SAMPAI BILA?
Sampai bila rakyat perlu diheret untuk berbalah sesama sendiri demi mempertahankan pemimpin dan parti politik dokongan masing-masing? Sampai bila rakyat perlu ditunjal untuk bertegang urat leher dan seluruh urat badan (tak pasal-pasal untung bomoh urut dan rumah urut) hanya disebabkan merasa lebih Islam dari orang lain dan lebih Melayu dari Melayu lain sehingga mewajarkan tindakan menghina bangsa dan agama lain?
Sampai bila rakyat akan terus duduk tercokoh mengenangkan masalah kewangan diri, keluarga dan ibubapa yang semakin menghimpit? Sampai bila rakyat hanya selayaknya menjadi tukang keluh-kesah tidak berkesudahan? Rakyat hanya dibiarkan mengeluh dan tertanya-tanya kenapa bukan saja pemimpin bahkan parti politik dan sebahagian besar rakyat sentiasa berpolemik dan berpolitik tanpa ada waktu senggang.
Semua isu mahu dipolitik dan dari sini datangnya langkah memperbodohkan rakyat samada merangsang rakyat berbalah sesama sendiri khususnya menyentuh isu agama dan bangsa.
Rakyat dipaksa menjadi penonton drama meloyakan pemimpin lompat parti samada dalam skala kecil mahupun besar sehingga kerajaan negeri boleh ditumbangkan gara-gara tindakan tidak bermaruah ini. Bukan itu sahaja, bahkan pemimpin kerajaan persekutuan juga tidur malam tidak nyenyak bimbang akan digulingkan melalui cara kotor ini.
Apakah rakyat sudah miskin cerdik pandai sedangkan begitu ramai tokoh intelektual dan akademik samada bergelar encik, doktor, professor dan bermacam gelaran yang menunjukkan harakat keintelektualan mereka? Rasanya jumlah itu cukup besar kerana sekiranya dihitung jumlah IPTA dan IPTS sahaja sudah gayat melihat ke bawah. Namun amat malang semuanya dijangkiti sindrom bisu, tuli dan sawan angguk daripada menjadi juara rakyat untuk membentuk pendapat umum bahawa jalan keluar kepada masalah yang sudah parah ini adalah dengan cara begini.
Apakah rakyat hanya perlu menyatakan rasa puas hati atas prestasi barisan menteri walaupun terang-terang menyerlah kebangangannya? Menteri-menteri cuma banyak bercakap dari bekerja dan banyak menjalankan kerja parti dari menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat sibuk memikirkan pingan mangkuk terbang di rumah akibat kesuntukan masa bersama keluarga tapi menteri memilih kereta terbang. Apabila dikritik akan disanggah kononnya rakyat masih ketinggalan zaman sedangkan banyak hal lain perlu diterbangkan dari pemikiran rakyat seperti isu rasuah dan ekonomi yang semakin getir.
Rakyat seakan sudah bosan melihat campurtangan dan pertindihan kuasa cabang-cabang dalam pemerintahan antara eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk Istana. Semuanya tidak lain tidak bukan penyudahnya adalah ditangga rumah rakyat bukan pemimpin. Pemimpin boleh berbalah samada sesama parti atau antara pembangkang dan pemerintah tetapi akhirnya bergelak ketawa di kafe parlimen. Namun, rakyat di bawah bermandikan maki-hamun, cerca-mencerca dan tidak kurang yang terlibat hingga pergaduhan fizikal.
Masalah kegagalan mencari solusi terhadap isu rasuah, inflasi, pengangguran, kenaikan harga barang dan segala yang menyangkut isu ekonomi berpunca dari pemimpin yang lebih banyak berpolitik dari bekerja membantu rakyat.
Tidak ada carakah untuk menghentikan semua ini? Jika kita melihat masalah rasuah di negara jiran, Komisi Pemberantasan Korupsi Republik Indonesia (biasa disingkat KPK) yang berperanan sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu digeruni koruptor kerana apa?
Kerana seluruh rakyat mendukung KPK walaupun terdapat usaha menggugat kedudukannya sehingga penyiasat kanannya Novel Baswedan disimbah asid asetik, asid etanoik atau cuka getah yang kini sudah empat kali menjalani pembedahan mata dan nyaris buta. Insiden ini berlaku pada Selasa (11/4/2017) waktu subuh tiba-tiba disiram asid oleh dua pemuda yang menunggang motosikal dan sehingga kini masih gagal ditangkap. Itupun ia tidak mematahkan semangat beliau dan KPK untuk terus memburu koruptor.
Begitu juga dengan isu lompat parti. Belum kedengaran Parti Buruh membeli wakil rakyat Parti Konservatif atau sebaliknya Parti Konservatif membeli wakil rakyat Parti Buruh di Britain. Tidak dikesan Parti Demokrat membeli wakil rakyat Parti Republikan atau sebaliknya Parti Republikan membeli wakil rakyat Parti Demokrat Amerika Syarikat.
Ini juga sama seperti di Indonesia Partai Golongan Karya (Golkar), Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Partai Kebangkitan Bangsa, (PKB), Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Partai Demokrat, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Partai Amanat Nasional (PAN), dan banyak lagi tidak membeli pemimpin dari parti lain.
Di negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Denmark dan lainnya juga tidak wujud masalah besar seperti dihadapi negara ini walaupun gah sebagai negara mengamalkan demokrasi berpelembagaan.
Di samping itu juga, pemimpin-pemimpin mereka punya rasa malu sekiranya dikesan terpalit dengan sebarang skandal dengan pantas meletak jawatan sedangkan di negara kita jangankan meletak jawatan, dijolok dan ditarik juga masih kuat memeluk pohon kekuasaan sehingga perlu ditebang.
Kenapa ianya berlaku di negara kita? Jawapannya kerana perebutan kuasa melampau yang melihat kekuasaan itu sinonim dengan peluang menjarah harta dan wang negara.
Sudah sampai masanya sistem pemilihan Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri dan Menteri Besar difikirkan semula kaedah perlantikannya selain menghadkan selama dua (2) penggal bagi mengelakkan pemusatan kuasa secara kekal yang menjurus kepada penyalahgunaan kuasa serta pembolotan harta negara.
Jangan pula ianya dianggap menghasut untuk menjadikan negara ini negara republik serta melenyapkan sistem beraja. Jika sistem beraja masih relevan, aturlah bagaimana sistem itu dapat sama-sama wujud bersama eksekutif, legislatif dan kehakiman asalkan memanfaatkan negara dan rakyat bukan membuncitkan perut dan membuntalkan tembolok mana-mana orang atau pihak.
Seperti di Indonesia, walaupun Jokowi hanya punya peluang dipilih sekali lagi sebagai presiden, beliau terpaksa berhempas-pulas untuk dipilih rakyatnya ke kerusi presiden. Hanya dengan menjadikan seluruh rakyatnya sebagai kroni saja dapat menyelamatkan kedudukannya.
Seperti balas Tun Dr. Mahathir kepada kenyataan Tengku Mahkota Johor (TMJ) di facebook yang mendakwa projek STS Johor memanfaatkan kroni sesetengah permintaan serta mendakwa Putrajaya tidak memaklumkan perkara itu kepada kerajaan negeri, jawapannya “semua orang di Malaysia ini kroni saya”.
Untuk menjadikan seluruh rakyat kroni, pemimpin perlu menjaga seluruh rakyat bukan cuma diri sendiri, suku-sakat, geng atau bossku. Untuk menjadikan seluruh rakyat kroni maka semuanya perlu di’rasuah’ tidak semestinya wang ringgit tetapi dengan khidmat cemerlang membantu rakyat.
Jangan hanya sibuk kononnya mereka menteri kerana stigma yang perlu dipasak ke minda setiap pemimpin adalah mereka boleh menjadi menteri atau exco kerajaan negeri semata-mata kerana menjadi wakil rakyat. Jika bukan kerana mereka menjadi wakil rakyat mereka tidak layak dilantik sebagai menteri atau exco kerajaan negeri. Maka, utamakanlah khidmat sebagai wakil rakyat walaupun peranan sebagai menteri dan exco itu juga penting.
Menjadi pemimpin tidak semudah disangka kerana kata Arnold Glasow, humoris dan penulis, ” A good leader takes a little more than his share of the blame, a little less than his share of the credit.”
Pemimpin yang hebat tidak perlu berkeras dengan mereka dipimpin dan juga rakyat kerana seperti diungkap Presiden Eisenhower, “Anda tidak memimpin dengan memukul orang di atas kepala. Itu penyerangan, bukan kepemimpinan.”
Dan ingatlah, “Cabaran kepemimpinan adalah untuk menjadi kuat, tapi tidak kasar, bersikap baik, tapi tidak lemah, berani, tapi tidak menjadi pengganggu, menjadi bijaksana, tapi tidak malas, rendah hati, tapi tidak malu-malu; bangga, tapi tidak sombong ; memiliki humor, tetapi tanpa kebodohan”.

Comments
Post a Comment