POLITIK, DEMOKRASI DAN PEMIMPIN


Malam ini agak sepi dan dingin sesuai untuk meluangkan banyak masa membaca dan menulis. Saya memilih buku ‘Islam dan Melayu – Martabat Umat dan Daulat Rakyat’ karya Dr. Siddiq Fadzil yang diterbitkan diterbitkan Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah pada tahun 2012. Ketika sedikit kabur mindanya, saya gantikan buku berjudul ‘Oples’ karya Emha Ainun Nadjib diterbitkan Penerbit Mizan, Bandung tahun 1995.

Seperti biasa, hal utama meluncur deras diminda saya berkaitan politik dan ternyata ia sukar dipisahkan dengan demokrasi dan pemimpin. Gawatnya ekonomi ketika ini dan sebelumnya juga berpunca dari kegawatan politik dan kecelaruan pemimpin yang membarisi koridor kuasa.

Kata Dr Siddiq Fadzil, “Ada penguasa yang sekaligus pemimpin, ada pemimpin yang tidak memegang kuasa, di samping ada pula penguasa yang tidak memimpin. Malah tidak jarang mereka yang disebut pemimpin itu pada hakikatnya bukan ‘leader’ tetapi ‘misleader’. Termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘sadah’ dan ‘kubara’ iaitu para pembesar dan penguasa yang menyesatkan rakyat.” (halaman 91).

Apa tidaknya, terang-terang pemimpin menyamun wang dan harta negarapun masih ada yang ‘sesat’ dan kebingungan terpekik-terlolong mendokong pemimpin itu atas alasan fitnah. Komen saya tidak berlebihan jika ‘Kepala Bapak Kau’ saya hadiahkan kepada mereka yang terus mengutip alasan tolol seperti itu.

Rakyat tidak setolol sangkaan pemimpin-pemimpin korup sebelum ini untuk menolak alasan kantung negara susut sekiranya ia bukan disebabkan wang dan khazanah negara dibedal penyamun-penyamun ini. Tambah Dr. Siddiq Fadzil lagi, “Yang menjadi kendala besar pembangunan bangsa dan negara bukan masalah kewangan, tetapi kualiti kepimpinan.” (halaman 99). Kualiti kepimpinan apa yang masih berbaki jika bukan saja boros membelanjakan wang negara bahkan mencuri. Bapa mencuri harta anak-anak tidak lagi layak bergelar bapa selain bapa ayam.

Rakyat seakan-akan hilang hak sebagai warganegara dan diperbudakkan oleh pemimpin sesuka hati mereka. Renung kata-kata Dr. Siddiq Fadzil, “Sejauh yang dapat ditelusuri secara agak jelas kepimpinan Melayu tradisi terpola dalam sistem feudal. Dengan demikian yang lebih dirasakan bukan kehadiran pemimpin, tetapi keleluasaan Orang Besar menindas dan memeras rakyat kecil dengan memaksa mereka menyerahkan sebahagian besar penghasilan keringat mereka. Dalam sistem tersebut, rakyat tidak mempunyai hak apa-apa, sebaliknya hanya dibebani tanggungjawab. Kerana itu mereka tidak boleh menuntut apa-apa. Andainya mereka diberikan sesuatu, ia tidak bererti mereka mendapat hak, tetapi menerima kurnia. Dan andainya mereka menerima pelayanan yang tidak adil dari penguasa, ia bukan suatu kezaliman tetapi memang sial diri mereka sendiri.” (halaman 92). Boleh diterima lagi pemerintah dan pemimpin seperti ini dalam situasi dunia sudah jauh meninggalkan zaman perbudakan atau perhambaan?

Berebut-rebut mahu menjadi pemimpin dan wakil rakyat bukan kerana bakti kepada rakyat tetapi laba berada di kerusi kekuasaan. “Yang sering terjadi bukan pemilihan pemimpin secara matang, waras dan rasional; tetapi lebih berupa perebutan kuasa dan pertarungan hancur-hancuran dalam aturan main ‘the winner takes all’ yang membawa kesudahan yang kalah menyimpan dendam , yang menang lupa daratan. Gejala berubahnya pemilihan pemimpin menjadi perebutan kuasa adalah akibat dari kekeliruan persepsi tentang kepimpinan dan kekuasaan. Dengan ungkapan lain, amanah telah disalah anggap sebagai tuah dan ghanimah. Tidak hairanlah jika yang dirasakan bukan lagi beratnya tanggungjawab kepimpjnan tetapi sedapnya menjadi ‘orang besar’.” (halaman 100-101).

Sekarang ini, pemimpin-pemimpin yang sudah menjadi ‘kupang tembaga’ setelah diterajang daripada memegang tampuk kekuasaan dalam PRU14 lalu tanpa henti melabel menteri dan pemimpin kerajaan ketika ini sebagai tidak berkualiti. Rakyat juga sedar dan nampak tetapi apa lagi pilihan yang rakyat ada selain memilih mudarat lebih kecil berbanding mudarat berskala mega gara-gara penyamun dan pengikutnya terus-menerus menyamun khazanah negara?

“Masalah kualiti kepimpinan juga terkait dengan gejala hilangnya kesedaran tentang maruah diri yang ditandai sifat tidak tahu malu. Berapa ramai pemimpin yang gagal, lemah dan tidak berprestasi, korup, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, terlibat dalam pelbagai jenayah dan yang seumpamanya tetapi tidak merasa malu dan kerananya tetap tidak mahu melepaskan jawatannya.

Dalam amalan demokrasi yang telah tercemar dengan rasuah, pemimpin tidak lagi muncul dari daulat suara rakyat, tetapi ditampilkan oleh kuasa ringgit para penaja yang mendanainya. Apakah mungkin pemimpin tajaan kapitalis akan memberikan khidmat yang baik kepada rakyat?

Pada zahirnya mereka adalah wakil rakyat, tetapi pada hakikatnya mereka adalah wakil para penaja yang mendanai mereka ketika bertanding dalam pemilihan. Apakah mungkin pemimpin tajaan seperti itu akan berani membuat keputusan yang bertentangan dengan kepentingan penaja mereka? Bayangkan apa yang akan terjadi andainya seluruh anggota kabinet telah dibeli oleh sesebuah badan korporat dalam atau luar negara!

Mereka memanipulasi makhluk peliharaan kita yang bernama demokrasi demi mengaut dan meratah segala peluang yang memungkinkan diri dan keluarga cepat kaya sehingga tidak habis makan dan belanja 7 keturunan. Bagi menyelamatkan diri dan mengamankan dirinya daripada gugatan, seorang pemimpin korup biasanya akan berusaha agar orang lain juga jadi korup. Apabila semuanya sudah sama-sama korup, maka tidak ada siapa pun yang akan berani menuding orang lain sebagai korup. Dalam kaitan ini, Ajip Rosidi seorang penulis, budayawan dan sasterawan Indonesia menyebut bahawa dosa Soeharto sebenarnya tidak hanya melakukan korupsi, tetapi lebih daripada itu beliau telah membudayakan korupsi dengan membuka ruang agar mereka yang di kelilingnya juga melakukan perbuatan yang sama. Dengan demikian lahirlah budaya 'korupsi secara berjamaah'.”

Kerana itu tidak sedikit pemimpin yang menggunakan kuasa kedudukan dan pengaruh mereka untuk membalas budi penyokong-penyokong termasuk dengan cara memberikan jawatan-jawatan penting dalam pelbagai institusi dan agensi. Akibatnya terbinalah pula sesuatu budaya pengangkatan pemimpin yang tidak lagi berasaskan 'siapa boleh buat apa' tetapi lebih berasaskan faktor 'dia orang siapa'."

Lihat saja di sekeliling kita apabila santai bersembang bersama kawan-kawan pasti akan terpacul kisah kononnya beliau punya kenalan ramai orang besar. Untuk menjayakan misi pemerkasaan bangsa, yang diperlukan bukan cuma 'orang besar', tetapi pemimpin rakyat, pemimpin yang tumbuh dari bawah, teruji di gelanggang hempas pulas perjuangan di tengah umat, bukan yang ditunjuk dari atas. Justeru, yang namanya uli'l-amri (pemegang amanah kekuasan) sebagaimana disebut dalam al-Quran terangkai dengan kata 'minkum' yang bererti harus datang dari rakyat (mukminin), yang hidup bersama rakyat, yang menghayati denyut nadi dan degup jantung rakyat, yang merasa senasib dan seperuntungan dengan rakyat.

Senjata ampuh untuk terus berkuasa sekarang adalah dengan mengheret pengikut masing-masing untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan agar masyarakat keliru mana satu benar dan yang mana salah. "Permainan membesar-besarkan orang kecil dan mengecil mengecilkan orang besar sudah begitu berleluasa, malah untuk itu fitnah, gosip dan pembohongan telah dibudayakan."

Isu yang kerap digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat yang majoritinya Melayu adalah dengan menjadikan isu bangsa dan agama paling atas sebagai senjata mencapai matlamat. Amat malang apabila negara telah merdeka sejak sekian lama tetapi modal basi yang masih digunakan adalah perkauman dan agama. Seharusnya, kata Dr. Siddiq Fadzil, "Selama lebih lima dekad polarisasi perkauman mendominasi politik tanah air. Tempoh sepanjang itu seharusnya telah mematangkan kita untuk menangani realiti kemajmukan secara yang lebih positif dan terbuka."

Ketika rejim kleptokrat berkuasa sebelum ini, menegur dan mengkritik pemimpin dan pemerintah adalah ‘taboo’. Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa demokrasi juga memberikan hak kepada rakyat untuk memperingatkan pemerintah apabila tersalah, dan menurunkan mereka apabila menyimpang.

Alasan demokrasi subur ketika itu hanyalah kosmetik yang diconteng-conteng di muka rakyat agar terus percaya bahawa kuasa di tangan rakyat. Kata Dr Siddiq Fadzil, "apalah erti memberikan hak memilih warna terbaik kepada seorang yang telah dibutakan, dan apalah makna memberikan hak memilih lagu termerdu kepada seorang yang telah dipekakkan." (halaman 74)

Seperti disebut Ronggowarsito, "Pahitnya hidup berprinsip pada zaman gila, tidak ikut gila tak merasa, mahu ikut gila tak sampai hati." (halaman 56). Dalam dunia yang segalanya sudah serba gila, tidak ada tempat untuk orang yang waras dan siuman, hanya mereka yang gila atau yang sanggup ikut jadi gila yang dapat hidup ulas Dr. Siddiq Fadzil.

Yang jelas sejak sekian lama rakyat diperkudakan demi kepentingan pemimpin. Kenapa diperkuda? Kerana tidak diperkeledaikan! Kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya ‘Oples’, "Sekarang makin jelas kenapa ada istilah 'diperkuda' namun tidak ada istilah 'diperkeledai'."

Pemimpin tidak perlulah merasa besar kerana merasa besar itu hanyalah disebabkan rakyat terus menerus berkelakuan seperti orang kecil. Bantah Emha Ainun Nadjib, "Gajah hanya bisa disebut besar karena kita punya referensi tentang kambing atau tikus yang kecil. Gajah memerlukan tikus untuk memperolehi legitimasi bahawa ia besar."

Sementara agamawan juga tidak wajar berbangga atas sedikit alimnya itu. Jangan mudah menghina dan memandang rendah orang lain kerana kata Emha Ainun Nadjib, "orang boleh, pasti lebih baik menjadi bekas pencopet dibanding mantan ustad."

Samada kamu ustaz, kiyai atau lebai, kita semua sama saja normal dan tidak lebih dari itu. Ustaz, lebai atau kiyai merasa normal dan orang lain tidak normal kerana lingkungannya itu melegitimasikan harakatnya. Sedangkan jika jauh diwilayah atau lingkungan berbeza, tidak ada apa lebihnya. Usik Emha Ainun Nadjib, “Kalau saya sebut normal bukankah kita semua ini tidak normal bagi sahabat-sahabat kita yang di rumah sakit jiwa? Bukankah perbuatan mencuri itu normal bagi para maling?.”

Samada kita pemimpin atau rakyat, raikanlah demokrasi seadanya dan tidak sesekali angkuh dan lupa daratan kerana entah bila demokrasi berganti dengan lain-lain ‘si’ setelah pengundi mula bosan.

Lakukanlah hal yang baik kepada siapapun tanpa melihat agamanya. Saat kamu hendak melakukan kebaikan kepada orang lain, lakukanlah atas dasar kemanusiaan agar niat baik kamu boleh dirasakan oleh semua orang, tidak terbatas oleh agama dan golongan. Kata Gus Dur mantan Presiden Indonesia, “Kalau kamu bisa melakukan sesuatu yang baik untuk semua orang, orang tidak pernah tanya apa agamamu..."


Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?