NASIB CENDEKIAWAN
Ketika berucap sempena penerimaan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1427H, Dr Siddiq Fadzil menyebut, “Memang nasib kaum cendekiawan tidak sentiasa baik; dari Socrates yang mati dipaksa meminum racun, al Imam Ahmad bin Hanbal yang menderita disiksa dan didera dalam kurungan jerjak-jerjak besi kerajaan ‘Abbasi’, hinggalah kepada cendekiawan cilik, penangkis serangan Todak di Singapura yang dibunuh kerana kecerdasannya ditakuti akan menggugat establishment berotak tumpul dan mandul.”
Merenung sekeliling kita dengan apa yang sedang berlaku dalam negara, situasinya mirip seperti yang disebut dan digambarkan oleh Dr Siddiq Fadzil. Masyarakat sudah tidak lagi mengejar untuk menjadi cendekiawan kerana lebih menguntungkan ,menjadi hartawan dan jutawan.
Mau jadi pemimpin, mau jadi wakil rakyat yang mewakili pemimpin bukannya rakyat, mau jadi Menteri atau Exco Kerajaan Negeri, Mau menjawat jawatan penting termasuk mereka di sekeliling pemimpin besar memadai dengan berkebolehan gelak besar walaupun tidak ada lucunya. Cukup hanya dengan minum sisa minuman pemimpin agung dan muatnaik fotonya di media sosial walaupun sudah hampir terkencing. Sempurna hanya dengan kuat mengangguk walaupun sebenarnya perlu menggeleng.
Tidak perlu sijil asli dan kelulusan tinggi untuk ditabal di kerusi-kerusi para hulubalang dan laksamana kerana justifikasinya jawatan itu tidak memerlukan sijil dan kelulusan. Yang penting semakin kuning dan berkaratnya gigi tersengeh, semakin cerah peluang untuk menduduki kerusi barisan kepandiran di balai rong seri.
Maka tidak ada keanehan apabila rakyat memilih sedikit tolol walaupun jahat daripada sudahlah tolol dan bebal, pekak dan menyakitkan hati pulak tu.
Tak perlu digusarkan kerana tolol, bebal dan pekak bukan dosa dan diheret ke mahkamah untuk didakwa. Pesta tolol dan menololkan rakyat sesungguhnya menjadi pemangkin kepada meluap-luapnya kebencian rakyat selain calon tertinggal pas masuk pusat pengundian awal. Masalah dihadapi rakyat ketika zaman penyamun terus kuat memeluk rakyat tanpa tanda-tanda akan selesai dalam tempoh terdekat.
Sikap pemimpin masih sama seperti gerombolan penyamun yang telah dihambat dengan penyapu dalam PRU14 yang lalu. Ohhh! sekurang-kurangnya mereka tidak menyamun jawapannya. Menyamun itu jika ditelusuri track record dan punca berlakunya perbuatan itu disebabkan ruang dan peluang. Gerombolan penyamun dahulupun mengambil masa yang agak lama untuk hebat menjadi penyamun tersohor. Yang sekarang pun jika semakin lama di situ dengan ruang dan peluang yang ternganga tidak mustahil mampu bersaing dengan kepala penyamun dan pembantu-pembantunya seperti Ibrahim Pendek (Sarjan bin Marjan) dan yang lainnya.
Bukan saja imej dan reputasi calon sudah tercemar, maruah dan wibawa Tun Mahathir sebagai pemimpin bertaraf global juga diruntun dan direntap semata-mata memuaskan hati mereka yang sudah lupa tanah di bawah bukan di langit.
Selepas ini watak M. Zain pula dinanti-nantikan sebagai Tukang Lelong Hamba Abdi apabila penyamun gagal menyamun malah penuh taik menyerbu jamban salah pangkah.
Salam Hujung Minggu dan Selamat Beristirehat.

Comments
Post a Comment