disebut oleh Abhijit Naskar seorang neuroscientist yang menulis buku ‘Build Bridges not Walls: In the name of Americana’, “Remember, the difference between a dictator and a true leader, is in intention.”
Lee Kuan Yew yang menjadi Perdana Menteri Singapura selama 31 tahun dan paling lama tidak peduli gelaran diktator yang dilabel terhadapnya. Katanya, “Anda menilai saya sebagai orang yang diktator. Anda berhak memanggil saya dengan sebutan apapun yang Anda sukai, namun bukan berarti hal itu membuat saya menjadi seorang yang berkata, “Perlukah saya menjadi seorang diktator ketika saya mampu menang?”
Malah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) yang sering dianggap undang-undang draconian dan lebih dikenali sebagai ISA sehingga kini masih berkuatkuasa di negara tersebut. Yang lebih utama adalah Singapura begitu maju dan menjadi negara kelima bersih dari rasuah.
Masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam negara ini sekarang bukan masalah diktator tetapi adalah perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan jauh sekali ianya masalah rakyat dengan rakyat.
Rakyat dipecahbelahkan dengan menggunakan senjata penjajah iaitu ‘pecah dan perintah’ bersenjatakan bangsa dan agama. Mereka yang bertanding seharusnya mempersiapkan mental dan spiritual agar siap mendukung yang menang dan tidak lupa siap menerima kekalahan. Tetapi masalahnya adalah setelah kalah masih enggan menerima kekalahan. Pemimpin seharusnya berpegang kepada kata-kata Abhijit Naskar , “Become the bridge-builder, not the wall-raiser.”
Tetapi percayalah, diktator, otoritarian atau siapapun kamu tidak akan berjaya mencapai kehendak mereka jika rakyat bersatu menolak penzalim-penzalim dan keturunan Firaun ini. Mehmet Murat ildan novelis Turki berkata, “Stop obeying a dictator; you will then see that he is nothing! Stop obeying a king; you will then see that he is nothing! If you refuse the Devil, you will then see that he will shade away!”

Comments
Post a Comment