ISLAM DIBULI
Isu Islam dibuli di negara ini seperti dakwaan Dr Maza itu sehingga mencetuskan polemik perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas.
Bayangkan jika kita berada pada kedudukan atau kapasiti Tun sebagai Perdana Menteri. Dr Maza mungkin menjadi sedikit emosional dan tercabar lantaran pembantu Zakir Naik ditahan di Perlis. Tun juga kemungkinan dalam usia yang sebegitu apabila sudah muak dengan serangan demi serangan menggunakan hujah agama dan bangsa terhadap kepimpinannya merasa perlu sedikit keras kerana manusia normal secara logika akan bertindak seperti itu.
Para wala'un dan macai jangan kuat sangat provokasi dan menjadi opportunis menggunakan kesempatan ini untuk terus menyerang PH dan memporak-perandakan keadaan atas nama agama dan bangsa.
Jangan lupa pesan Ayatolah kamu bahawa pemimpin seperti atas pokok dan kamu di bawah pokok tidak kiralah yang di atas pokok itu kera atau monyet dan di bawah itu anak-anak kera dan monyet mengutip buah yang luruh. Hujahnya yang di atas itu melihat dengan lebih jelas berbanding yang di bawah pokok.
Begitu juga dengan isu Dr Maza dan Perdana Menteri kerana tindakan polis tersebut jangan dipolitikkan dan ditunggang menggunakan tiket agama dan bangsa. Banyak hal saya sependapat dengan Dr Maza tapi dalam isu ini saya memilih bersama pihak berkuasa kerana saya agak lama di dalamnya dan memahami bagaimana mereka memantau pergerakan pendakwah dan individu tidak kira agama, bangsa dan suku apa pun kamu.
Pihak polis lebih mengetahui isu ini kerana mereka bukannya di atas pokok bahkan lebih atas dari puncak gunung yang memantau dengan pelbagai kaedah dan teknologi terkini. Mungkin sahabat baik pun tidak tahu kegiatan sahabatnya itu kerana arwah Tuan Guru Nik Azizi (TGNA) sendiri sehingga akhir hayat tidak menerima hakikat dan menerima hakikat anaknya Nik Adli terlibat dengan kegiatan militan sehingga ditahan di bawah ISA.
Hakikatnya pihak keselamatan punya banyak bukti kukuh beliau terlibat dan kita faham sebagai bapa, mana mungkin bapa sanggup mengakui anak sendiri melakukan kesalahan seperti didakwa. Pengalaman lalu saya lalui penuh barangkes curi motosikal dalam rumah masih ibubapa berkata anaknya dianiaya. Bila ditanya bagaimana barang-barang kes ada dalam bilik anaknya? Jawabnya mudah "dianiaya".
Bapa, Ibu dan isteri tidak mengetahui kesemua aktiviti anak dan suami apatah lagi cuma kenalan atau jiran. Kita tidak menyalahkan sesiapa termasuk Dr Maza dan TGNA kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang pihak keselamatan tahu.
Tetapi mungkin juga tahu tetapi sukar menerima kenyataan tersebut. Menyentuh tentang Nik Adli, rasanya Cikgu Non atau nama sebenarnya Zainon Ismail dan nama penanya 'C.N Afghani lebih memaklumi.
Pengalaman juga banyak membantu saya supaya lebih berwaspada dengan kegiatan pendakwah bebas ini kerana sudah banyak terbukti akhirnya membawa kepada usaha merekrut rakyat negara ini kepada kegiatan militan. Pasti ramai masih ingat dengan Ustaz Abu Bakar Bashir, Ustaz Abdullah Sungkar dan beberapa orang lagi sehingga melahirkan tokoh pengganas seperti Dr Azahari dan Nordin Mohd Top dan Hambali yang menjadi sosok penting dalam Jamaah Islamiyah (JI). Semuanya bermula dengan kegiatan pendakwah bebas ini yang kemudiannya melakukan talent spotting mana jamaah yang dilihat mudah diusung ke dalam dakapan mereka.
Saya tidak berminat menegakkan benang basah kerana benang kering pun memerlukan kesungguhan untuk ditegakkan. Pokok pangkalnya jangan sampai emosi menguasai diri kerana kita bukan Nabi dan rasul yang maksum sehingga dilindungi dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Cara menjawab memang nampak tidak mencarut tapi matlamatnya tetap sama untuk menghina Perdana Menteri.
Kita mungkin berbeza pandangan tapi ada masanya orang lain lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui tetapi yang mengetahui terikat antara mempertahankan hujah dengan bukti atau meletakkan dirinya dalam perangkap OSA atau Akta Hasutan.
Tere Liye seorang penulis dari Indonesia pernah menulis, "Tidak selalu yang kita pikirkan itu benar. Tidak selalu yang kita sangkakan itu kebenaran. Kalau kita tidak mengerti alasan sebenarnya bukan berarti semua jadi buruk dan salah menurut versi kita sendiri."
Kenapa sentiasa menyalahkan Tun dan PH apabila pihak polis bertindak kerana sepanjang pengetahuan saya, tindakan seperti ini biasanya diambil oleh pihak polis terlebih dahulu baru kemudiannya dimaklumkan kepada Menteri KDN dan Perdana Menteri. Jahil memang percuma tetapi janganlah terlalu tamak untuk merebut kesemuanya untuk kamu!

Comments
Post a Comment